Demokrasi: Mencari ruang dalam keterpaksaan

- Advertisement -

SISTEM kuno yang dimodenkan

- Advertisement -

Demokrasi adalah sistem buatan manusia yang dikatakan mula dicetuskan oleh Cleisthenes di Athens, Yunan sekitar 500 SM. Walaupun tidak dinafikan muqaddimahnya bermula 200 tahun sebelum itu di Sparta. Secara asasnya demokrasi bermaksud “kuasa rakyat” atau “pemerintahan rakyat”. Iaitu rakyat yang menentukan siapa yang wajar dinaikkan sebagai pemerintah dan rakyat berhak menentukan undang-undang.

Ingatkan Eropah memperkenalkan pembaharuan, rupa-rupanya kembali kepada kepurbaan. Di era Karl Marx (Marxism) membawa demokrasi kepada konsep anarki, iaitu “tiada paksaan” dan juga Komunisme iaitu menghapuskan sebarang bentukan pengkastaan. Kemunculan idealogi-idealogi seperti ini berikutan trauma-nya mereka terhadap kongkongan di zaman kegelapan Eropah antara kurun 4 ke 14 Masihi.

Kongkongan zaman kegelapan berikutan penyelewengan Bible yang bermula 322 Masihi di Sepanyol. Zaman ini, Eropah mengamalkan pemerintahan bergereja, sehinggalah munculnya gerakan-gerakan untuk “mengimport” ilmu dan tamadun dari Ketamadunan Baghdad yang pernah saya huraikan sebelum ini [1]. Hasil import ini mewujudkan pertembungan dengan sistem pemerintahan bergereja.

Eropah ketika itu mengamalkan sistem Feudalism, yang boleh difahami dengan sistem bergereja tadi, sambil diwujudkan kasta-kasta. Walaupun beberapa negara sudah mula mengamalkan demokrasi, Eropah masih lagi jumud dengan identitinya itu sehinggalah ia dirobohkan dan berubah ke arah sistem Demokrasi selaras dengan kebangkitan Eropah yang dipanggil Reinassance pada kurun ke-17.

Mencari ruang dalam keterpaksaan

Kebangkitan Eropah ini sangat dikaitkan dengan ketamadunan Baghdad. Justeru, Islam ketika itu menyediakan kaedah menukar kepimpinan negara. Namun, mereka melihat demokrasi sebagai satu penyelesaian yang lebih sesuai terhadap sistem Feudal bergereja di zaman kegelapan. Justeru di era Penjajahan Barat terhadap negara-negara seluruh dunia membuka ruang untuk menyerap sistem Demokrasi.

Antara negara-negara yang “terpaksa” menerima sistem Demokrasi adalah Negara-negara Islam sendiri, khususnya selepas kejatuhan Uthmaniah yang menggunakan sistem khilafah, yang diperkenalkan oleh Islam. Sistem Khilafah ini dianggap sebagai kuno oleh anak-anak muda Turki (Young Turks) yang pulang daripada lanjutan pelajaran di Barat. Akhirnya Young Turks itu sendiri yang menjatuhkan sistem Islam ini, dan menaikkan demokrasi.

Para Ulamak dalam banyak generasi telah membahaskan hukum melibatkan diri dalam sistem Demokrasi ini. Majoriti mengharuskannya. Apatah lagi dunia penjajahan (Imperialism) dan kelemahan Umat Islam membuatkan mereka terpaksa menggunapakai sistem ini hingga kini. Walaupun kita sedar bahawa sistem ini dibangunkan oleh orang kafir, namun ia dijadikan sebagai wasilah untuk mengembalikan pemerintahan Islam yang sekian lama dihapuskan.

Demokrasi dijadikan ruang untuk Umat Islam bangkit dengan kemampuan yang ada, untuk memperkenalkan Islam di persada alam pemerintahan penjajahan Barat. Hingga ke hari ini, untuk bangun menyelit di celah-celah sistem demokrasi pun tidak disambut oleh sebahagian Ummat Islam, apatah lagi mengembalikan sistem Khilafah itu sendiri. Jauh lagi. Selain daripada ruang untuk Islam bangkit, tidak dinafikan Demokrasi juga menjadi ruang untuk orang-orang jahat berkuasa.

Sebab itu kita boleh katakan bahawa demokrasi itu umpama medan tempur antara Islam dan kezaliman. Andai umat Islam meninggalkan medan tempur ini, maka orang-orang zalim seolah-olah mendapat kemenangan percuma, dan juga menjadi laluan mudah untuk merealisasikan kezaliman mereka. Melibatkan diri dalam parti politik merupakan peluang untuk menghalang orang-orang jahat menjadi pemerintah.

Usaha menyekat kemungkaran

Demokrasi membuka ruang untuk kita menyekat orang-orang jahat menjadi pemerintah untuk menyelamatkan hak-hak rakyat daripada ditindas. Banyak contoh yang kita boleh kaitkan, antaranya apabila orang jahat menang dalam pilihan raya berdemokrasi ini, menyebabkan mereka berkuasa. Apabila mereka berkuasa, mereka mampu menggazetkan undang-undang yang menindas rakyat.

