Daftar undi: Bersiap untuk masa depan negara

- Advertisement -

IPOH: Seluruh rakyat Malaysia sewajarnya menganggap proses mengundi dalam pilihan raya sebagai salah satu kewajiban dan hak bagi seorang warganegara.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, seluruh masyarakat hendaklah mendaftar diri sebagai pengundi bagi persediaan menghadapi pilihan raya kelak.

“Dalam keadaan politik semasa yang bergolak kini, rakyat hendaklah mengambil langkah awal iaitu mengerahkan ahli keluarga dan jiran tetangga agar segera berbuat demikian.

“Kita hendaklah bersiap siaga dalam menghadapi apa jua keadaan yang boleh berlaku dalam tempoh terdekat. Oleh itu, amilin PAS hendaklah bergerak menyedarkan masyarakat agar berbuat sedemikian,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia.

Beliau turut menyeru semua rakyat Malaysia yang telah mencapai usia 21 tahun hendaklah mengambil kesempatan dengan kemudahan mendaftar secara atas talian.

Exco Penerangan Ameerah Perak, Nurul Farhana Omar pula berkata, anak muda selaku penentu masa depan negara hendaklah memanfaatkan peluang ini untuk memilih pemimpin terbaik bagi mentadbir negara.

“Dalam proses pemilihan pemimpin, anak muda hendaklah bijak memilih negarawan yang meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan, bukannya kepentingan individu dan politik semata.

“Misalnya di negeri Perak ini, Adun DAP Tronoh yang terpalit dengan tuduhan merogol pembantu rumah Indonesia itu menunjukkan bahawa beliau telah hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin.

“Beliau dan juga pimpinan DAP bukan sahaja tidak mengendahkan nasihat agar beliau direhatkan dari sebarang tugasan kerajaan, malah parti itu berani mencetus kontroversi dengan mengadakan perarakan bagi membela Adun itu di hadapan Mahkamah Sesyen Ipoh 24 September lalu,” bidasnya.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia digalakkan supaya melakukan pendaftaran pemilih sebagai pengundi secara atas talian melalui laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu “MySPR Daftar”.

Difahamkan juga, pendaftaran secara automatik dan pengundi yang berumur 18 tahun masih berada diperingkat awal pelaksanaan sepenuhnya mungkin berlaku pada tahun 2021. – HARAKAHDAILY 2/10/2019

IMG 20191002 WA0053

- Advertisement -