Kongres Maruah Melayu perlu rungkai isu penting

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengharapkan Kongres Maruah Melayu yang akan diadakan pada 6 Oktober ini mesti merungkaikan beberapa isu penting. Objektif KMM bukan didasari oleh semangat sentimen semasa tetapi kerana menginsafi peranan yang harus dilaksanakan untuk membela nasib umat Islam di Malaysia. Oleh kerana itu, PAS menghantar wakil ke KMM untuk mengukuhkan penyatuan ummah dan merapatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

- Advertisement -

Terdapat beberapa perkara penting untuk diberikan perhatian. Pertama, komitmen semua pihak untuk mempertahankan kesucian Islam di Malaysia. Kedua, mengukuh tonggak penting dalam Perlembagaan. Ketiga, merencana solusi konstruktif bagi menyelesaikan kemelut orang Melayu Islam seperti cabaran ekonomi dan perniagaan, pendirian terhadap dasar afirmatif, masalah sosial, pendidikan dan budaya. Aspirasi KMM juga harus didukung bersama oleh pewaris generasi muda.

PAS menjangkakan KMM adalah salah satu wahana penting untuk membincangkan secara serius kedudukan orang Melayu Islam tanpa dipengaruhi oleh kepentingan parti politik. PAS juga menasihati pemimpin parti politik Pakatan Harapan supaya tidak membakar sentimen anti perpaduan. Mengapa perlu memburuk-burukkan keadaan apabila hampir semua pemegang taruh kepentingan orang Melayu Islam berbincang tentang nasib sendiri? Adakah ini dianggap rasis?    

Sekian, terima kasih.    

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)

4 Safar 1441 | 3 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 3/10/2019

- Advertisement -