Mansuh Sekolah Vernakular: Apa kata DAP?

- Advertisement -

ANTARA resolusi paling menarik yang dibentangkan dalam Kongres Maruah Melayu ialah resolusi Kluster Pendidikan yang dibentangkan oleh wakil Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Nurul Fatin Aqilah Rahim.

- Advertisement -

Selain pembiayaan pendidikan, teras utama resolusi Kluster Pendidikan ini adalah pengenalan sekolah satu aliran melalui “pemansuhan Sekolah Vernakular secara beransur-ansur dalam tempoh enam tahun”.

Resolusi ini adalah satu resolusi yang baik kerana ia menjelaskan tuntutan spesifik pembentangnya serta alasan yang digunakan oleh pembentangnya sebagai justifikasi bagi pengemukaan tuntutan spesifik ini, iaitu: 

“Jika kita melihat semula isu iaitu berkaitan dengan Sekolah Vernakular, sebenarnya ianya tidak dapat menyatukan kaum untuk membentuk sebuah perpaduan pun sebenarnya kerana di setiap sekolah, contohnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, menggunakan bahasa pengantar yang berbeza mengikut bahasa mereka. Oleh sebab itulah pada resolusinya, pemansuhan Sekolah Vernakular secara beransur-ansur dalam tempoh enam tahun adalah bertepatan kerana pendidikannya adalah satu kunci utama kepada alat penyatuan perpaduan dengan penggunaan satu bahasa pengantar yang seragam dan penggunaan kurikulum yang seragam di semua sekolah.”

Resolusi ini juga adalah satu resolusi yang baik kerana ia menjelaskan apa yang perlu dilakukan bagi membolehkan tuntutan spesifik ini dapat dilaksanakan serta jangka masa yang diperlukan untuk ia dilaksanakan, iaitu:

“Berdasarkan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 (550) memperuntukkan, tertakluk kepada peruntukan Akta ini, Menteri boleh menubuhkan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah ini. Dan yang perlu dibuat adalah dengan mencadangkan supaya bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu dapat digunakan dan disemaikan di semua jenis sekolah kebangsaan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (550) secara berperingkat mulai tahun 2021. Gambaran ini jelas dapat diberikan adalah bahasa Melayu mula digunakan di sekolah tersebut kepada pelajar bermula tahun 1 pada tahun 2021, seterusnya pada tahun 2022 kepada pelajar tahun 2, pada tahun 2023 kepada pelajar tahun 3, pada tahun 2024 kepada pelajar tahun 4, dan seterusnya sehingga mulai tahun 2026 semua Sekolah Vernakular bertukar statusnya menjadi Sekolah Kebangsaan yang merupakan sekolah satu aliran. Buku teks juga perlu menggunakan buku yang sama dalam bahasa Melayu mengikut Seksyen 6 dan 26 Akta Pendidikan 1996 (550).”

Resolusi ini juga adalah satu resolusi yang kuat kerana ia merupakan rumusan daripada Seminar Pendidikan Anak Watan 2019 yang dilangsungkan di Auditorium Utama Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI, pada 22 September 2019.

Terlibat di dalam seminar ini adalah Dato’ Hj Abdul Raof Hussin, Dato’ Ghazali Dato’ Mohd Yusoff, Prof Madya Dr Mohd Zahuri Khairani, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus, Mohamad Adnan Zaroel dan Nurul Fatin Aqilah Rahim.

Resolusi Kluster Pendidikan ini juga mendapat dukungan kuat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran, yang berkata resolusi itu bukan pandangan ‘syok sendiri’ penganjur sebaliknya berasaskan sumber perundangan ulung negara.

Kata Naib Canselor UPSI, Resolusi Kluster Pendidikan yang dibentangkan oleh wakil UPSI adalah berpandukan kepada Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Perlembagaan dan Rukun Negara.

Kata beliau lagi, resolusi UPSI dalam bidang pendidikan misalnya, UPSI akan kemukakan kepada kerajaan supaya mengambil serius dalam aspek menjadikan pendidikan sebagai asas kepada agenda perpaduan antara kaum.

Tambah beliau, resolusi ini terhasil menerusi kajian, perbincangan meja bulat, saranan dan pandangan disuarakan ramai pakar dalam bidang pendidikan yang berpengalaman sejak dulu hingga masa kini termasuk pelajar.

Pemansuhan Sekolah Vernakular sebenarnya telah seringkali disuarakan oleh tokoh-tokoh akademik negara, tokoh-tokoh undang-undang negara serta tokoh-tokoh politik negara baik dari pihak kerajaan mahupun dari pihak pembangkang.

Antara tokoh akademik negara ini adalah pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, yang menyatakan pada 2 Disember 2008 bahawa cadangan ini sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes (1950).

Antara tokoh undang-undang negara pula adalah pakar perundangan Perlembagaan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi yang menyatakan pada 5 Mei 2013 bahawa Sekolah Vernakular adalah tidak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri menyatakan pada 25 Oktober 2018 bahawa Sekolah Vernakular penghalang kepada perpaduan nasional, begitu juga kenyataan lain beliau pada 14 Disember 2008, 20 Jun 2012, 17 November 2014 dan 28 Jun 2018.

Begitu juga dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, yang menyatakan perkara sama pada 7 Mei 2015, 21 September 2016 dan 3 November 2016, serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, pada 4 September 2016.

Sewaktu perwakilan Muslimat PAS, Salamiah Md Nor, menyuarakan perkara ini dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 pada 22 Jun 2019, cepat sahaja pemimpin DAP, Nga Kor Ming, meminta DAPSY membuat laporan polis ke atas beliau.

Kita lihat apa reaksi DAP bila perkara sama dinyatakan secara rasmi dalam bentuk resolusi oleh wakil UPSI dalam Kongres Maruah Melayu yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan oleh begitu ramai pemimpin negara yang lain. – HARAKAHDAILY 7/10/2019

- Advertisement -