PAS bantah pindaan baharu RUU IPCMC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bantahan dan tidak menyokong pindaan baharu dalam Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

- Advertisement -

Menurutnya, keutamaan yang sepatutnya diberikan ialah mencari jalan untuk mengatasi salah laku anggota polis berbanding menubuhkan suruhanjaya penyiasatan.

“Bukan suruhanjaya yang diperlukan tetapi bagaimana untuk mengatasi salah laku polis itu sendiri. Tidak perlu ada suruhanjaya.

“Perkara yang penting perlu diberi fokus adalah bagaimana untuk menyelesaikan salah laku polis secara menyeluruh, bukan hanya bersifat sementara bagi mengatasi isu yang berlaku,” katanya ketika membahaskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) di dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam hal itu, beliau mencadangkan supaya kor agama polis diserap sebagai anggota tetap supaya berperanan membina moral dan membaiki serta mengatasi salah laku dalam anggota polis.

Sementara itu, katanya salah laku dalam polis juga berlaku akibat daripada soal kebajikan anggota yang tidak diutamakan termasuk kuartes kediaman dan fasiliti pejabat yang kurang baik.

“Terus terang saya sebut, untuk menyokong IPCMC ini telah menimbulkan rasa tertekan dalam kalangan anggota polis kerana apakah teru sangat anggota polis sehingga perlu ditubuhkan suruhanjaya khas. Bagaimana dengan agensi lain?” soalnya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Dalam masa yang sama, beliau meluahkan kebimbangan apabila cadangan bidang kuasa yang dinyatakan dalam RUU tersebut, apabila perlantikan suruhanjaya itu bukan dari kalangan anggota polis atau anggota perkhidmatan awam.

“Ini sangat pelik sebab siapa yang akan dilantik. Malahan dalam siasatan apabila disabitkan kesalahan akan terdedah kepada maklumat sulit negara.

“Ia akan mengakibatkan maklumat sulit negara akan terlepas kepada orang yang tidak sepatutnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/10/2019

- Advertisement -