Berleter pagi

image
- Advertisement -

ANTARA  alasan kerajaan dahulu untuk diperkenalkan GST ialah kerana ramai tauke-tauke besar sebelum ini dapat melarikan diri dari membayar cukai. Jadi dengan sistem GST, kerajaan akan lebih mampu membendung masalah ini, senang hendak dikesan dekat mana yang tak bayar dan paling utama atas semua alasan itu, meningkatkan kutipan cukai negara.

- Advertisement -

Antara alasan rakyat pula untuk menolak GST ialah kerana dikatakan yang paling teruk terkesan ialah orang miskin kerana setiap orang akan dikenakan cukai. Pada kebiasaannya, orang miskin ada anak ramai dan orang kaya ada anak sedikit. Dan jika anak sama ramaipun, nilai peratusan, tetap menguntungkan yang kaya kerana kemampuannya. Enam peratus sangat banyak, sambil rakyat membandingkan dengan negara lain.

Kerajaan kemudiannya memberi jaminan bahawa banyak barangan keperluan tidak akan dikenakan cukai. Tetapi kerajaan gagal mengawalnya kerana ada peniaga bertindak meletakkan harga enam peratus cukai itu, ke atas 10 peratus cukai SST yang sedia ada. Jadi di sebalik diturunkan dahulu harga sebanyak 10 peratus sebelum dinaikkan kepada enam peratus cukai GST seperti dijanjikan, barangan menjadi semakin mahal. Banyak perniagaan terjejas. Walaupun ada beberapa orang peniaga dikenakan tindakan, ianya tidak mencukupi.

Sekarang ini, ada cadangan daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) untuk diadakan semula GST, tetapi dengan kadar yang lebih rendah tiga peratus. Dakwa mereka lagi, GST terbukti membantu ekonomi negara ketika harga minyak jatuh USD36 setong.

GST pada awal pengenalannya dikatakan telah dilaksanakan di 160 buah negara seluruh dunia. Ianya sebenarnya agak janggal jika dikatakan teruk oleh PH dahulu, yang berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat kerana mustahil 160 pemimpin berbagai negara begitu bodoh menerima sistem yang dikata teruk, apa lagi jika melibatkan wang masuk ke kantung negara. Terpaksa diakui, jika ketika itu ada pihak yang melihat kebaikan GST, jalan yang paling selamat, elakkan bertembung dengan pembangkang, kerana akan dimaki seranah oleh mereka digelar macai (pembangkang itu termasuk aku), sebab tidak tahu secara mendalam.

Cukai atau sistem kewangan yang terbaik ialah yang mematuhi kehendak Allah dan Rasul, ini pasti. GST, jelas bukan sistem Islam tetapi apabila tiada pilihan syarak, pilihan paling rendah mudharatnya, harus diambil. Berbanding SST sekarang yang dinaikkan kepada 10 peratus, pastinya tiada orang yang berakal mengatakan SST yang banyak itu lebih baik. Paling sedih, rakyat menunggu untuk dihapuskan enam, sebaliknya mendapat 10.

Adakah kerana kesungguhan mereka (yang kita tahu siapa di belakang mereka), menghapuskan GST kerana ada tauke yang rugi kerana membayar GST? Dan SST ini pula mengembalikan kemewahan mereka? Dengan bukti bahawa kewangan negara semakin teruk, walaupun mendapat lebihan 4 peratus cukai berbanding GST? Duit kerajaan semakin hilang dengan peratusan cukai yang bertambah? Ke mana duit itu pergi? Harap jangan ke poket tauke-tauke itu yang kemudiannya masuk kepada politikus tertentu. Kalau benar, rakyat juga yang melopong.

Setelah kempen BMF berlangsung dan tiba-tiba ia membantu ramai pengusaha Muslim di samping menguatkan lagi ikatan sesama mereka, ada bangkangan supaya ia tidak diteruskan. Kita tidak tahu sejauh mana berkesannya BMF ini kerana tiada kajian khusus yang dibuat, cuma, ada peniaga Muslim menyatakan perniagaan mereka meningkat dengan banyaknya. Alhamdulillah

Kemudian suara mahukan GST ini dikembalikan, seperti menekankan lagi Kerajaan PH untuk menerimanya setelah insyaAllah kesatuan peniaga Muslim melalui BMF ini berjaya. Ditambah pula himpunan Kongres Maruah Melayu, walaupun sepentas musuh politik, tetapi atas nama Islam dan kebaikan bangsa, PAS akan hadir, menyemarakkan lagi perpaduan bangsa dan agama kita. Menunjukkan Melayu Islam sekarang mahu bersatu, mengenepikan latar belakang.

Malam tadi pula berlangsungnya pertemuan secara rasmi oleh PAS dan Umno Terengganu yang dikatakan negeri yang paling payah untuk disatukan. Kita melihat perkembangan ini adalah kerana kesedaran kita bagi melindungi negara ini dari sebarang rancangan yang akan memusnahkan agama dan bangsa. Bila kita bertaut, musuh sangat terasa ngeri. Paling marah PAS berkerjasama dengan Umno, PH.

Jika tindakan-tindakan bijak seperti ini diambil, maka negara akan diselamatkan dengan cara yang terbaik. Kita tidak mahu berulang sejarah hitam dengan bersakit-sakitan sesama kita. Ia menyusahkan selain merugikan. Kita mengambil pendekatan sebegini seperti kita mengembangkan payung perpaduan sesama kita, di samping senjata kita hanya duduk di belakang kita. Kita tidak dahulukan senjata, tetapi kedamaian. PAS telah lama mengamalkan ini yang dikenali sebagai Muajahah Silmiyyah iaitu bertembung secara damai.

Serangan kepada PH  sekarang ini dari dalam dan luar. Doa qunut yang dibacakan bagi kemusnahan ikatan mereka, menampakkan hasilnya. Berpecah empat, lima atau enam kerana agama diletakkan di bawah. Diambil ketika terdesak sahaja. Kegilaan mengejar pangkat terserlah, tanpa malu, ibarat berkain tuala mengejar ayam keliling kampung, tuala terloroh, ayam tak dapat, tapi tanpa rasa malu, terus mengejar ayam.

Sedarlah Bangsa Melayu Islam yang masih menyokong kaum lain secara membabi buta, kamu hanyalah batu pelapik bagi orang itu memijak untuk naik. Kotor kamu bukan untuk Allah, pejal kamu bukan untuk agama, pecah kamu tiada kerana Rasul. Hilang jati bangsa dan agama mu nanti kerana mereka. Lihatlah sejarah, hinanya dikenang, orang seperti kamu

MOHD NASIR ABDULLAH
2 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 2/10/2019

- Advertisement -