Kaji semula program subsidi petrol

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Program Subsidi Petrol (PSP) yang diumumkan oleh YB Menteri PDNHEP semalam dikaji semula. PSP tidak membantu seluruh rakyat menikmati harga petrol RON95 yang munasabah. Pelaksanaan subsidi petrol mestilah mengambil kira kepentingan pengguna lain terutama dalam kalangan M40, rakyat Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

Harga RON95 pula tidak lagi dikekalkan pada kadar RM 2.08 sen seliter. Hal ini akan menyebabkan harga petrol melonjak naik pada waktu tertentu dan akan memberikan impak kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain. Semua pengguna RON95 akan menanggung kenaikan tersebut. Malah, jumlah subsidi RM1 sehari bagi penerima PSP tidak memberi kesan yang besar sekiranya harga melonjak naik.

Isi rumah yang besar dengan pendapatan sebulan RM4,001 sehingga RM5,000 juga akan terbeban. Pada masa yang sama kos sara hidup pada hari ini tidak menunjukkan penurunan. Keadaan ini akan terus memangsakan majoriti rakyat. Oleh sebab itu, PSP tidak menyelesaikan masalah utama tetapi hanya memberi jalan penyelesaian jangka pendek sahaja.

PAS juga ingin mempersoalkan mengenai kontrak berjumlah RM25.03 juta yang dianugerahkan kepada GHL Transact Sdn Bhd pada bulan Mac lalu. Apakah sistem perisian (software) dan perkakasan (hardware) yang telah dibangunkan untuk PSP ini?  

Sekian, terima kasih.    

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
9 Safar 1440 | 8 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 8/10/2019

- Advertisement -