Inkues Adib petunjuk sikap rasis pemimpin PH?

- Advertisement -

LIPIS: Inkues kematian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bukan sahaja telah mendedahkan punca tragedi atasnya, bahkan juga sikap segelintir pimpinan bukan-Islam dalam Kerajaan PH.

- Advertisement -

Peguam, Mohd Zubir Embong berkata, nilai dan kedudukan orang Melayu dan Islam dari kacamata orang bukan Islam di era pemerintahan ini dapat dilihat secara perbandingan kes yang berlaku.

Beliau membuka mata banyak pihak terhadap ketidakadilan yang terang nyata sedang terjadi ketika mengisi program Bual Bicara Isu Semasa anjuran PAS-Umno Parlimen Lipis, di sini malam kelmarin.

Beliau mengemukakan kes arwah Adib sebagai anggota Bomba bertugas memadam kebakaran dalam rusuhan di kuil dengan kes mendiang Kugan yang ditemui mati dalam lokap polis pada tahun 2009.

Menurutnya, pemimpin pembangkang ketika itu bersungguh-sungguh menuntut kes Kugan diadakan inkues walaupun hasil bedah siasat membuktikan mendiang mati kerana paru-paru berair.

Tetapi kini ujarnya, pemimpin yang sama setelah bersama Kerajaan PH, mereka langsung tidak membela kematian Adib, bahkan cuba menyatakan tragedi atas arwah ketika rusuhan itu adalah akibat kemalangan sendiri.

“Amat menghairankan apabila siasatan awal polis telah mendapati bahawa ada unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kecederaan parah Adib, tetapi pihak Peguam Negara masih tetap mengarahkan supaya satu inkues dijalankan,” kesalinya.

Lebih menghairankan maklumnya, pihak Jabatan Peguam Negara mengeluarkan afidavit ketika proses inkues masih sedang berjalan dengan menyatakan bahawa Adib tidak dipukul oleh sesiapapun.

Malah kata Zubir, Peguam Negara juga telah meminta peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat iaitu Sazlin Mansor menarik diri.

“Kerajaan PH kononnya menjunjung prinsip ‘The Rule of Law’. Tetapi dalam menyelesaikan permasalahan Kuil Sri Mariamman itupun sebaliknya. Kedua-dua pihak telah bersetuju akur dengan perintah Mahkamah.

“Tetapi apabila sampai masa untuk mengosongkan kuil, pihak kuil enggan keluar dan pemaju pula dituduh menggunakan khidmat samseng Melayu. Apa perlunya pemaju membawa samseng Melayu untuk keluarkan pihak kuil dari tanah yang sah milik mereka?

“Mengapa mereka tidak membawa polis sepertimana yang dilakukan pemaju di Pulau Pinang untuk mengeluarkan orang Melayu yang mendiami tanah yang mereka hendak majukan? Apakah ini kebetulan atau disengajakan?” soal Zubir.

Beliau sehubungan itu menyeru agar segala kes-kes ketidakadilan yang berlaku menjadi pengajaran dan rasional kepada pentingnya umat Islam bersatu. – HARAKAHDAILY 2/10/2019 

 

- Advertisement -