Kongres Maruah Melayu seiring dengan HPU914

- Advertisement -

PENGANJURAN  Kongres Maruah Melayu (KMM) oleh para cendikiawan Melayu mewakili beberapa Universiti Awam bukanlah satu saingan kepada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU), sebaliknya ia dilihat melengkapi agenda HPU yang berusaha mempertahankan hak-hak orang Melayu. Kedua-dua himpunan ini menegaskan keperluan mempertahankan tonggak-tonggak Perlembagaan Persekutuan yang mula tercabar di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Di dalam Piagam Muafakat Nasional secara jelas ditegaskan bahawa PAS dan Umno “menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara”. 

Manakala pengajuran KMM seperti yang ditegaskan oleh Prof Emeritus Dr Zainal Kling, Ketua Eksekutif Sekretariat Penganjur, adalah satu tindak balas terhadap tindakan pihak-pihak tertentu ‘bukan Melayu’ mencabar hak-hak dan kedudukan orang Melayu yang turut merangkumi kedaulatan Islam dan kebudayaan Melayu. Yang berbeza, KMM mengambil pendekatan ilmiah dalam menyuarakannya, manakala HPU mengambil pendekatan politik dan gerakan sosial.

Meskipun KMM nanti bakal dirasmikan dengan amanat Tun Dr Mahathir Mohamad, ia secara tidak langsung menunjukkan agenda mempertahankan kepentingan orang Melayu dan kedudukan Islam sukar dilangsungkan dalam pemerintahan PH. Kesanggupan Tun Dr Mahathir untuk menyuarakan isu ini di luar platform PH sedangkan PH adalah kerajaan yang memerintah, menjadi petunjuk bahawa ruang untuk melaksanakan agenda tersebut dalam PH sudah tertutup. 

Pendirian Presiden PAS untuk memenuhi jemputan pihak pengajur KMM, sekali lagi memperlihatkan budaya politik PAS yang matang dan sejahtera (BPMS) yang membuka pintu kerjasama dengan sesiapa sahaja demi untuk memperkukuhkan perpaduan ummah dan perpaduan negara. Meskipun kumpulan serpihan PAS, PAN mungkin turut hadir, PAS memaparkan jiwa yang besar dengan mendahulukan tuntutan dalam Islam.

Oleh:
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat  – HARAKAHDAILY 3/10/2019

- Advertisement -