PRU14: Rahmat Allah S.W.T satukan PAS dan Umno

isk
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu merupakan satu rahmat dari Allah untuk menyatukan PAS dan Umno dalam satu Muafakat Nasional.

- Advertisement -

Katanya, hal ini kerana rakyat negara ini sedang berdepan dengan satu pakatan atau gabungan yang penuh dengan cacamerba dalam mentadbir urus negara.

“Peluang di hadapan kita apabila setahun pentadbiran PH berlalu, mereka tidak dapat mentadbir negara dengan baik.

“Macam-macam masalah yang timbul dan macam-macam kenyataan yang tidak masuk akal mereka buat. Jangan sia-siakan peluang ini,” katanya dalam ceramah umum Muafakat Nasional Selamatkan Malaysia di pekarangan Pejabat Umno Bahagian Pandan, malam tadi.

Jelasnya, piagam Muafakat Nasional yang dimeterai kedua parti itu pada September lalu mendapat reaksi positif dan di kagumi bukan sahaja dari dalam negara malah luar negara serta menjadi satu catatan sejarah dunia Islam.

Beliau berkata, ini kerana kesan muafakat itu kedua parti yang sebelum ini sekian lama bersengketa, kini boleh duduk bersama merancang gerak kerja demi kesejahteraan negara.

“Dalam keadaan umat Islam di luar sana yang kini sedang bersengketa dan berkonflik di antara satu sama lain.

“Oleh sebab itu, kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa kita dapat mengenepikan perbezaan dan bersatu untuk mencapai satu matlamat demi kebaikan ummah dan sejehteraan negara,” ujarnya.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang turut berucap pula berkata, penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional antara PAS dan Umno merupakan penyatuan untuk mengembalikan Malaysia dalam kerangka yang betul mengikut perlembagaan yang sebenar.

Ia berikutan keadaan demografi politik negara kini dilihat cacamerba dengan pelbagai isu dan masalah yang timbul menyebabkan keadaan negara tidak stabil, malah ada setengah pihak yang cuba untuk mengganggu gugat perlembagaan negara.

Katanya, muafakat politik PAS dan Umno sangat perlu dalam menyatukan ummah dan mengembalikan kestabilan negara.

Beliau berkata, sekiranya membiarkan perpecahan berlaku, ia akan memberi kesan kepada demografi politik negara ke arah yang lebih tidak terurus.

“Itu perlunya Muafakat Nasional ini dan perlu dijaga sungguh-sungguh serta perlu dijelaskan kepada orang bawahan.

“Tidak timbul soal siapa nak ikut siapa, PAS nak ikut Umno atau Umno ikut PAS. Tidak ada ikut sesiapa tetapi ikut Islam,” katanya yang juga Adun Gunung Semanggol.

Turut berucap sama dalam ceramah tersebut, Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajudin Rahman dan Ketua Umno Bahagian Pandan, Jamaluddin Ropa. – HARAKAHDAILY 30/9/2019

ik

- Advertisement -