JKM disaran tambah baik prosedur bantuan – Razman

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria bersama Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Bagan Serai telah mengadakan program jejak asnaf, semalam.

- Advertisement -

Program berkala itu telah menyantuni isi rumah yang terdiri daripada golongan asnaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kampung Parit Haji Ali, Alor Pongsu, di sini

Antara dapatan ziarah ini, rombongan menemui kanak-kanak lelaki OKU berumur 15 tahun di mana penjaganya mengadu bantuan bulanan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diberhentikan.

Hal sedemikian didapati berlaku setelah mereka mendapat notis pemberitahuan bahawa bantuan tersebut diberhentikan kerana pendapatan isi rumah telah melebihi had kelayakan menerima bantuan.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana pendapatan yang dimaksudkan tersebut merupakan hasil pendapatan anak-anaknya yang lain di mana mereka juga mempunyai tanggungan sendiri,” ujar Razman.

Beliau difahamkan, bahawa kanak-kanak OKU tersebut memerlukan penjagaan rapi sepenuhnya kerana tidak mempunyai upaya untuk menguruskan diri sendiri.

Dalam pada itu, kekangan yang dihadapi oleh kanak-kanak itu memerlukan pengawasan sepenuh masa oleh ibunya berikutan pergerakan ibunya terhad dan tidak membolehkan beliau berkerja.

Razman menyarankan agar pihak kerajaan dapat meneliti dan menambah baik prosedur kelayakan menerima bantuan JKM ini bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara sebaiknya.

Penjaga kanak-kanak tersebut juga menyatakan kekesalan tindakan penarikan kelayakan penerimaan bantuan terhadap keluarganya dan berharap ianya dapat dimurnikan dengan segera. – HARAKAHDAILY 3/10/2019 

IMG 20191003 WA0040

- Advertisement -