Paku bagi keranda Syiah

- Advertisement -

AHLI Parlimen Pasir Mas, YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, semalam dalam ucapan beliau berkenaan Resolusi Kluster Agama di Kongres Maruah Melayu, telah memberikan jalan tunjuk yang jelas kepada haluan Islam yang sepatutnya di negara ini. Ia bersesuaian dengan Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

- Advertisement -

Resolusi ini telah dibincangkan dengan lumat oleh kumpulan pemikir agama yang berlatar belakangkan ilmu yang tinggi daripada berbagai NGO Islam di Malaysia. Desakan agar menjadikan Islam di Malaysia ini hanya dengan satu pegangan, amat sesuai kerana di zaman ini, fitnah kepada kepelbagaian fikrah berkenaan Islam, sangat membahayakan orang awam yang jauh daripada ajaran Islam asli.

Saya suka menyebut Syiah sebagai salah satu ancaman kepada pemahaman mazhab yang berbeza. Presiden PAS dengan jelas tidak menolak secara total fahaman Syiah ini. Bagi beliau, Syiah adalah salah satu cabang yang lari dari Islam. Ia persis salah laku kumpulan ajaran sesat seperti Ayah Pin, Hasan Anak Rimau dan banyak lagi yang kita maklumi berlaku di negara kita.

Namun di sana, ada mazhab dalam Syiah yang menghampiri kepada Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang selalu beliau sebutkan antaranya mazhab Zaidiyyah. Jelas dan terang beliau memberitahu seluruh alam yang mesti diperangi tanpa syak dan henti ialah Yahudi dan Nasrani, bersamaan dengan apa yang telah disebutkan dalam al-Quran. Inilah pegangan Presiden PAS.

Oleh kerana itulah beliau berusaha untuk melakukan taqrib mazhab iaitu usaha mendekatkan mazhab-mazhab yang mana dipercayai masih ada ruang bagi merapatkannya, sesuai dengan dorongan daripada Hadis untuk merapatkan silaturrahim dan berusaha menyelamatkan saudara kita yang sesat daripada berterusan dalam kesesatan. Ganjaran menyelamatkan saudara seIslam, sangat besar.

Tetapi Syiah di Malaysia, tidak menepati Syiah yang ingin Presiden PAS mahu membuat taqrib itu. Ia berbeza sekali dengan Zaidiyyah iaitu mazhab yang saya sebutkan di atas, paling hampir dengan ASWAJA. Maka, usaha menyelamatkan mereka, masih diteruskan, tetapi usaha untuk memperakui mereka, harus ditutup sama sekali. Golongan ini, membahayakan aqidah kita.

Mereka senang sekali memaki hamun sahabat-sahabat, malah menuduh isteri Rasulullah berzina. Tiada pernah dibuat dalam mana-mana agama untuk didoakan laknat kepada orang lain. Dalam Islam sendiri, tiada doa khusus bagi melaknat Firaun, Namrud, walaupun jelas nama mereka disebut dalam al-Quran yang mereka akan kekal di dalam neraka. Mereka telah mendapat apa yang mereka usahakan.

Rasulullah mengajarkan kita agar tidak memaki hamun syaitan kerana ia akan memberikan lagi kekuatan kepada syaitan. Tetapi Rasulullah menyuruh kita ber ta’awuz iaitu membaca A’auzubillahi minassyaitonir rojiim. Dan syaitan akan lemah tidak berdaya. Tiadalah musuh yang paling besar daripada Iblis dan syaitan. Manakala berkaitan Dajjal pula, Rasulullah menyeru untuk kita memohon doa kepada Allah agar diselamatkan fitnah Dajjal itu. Ada juga digalakkan membaca 10 ayat awal dan akhir surah al-Kahfi bagi melindungi kita dari Dajjal.

Mana suruhan Allah dan Rasul kepada kita melaknat figura-figura yang dijamin ke neraka ini? Jadi sangat jelas kesesatan bagi golongan Syiah yang menyeru kepada mencaci dan melaknat sahabat-sahabat, isteri Rasulullah ini. Apatah lagi dengan hadis yang sahih, Rasulullah menjamin sebahagian mereka ini ke syurga. Maka Syiah sejenis ini yang sangat banyak berkeliaran di persada pentas di Malaysia.

Bak kata Exco Pertanian Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang pernah menetap di Iraq selama enam tahun, Syiah Malaysia ialah Syiah jadi-jadian. Kata beliau, mereka tidak mempelajari kitab Syiah dengan betul, hanya ikut-ikutan sahaja, bahkan mungkin nama kitab juga mereka tidak tahu, sinis beliau yang mempunyai ramai teman dari kalangan Syiah asli.

Jadi jelas, Syiah di Malaysia ini hanya mencari peluang dengan terbinanya Kerajaan Malaysia baharu yang dilihat sangat longgar dengan Islam ini. Amat wajar, sergahan dari YB Ustaz Fadhli ini kepada kerajaan di samping mahukan satu bentuk tindakan yang lebih tegas ke atas kalangan yang cuba memperkotak-katikkan Islam. Paling utama ialah memberikan jawatan penting kuasa agama ini dipegang oleh orang yang selayaknya.

Tiba-tiba sahaja Syiah yang lari jauh menyimpang ini timbul dengan gagah dan berani dalam masyarakat kita setelah kerajaan baharu mendapat kuasa. Seperti ada pelindungnya. Kita perlu selamatkan mereka. Ya ianya sukar kerana taqiyyah mereka, tetapi bukan mustahil. Dan untuk itu Syiah jangan diberikan muka, kita pakukan keranda mereka, agar rebakan pengaruh mereka boleh dibendung.

MOHD NASIR ABDULLAH
7 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 7/10/2019

- Advertisement -