Peguam Negara, sila letak jawatan! – UMMAH PP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pulau Pinang mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas meninggalkan jawatannya secara terhormat kerana telah melanggar prinsip dan menyalahi teras perundangan serta kehakiman negara.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Akhir Che Mat, Tommy seharusnya berjiwa besar dan tidak sepatutnya terus menerus dihimpit dengan sindrom ‘pekak’ yang mencabar solidariti desakan rakyat Malaysia.

Lantaran itu, Mohd Akhir menggesa satu prosiding menghina mahkamah terhadap Peguam Negara dijalankan segera tanpa gentar atau memihak kepada mana-mana pihak.

Beliau juga merafak sembah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan untuk menamatkan jawatan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Minggu lalu, Hakim Koroner, Rofiah Muhamad memutuskan kematian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah disebabkan perbuatan jenayah, yang mana beliau telah dipukul dan diserang oleh dua atau lebih individu pihak ketiga.

Keputusan tersebut meletakkan Peguam Negara sebagai individu yang telah menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues apabila beliau telah membuat afidavit awal menyatakan punca kematian Allahyarham Adib sebelum inkues selesai dijalankan.

Mengulas lanjut, beliau turut menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan hal berkaitan sebagai prioriti kerana berpendapat ianya amat penting untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara.

Jelasnya, keputusan mahkamah yang turut menyalahkan pihak FRU dan polis kerana gagal mengawal rusuhan yang berlaku sebelum insiden Muhammad Adib, harus dilihat secara positif dan bertanggungjawab oleh Ketua Polis Negara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu menilai  kembali standard of operating (SOP) yang ada agar dapat diperkemaskan supaya tidak berulang kembali di lain masa,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyatakan gesaan kedua iaitu supaya satu Pasukan Siasatan Khas ditubuhkan untuk menyiasat sehingga ke akar umbi bagi menangkap dan mengheret pelaku-pelaku jenayah tersebut ke muka pengadilan. – HARAKAHDAILY 1/10/2019

- Advertisement -