Di dalam al-Quran dan Hadis, banyak menceritakan tentang usaha mencegah kemungkaran. Antaranya Hadis Nabi S.A.W:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

“Siapa yang melihat kemunkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.”

(Riwayat Muslim)

Sebahagian ulamak menafsirkan “pencegahan dengan tangan” bermaksud kuasa. Maka untuk memperolehi kuasa untuk mencegah kemungkaran ialah dengan menang dalam ruang demokrasi yang dibenarkan iaitu pilihan raya. Sekiranya kita tidak terlibat dalam alam demokrasi ini seolah-olah kita membiarkan kemungkaran bermaharajalela apabila orang jahat menang free untuk berkuasa.

Apabila orang baik menang dalam pilihan raya, dan orang jahat kalah, akan membuatkan orang jahat itu “tidak berkuasa” untuk melaksanakan agenda-agenda kemungkarannya. Bahkan orang baik yang berkuasa mampu menyekat usaha-usaha orang jahat untuk merealisasikan kejahatannya yang tiada kuasa. Secara tak langsung akan terlaksana konsep amar makruf dan nahi munkar.

Contoh-contoh bahana pemerintah yang jahat

Sebagai contoh, kita tahu bahawa monopoli diharamkan dalam Islam, kerana ia menindas rakyat yang lain. Tetapi apabila kuasa negara diperolehi oleh orang-orang yang zalim, menyebabkan mereka berkuasa untuk mewujudkan sistem monopoli. Akhirnya masyarakat lain tertindas. Contohnya gula. Lesen AP mengimport gula hanya diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja. Menyebabkan orang tersebut berkuasa menaikkan harga gula sesuka hati kerana dia seorang sahaja yang ada lesen tersebut.

Contoh yang lain, dalam bab tanah [2]. Apabila orang jahat diberi kuasa hasil daripada pilihan raya, dia akan membuat sistem yang menyusahkan kelulusan tanah bagi pemohon-pemohon yang bukan kroninya. Manakala pemaju-pemaju yang merupakan kroninya, akan diluluskan secara mudah. Secara tak langsung akan mewujudkan monopoli terhadap tanah atau dikenali sebagai الحمى. Seterusnya menyebabkan harga tanah melambung dan menindas rakyat yang berpendapatan rendah.

Contoh yang lain apabila orang jahat diberi kuasa melalui sistem demokrasi, dia berkuasa untuk menyuburkan pemikiran-pemikiran sesat seperti LGBT, Liberal dan sebagainya. Sebagai orang yang berkuasa, dia menguasai media dan mengempen pemikiran sesat melalui media media di bawah kawalannya. Maka, masyarakat akan terbiasa (normalisasi) dengan LGBT dan menganggap ia perkara biasa.

Contoh yang lain ahli politik mewujudkan sistem percukaian yang hanya meng”pau” daripada poket rakyat untuk memelihara periuk nasi ahli korporat yang sudah kaya raya [3]. Sudah pasti ahli korporat akan terhutang budi dengan ahli politik jahat seperti ini. Maka ahli korporat akan menaja supaya ahli politik yang jahat ini naik memegang tampuk pemerintahan, supaya periuk nasinya akan terus terpelihara.

Pemimpin jahat yang diangkat oleh orang jahat

Dalam hal ini kita perlu faham bahawa pilihan raya yang diamalkan berteraskan sistem demokrasi perlu dikuasai oleh orang-orang yang sepatutnya. Sekiranya tidak, ia akan dikuasai oleh orang-orang jahat, yang akan menyusun sistem negara dengan cara tidak adil. Orang-orang jahat sangat suka dengan Sekularism apabila mereka mewujudkan pemikiran “orang soleh tinggalkan dunia politik atas alasan politik kotor”.

Pemerintah yang jahat juga sangat suka sekiranya rakyat ramai yang bodoh, kerana rakyat yang bodoh mudah ditipu dan digula-gulakan. Semakin ramai yang bodoh, semakin cerah harapan mereka untuk duduk di tampuk pemerintahan dan berkuasa. Sebab itulah pemerintah jahat yang ingin mengekalkan tampuk kuasanya perlu mewujudkan sistem pendidikan yang membodohkan rakyatnya.

Selain itu, orang jahat sangat suka sekiranya ramai rakyatnya yang jahat. Kerana rakyat yang jahat pasti akan melantik pemerintah yang jahat. Oleh itu mereka akan mewujudkan pemikiran-pemikiran jahat seperti Hedonisme, Liberalisme, dan sebagainya. Apabila kejahatan semakin berleluasa, peluang untuk dia menang sebagai pemerintah semakin cerah.

Antara strateginya ialah dengan membela orang orang jahat. Kerana apabila orang jahat dibela, sudah pasti mereka akan membela pimpinan yang jahat tadi. Selaras dengan firman Allah S.W.T;

وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِینَ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِیَاۤءُ بَعۡضࣲۖ وَٱللَّهُ وَلِیُّ ٱلۡمُتَّقِینَ

“…. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).”

(al-Jathiyah: 19)

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1192454360948035/

[2] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1190551867804951/

[3] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1199421013584703/

HARAKAHDAILY 7/10/2019

- Advertisement -