Muafakat Nasional: PAS, Umno ambil langkah tepat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS dan Umno telah mengambil langkah tepat dan betul apabila memetarai Muafakat Nasional (MN) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, akan datang.

- Advertisement -

Pengerusi Majlis Penasihat PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali berkata, Umno dan PAS telah mengambil jalan yang betul dan tepat dengan politik semasa pada waktu ini.

Ini kerana, katanya masing-masing menyedari bahawa dalam politik demokrasi Malaysia dengan masyarakat majmuk ini, tidak mungkin satu parti bersendirian masuk pilihan raya dan menang boleh memerintah.

“Bersendirian tidak ada parti di Malaysia ini yang boleh menang dengan sendirinya. Umno sendiri yang pernah kalah (PRU14) dan PAS sendiri telah melihat bahawa pilihan raya baru ini bersendiri, walaupun jangkaan boleh kemenangan lebih, tapi tidak sampailah.

“Sebab itu, mereka mengambil jalan yang dilalui sekarang ini. Tentunya masing-masing tengok, dengan melakukan demikian (kerjasama) akan mencapai kekuatan baharu, insya-Allah,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam.

Namun, kata pemimpin veteran PAS itu sebagai penganalisis politik beliau mempunyai pendapat dan pandangan tersendiri mengenai kerjasama tersebut.

“Memang kita betul, positif. Cuma saya nak komen sikit Umno iaitu penyertaan (Dato’ Seri) Najib Razak dan (Dato’ Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi.

“Pada saya kedua-dua ini merupakan aset dan liabiliti. Aset kerana masing-masing memang ada pengaruh, yang boleh menjadi kekuatan kepada partinya. Tetapi, liabiliti itu oleh kerana, terpalit dengan begitu banyak tuduhan rasuah dan yang berkaitan dengannya.

“Jadi imej itu tidak baik bagi kerjasama ini. Seelok-eloknya, pada pengamatan saya mereka (Najib-Zahid) boleh bekerja menggunakan pengaruh yang ada tetapi jangan duduk di depan sebagai pemimpin utama.

“Ini untuk hendak jaga integriti kerjasama PAS-Umno. Kalau mereka boleh mengorbankan diri masing-masing bekerja tetapi tidak menjadi pimpinan utama, inilah yang terbaik bagi kerjasama itu.

“Jika tidak ianya akan menjejaskan sokongan rakyat. Sebab inilah yang akan memberi gambaran sebuah pasukan yang akan memerintah negara semula selepas PRU15,” tegasnya.

Beliau menjelaskan bagi PAS, soal taawun, tahaluf itu telah dilalui begitu banyak dengan parti-parti lain sebelum ini.

Katanya, antara parti-parti politik di Malaysia yang banyak melalui proses kerjasama politik ini ialah PAS sejak ditubuhkan tahun 1951.

“PAS dan Umno ini kali kedualah, setelah yang pertama dahulu tahun 1972, 1973 dan hampir 50 tahun lalu. Kerjasama dalam muafakat nasional kali akan memberi kekuatan politik kepada orang Melayu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/9/2019

- Advertisement -