Chicken Royale kekalkan identiti tradisi

SEKIRANYA penulis diminta untuk nyatakan sesuatu yang paling susah untuk dilupakan ketika ini, jawapannya pastilah keenakan ayam peri-peri Chicken Royale yang masih terbayang-bayang ‘juicy’ ayam peri-peri yang diperap khas dengan resipi rahsia itu.

Advertisement

Mana tidaknya, ketika menemu bual pemiliknya, Mohd Nazri Md Akim, 37, beliau sangat mementingkan kualiti makanan terutamanya rasa ayam yang menjadi tarikan utama untuk memastikan pengunjung puas hati dan ‘repeat’!

Ayam yang siap diperap selama 24 jam dengan pelbagai herba, dimasak dengan teliti menggunakan api perlahan selama dua jam di dalam ketuhar sungguh membuka selera.

Keunikan rasa sos peri-peri yang diubah suai mengikut cita rasa rakyat Malaysia yang gemarkan makanan pedas menjadi pelengkap hidangan dengan rasa yang sedikit masam menyebabkan tidak rasa muak.

Ditambah pula dengan lambakan cheese yang meleleh dan tak kedekut, mungkin kecur liur sekali lagi jika dibayangkan. Namun, ini hanya terdapat dalam set set tertentu sahaja seperti Set Bersiong.

Menarik bukan nama yang diberi buat hidangan-hidangan ini? Namun ia menjadi kepuasan buat Mohd Nazri untuk diberi peluang menggunakan nama-nama legen separa mitos Melayu terhadap hidangan-hidangan beliau.

Malah disebalik nama-nama hidangan yang unik ini, mempunyai ideologi-ideologi yang tersirat yang ingin disampaikan.

Mengambil semangat pahlawan sejati dalam Hikayat Melayu, set-set kombo dinamakan dengan lima Hang iaitu Kombo Tuah, Jebat, Lekir, Lekiu dan Kasturi.

Manakala set talam yang lebih banyak kandungannya berbanding kombo diambil nama bersempena watak-watak mistik hikayat Melayu yang dikatakan mempunyai keistimewaan luar biasa seperti Set Badang dan Bersiong.

Lebih menarik, menu nasi arab dinamakan bersempena lagenda srikandi wanita Melayu seperti Tun Teja, Mahsuri, Puteri Santubong, dan Puteri Sejinjang.

Menurut Mohd Nazri, hal ini kerana beliau melihat  keistimewaan nasi itu seperti wanita, kewujudannya sering kali dilupakan, namun kehilangan mereka walau sekitia mampu membuat lelaki resah dan gelisah.

“Begitu juga nasi yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia, adanya tidak pernah di julang tinggi, namun jika tiada nasi walau sehari pasti nya membuat kita resah gelisah kerinduan dan memerlukan,” ujarnya.

Perniagaan tersebut dijalankan berkonsepkan ‘Food Truck’ dan terletak di Jalan Suarasa 2, bersebelahan dengan Aeon Bandar Tun Hussin On, Cheras dan beroperasi setiap hari dari jam 6 petang hingga 11 malam.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih konsep berasaskan ‘Food Truck’, Mohd Nazmi berkata ia lebih mudah untuk diuruskan dan lebih bersahaja, tambah pula beliau percaya konsep terbuka berbumbungkan langit ini mempunyai keunikan dan peminat tersendiri.

Melihat potensi hidangan yang diperkenalkan Mohd Nazri itu, beliau merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan membuka 100 outlet dalam masa lima tahun akan datang.

Tambah pula, beliau mempunyai pengalaman didalam bidang ‘Food and Beverage’ didalam sebuah syarikat kerajaan sebelum beliau membuat keputusan muktamad meletakkan jawatan dan melibatkan diri secara serius didalam perniagaannya. – HARAKAHDAILY 8/10/2019