PEKAN: Masjid Fatimah Az -Zahraa (MAFAZ) Indera Sempurna sebagaimana rumah Allah yang lain sentiasa dibanjiri oleh jemaah terutama menunaikan solat dan segala kegiatan agama oleh umat Islam.
Namun ketika ini, ruang solat bahagian kiri MAFAZ sedang dalam pembesaran yang terdahulu telahpun melalui beberapa penambahan secara berperingkat hasil daripada sumbangan orang ramai.
Pun begitu, masjid ini masih belum mampu menanggung bilangan jemaah yang semakin meningkat berikutan percambahan perumahan yang pesat ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, di sini.
Memandangkan ketika ini hanya MAFAZ satu-satunya masjid yang ada, Pengerusi MAFAZ, Ustaz Sayuti Osman dan Ahli Jawatankuasa bersepakat menaik taraf bahagian sebelah kiri masjid.
Menurut beliau pembesaran ini bertujuan untuk menampung ahli jemaah yang semakin ramai terutama waktu solat Jumaat dan juga memberi keselesaan para jemaah melakukan ibadah di dalamnya.
Istimewanya masjid ini, dahulu ia berasal daripada hanya sebuah surau kecil kemudian dibangunkan insfrastrukturnya oleh beberapa individu termasuk Ustaz Zuridan Mohd Daud yang kini Ketua Ulamak PAS Negeri Pahang.
Menurut Ustaz Zuridan, masjid sememangnya berfungsi untuk menyatukan umat dan seharusnya lebih fokus kepada perkara asas yang boleh membawa kepada kesatuan umat dengan menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai sumbernya.
Disamping itu katanya, pihak masjid seharusnya meluaskan aktiviti yang dilakukan dengan mengajak seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang, fahaman politik atau sebarang perkara yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan.
Tegasnya lagi, masjid seharusnya memainkan peranan yang lebih besar dari sudut penyatuan ummah, bukan sahaja bermaksud PAS dengan Umno tetapi keseluruhan ke arah memajukan umat Islam itu sendiri.
Umum mengetahui MAFAZ begitu sejahtera dengan majlis ilmunya dan telah dikunjungi oleh puluhan ulamak tersohor baik dalam mahupun luar negara untuk berkuliah dengan kehadiran jemaah di waktu Subuh sentiasa memenuhi ruang solat utama.
Lantaran itu Ustaz Sayuti juga mengambil inisiatif mewujudkan MAFAZ Mart sebagai satu usaha merealisasikan kempen mengutamakan pembelian barangan keluaran Muslim, selain sedikit keuntungan disalurkan ke dana pembangunan masjid.
Sehubungan dengan ini,kepada orang ramai yang ingin menyumbang boleh disalurkan ke akaun Maybank Islamic 556 226 420 239 atas nama Masjid Fatimah Az -Zahraa. – HARAKAHDAILY 30/9/2019