PRK P.165 bakal beri banyak petunjuk berguna

- Advertisement -

PONTIAN: PRK P.165 Tanjung Piai pada 16 November nanti bakal memperlihatkan ujian berkaitan ketaatan dalaman anggota parti dan ukuran kekuatan koalisi baru antara parti yang menjadi perkembangan semasa politik negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Rusman Kemin berkata, ianya juga bakal memperlihatkan keutuhan jalinan ke arah Muafakat Nasional yang sedang dipersiapkan antara PAS, Umno serta MCA dan MIC khususnya, termasuk ahli masing-masing.

Pun begitu, beliau berharap pengundi pada PRK tersebut dapat membuat keputusan yang terbaik demi masa depan rakyat dan negara serta memberi dukungan untul menjayakan usaha serta agenda Muafakat Nasional.

Menurut Rusman, beliau optimis kemenangan akan berpihak kepada pembangkang memandangkan rakyat sendiri sudah dapat membuat penilaian terhadap pencapaian PH selama lebih setahun setengah memerintah.

Yakini beliau, walaupun calon yang bertanding bukan daripada PAS, namun praktikal di lapangan sudah dibuktikan pada beberapa siri PRK sebelum ini dan analisis kecenderungan pengundi sudah menunjukkan berpaling daripada PH.

PRK P.165 Tanjung Piai pasca Himpunan Penyatuan Ummah ini juga baginya, adalah medan jentera pilihan raya parti-parti yang bergabung melicinkan kelancaran gerak kerja bersama secara lebih efisien dan bersepadu.

Terdahulu Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin telah menyatakan sokongan PAS Johor kepada sesiapa sahaja calon diletakkan pihak pembangkang. – HARAKAHDAILY 6/10/2019

- Advertisement -