Di sebalik dakwaan k’jaan negeri tidak ‘berhati perut’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Di sebalik dakwaan penduduk kononnya kerajaan negeri tidak ‘berhati perut’ tanpa sedar hampir 500 penduduk di situ berpeluang memiliki hak milik tanah di kawasan berkenaan.

- Advertisement -

Sebahagian penduduk terbabit terdiri golongan miskin. Nama mereka sudah ada dalam senarai di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.

Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Nazman Che Iberahim berkata, kerajaan negeri begitu prihatin bagi menyelesaikan masalah penerokaan tanah secara haram di Bukit Tandak, Rantau Panjang.

“Penduduk yang membantah sebelum ini ditawar memiliki tanah 3 ekar seorang. Namun mereka tolak dan menyaman kerajaan.

“Saman dimulakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu kemudian berlanjutan di mana mereka membuat rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan, namun kekal kalah dan tuntutan mereka ditolak,” katanya di sini.

Media hari ini melaporkan 348 peserta Felcra mendakwa kebun getah yang miliki seluas 689 hektar ditebang kerajaan Kelantan.

Berikutan itu mereka hilang punca pendapatan apabila tanaman getah yang menjadi sumber rezeki utama ditebang.

Nazman juga berkata, tanah terbabit sebelum ini diteroka secara haram Felcra sejak sebelum 1990, telah menyerah semula tanah tersebut kepada kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 2/10/2019

- Advertisement -