Manusia mengikut agama (ajaran) ketuanya

- Advertisement -

KEBENARAN ucapan ini semakin nyata apabila dinilai daripada ucapan pemimpin politik. Bahkan kemunafikan ahli politik begitu memualkan apabila tanpa segan silu menelan ludahnya kembali. Apabila ditanya mengapa, dihamburkan segala macam alasan yang ditujukan salahnya kepada orang bawahan umpama “ini semua demi kebajikan rakyat” walhal yang di bawah terjerut lehernya.

- Advertisement -

Yang dikhuatiri adalah seandainya budaya ini merebak pula dalam kalangan rakyat. Kalau yang di atas boleh, mengapa tidak kami?

Para Ulamak berbahas, adakah sekiranya tidak diutuskan para Rasul untuk mengajar manusia kebaikan dan keburukan, adakah manusia akan mampu membezakan keduanya dengan sendiri? Menurut Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ada perkara yang manusia mampu bezakannya dengan akal yang baik dan fitrah yang sihat. Akan tetapi Iblis dan Syaitan tidak akan membiarkan ia berlaku semudah itu, maka ternyata manusia amat memerlukan panduan wahyu dari Allah, lalu Allah Ta’ala mengutuskan para Rasulnya untuk memahamkan hakikat baik dan buruk. Dinamakan Baginda S.A.W itu dengan suri tauladan yang baik bermaksud untuk diikuti, maka apabila hari ini manusia sudah hilang suri tauladan bahkan panduannya, lalu mereka mengikut siapa sahaja yang memimpinnya. Jika baik, akan jadi baiklah di bawah begitu juga sebaliknya.

Apabila hilangnya suri tauladan dalam kehidupan, maka pastinya umat terdedah kepada kerosakan. Akan tetapi, panduan terhadap suri tauladan itu masih kekal, masih boleh dirujuk sehingga kiamat, bahkan pewarisnya juga ditinggalkan. Tidak dinafikan, terdapatnya kelemahan dalam kalangan para ulamak dan pendakwah, tetapi ia tidak menghilangkan keaslian dan keabsahan al-Quran. Yang peliknya, tidak mahu mengikut al-Quran kerana kelemahan penyerunya, tetapi terang-terangan keburukan itu kerana mengikut telunjuk mereka yang jauh dari al-Quran.

Allah Taala menceritakan sikap manusia yang mudah teruja dengan tawaran kosong. Ia kerana mereka mengucapkannya dengan lenggok bahasa dan ucapan yang memukau, walhal ia hanyalah tin kosong. Firman Allah:  Al-Munāfiqūn:4:

Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)?”

Seruan mengajak manusia kembali kepada al-Quran dalam erti kata mengikut aturannya, tidak boleh berhenti sebagaimana kerja buat terhadap meninggalkan ajaran al-Quran itu tidak pernah dihentikan, bahkan semakin menggila.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
04 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 4/10/2019 

IMG 20191004 WA0019

- Advertisement -