Liberalism: ‘Penyakit’ umat dahulu dan akhir zaman

- Advertisement -

APABILA jin yang paling Soleh jadi Liberal

- Advertisement -

Liberalism adalah satu idealogi yang menjahanamkan peradaban manusia. Merupakan pemikiran terawal yang muncul di dalam sejarah kemanusiaan. Azazil adalah seekor jin, menjadi rosak setelah mana menghidap penyakit idealogi Liberal sedangkan ketika itu dia adalah jin yang paling soleh. Liberalnya Azazil itu ialah “membebaskan” diri daripada ketetapan Allah S.W.T yang menyuruhnya sujud tunduk hormat kepada jasad Nabi Adam A.S.

Liberal secara ringkasnya bermaksud kebebasan. Iaitu membebaskan diri daripada sebarang ikatan keagamaan. Antaranya apa yang dijelaskan di dalam Tafsir Ibn Kathir tentang kata-kata Iblis;

فقال : لا أسجد له ، وأنا خير منه وأكبر سنا وأقوى خلقا ، خلقتني من نار وخلقته من طين . يقول : إن النار أقوى من الطين

“Iblis berkata; Aku tidak mahu sujud padanya, aku lebih baik daripadanya, lebih berusia daripadanya, dan fizikalku lebih kuat daripadanya. Kamu (Allah) ciptakan aku daripada api, manakala Kamu ciptakan Adam daripada tanah. Iblis berkata; Sesungguhnya api itu lebih kuat daripada tanah.”

Ayat ini jelas menunjukkan bagaimana Iblis sedang diresapi penyakit kesombongan di dalam hatinya, dan penyakit Liberal pada pemikirannya. Iaitu ingin meliberalkan diri daripada suruhan Allah S.W.T disebabkan material. Material yang dimaksudkan ialah fizikal tubuh badannya yang lebih kuat. Liberalism dan Materialism inilah yang menjadi faktor utama hancurnya bangsa-bangsa terdahulu.

Liberal Bangsa terdahulu diiringi dengan Materialism

Bangsa-bangsa terdahulu direkodkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran sarat dengan tanda keliberalan mereka yang diiringi dengan Materialism. Penyakit idealogi mereka ini disebabkan pekatnya taqlid mereka dengan generasi sebelumnya [1]. Penentangan-penentangan kaum terhadap para Nabi mereka jelas menunjukkan bahawa mereka itu ingin membebaskan (meliberalkan) diri mereka daripada kewajipan menyembah Allah S.W.T.

Antara pertikaian mereka:

قَالُوۤا۟ أَجِئۡتَنَا لِنَعۡبُدَ ٱللَّهَ وَحۡدَهُۥ وَنَذَرَ مَا كَانَ یَعۡبُدُ ءَابَاۤؤُنَا فَأۡتِنَا بِمَا تَعِدُنَاۤ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِینَ

“Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.”

(al-A’raf: 70)

Disebabkan taqlid mereka terhadap generasi terdahulu, mendorong mereka untuk “tidak terikat” dengan syariat dan ketetapan yang dibawa oleh Nabi Hud A.S, yang hanya menyuruh menyembah Allah sahaja dan meninggalkan sembahan-sembahan yang lain. Sebab itulah kaum-kaum ini disifatkan sebagai “ingkar”, kerana mereka anggap seruan menyembah Allah S.W.T itu sebagai satu ikatan yang menyekat kebebasan mereka untuk menyembah berhala.

Bahkan mereka beridealogi bahawa material batu adalah sesuatu yang lebih rasional untuk diterima berbanding menyembah Tuhan yang “tak nampak depan mata”. Boleh jelas pertikaian bangsa senada dengan konsep Materialism, berdasarkan apa yang dimuhasabahkan oleh Allah S.W.T terhadap Bani Israel di dalam al Quran:

وَإِذۡ قُلۡتُمۡ یَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى ٱللَّهَ جَهۡرَةࣰ فَأَخَذَتۡكُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ

“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.”

(al-Baqarah 55)

Antara lain disebutkan di dalam Surah al-Isra’ bagaimana Musyrikin Makkah mencabar Nabi S.A.W dengan permintaan-permintaan yang jelas menunjukkan mereka itu diselaputi dengan idealogi Materialism di dalam Surah al-Isra’ ayat 90 hingga 93 semata-mata untuk membebaskan diri daripada ketetapan Nabi Muhammad S.A.W.

Peringatan Nabi S.A.W tentang Liberal akhir zaman

Di dalam sebuah Hadis, Nabi S.A.W menceritakan tentang kemunculan golongan berfahaman Liberal, yang merupakan salah satu daripada plot-plot akhir zaman:

عن حذيفة – رضي الله عنه – ، قال : ” أول ما تفقدون من دينكم الخشوع ، وآخر ما تفقدون من دينكم الصلاة ، ولتنقضن عرى الإسلام عروة عروة ، وليصلين النساء وهن حيض ، ولتسلكن طريق من كان قبلكم حذو القذة بالقذة ، وحذو النعل بالنعل ، لا تخطئون طريقهم ، ولا يخطأنكم حتى تبقى فرقتان من فرق كثيرة فتقول إحداهما : ما بال الصلوات الخمس ، لقد ضل من كان قبلنا إنما قال الله – تبارك وتعالى – : وأقم الصلاة طرفي النهار وزلفا من الليل لا تصلوا إلا ثلاثا ، وتقول الأخرى : إيمان المؤمنين بالله كإيمان الملائكة ما فينا كافر ولا منافق ، حق على الله أن يحشرهما مع الدجال

“Diriwayatkan daripada Huzaifah al-Yamani R.A katanya; perkara pertama yang akan hilang daripada agama kamu ialah khusyuk (kemanisan hidup bersyariat). Dan yang terakhir hilang ialah solat. Akan tercabutnya prinsip-prinsip Islam satu persatu. Perempuan akan dirikan solat sekalipun haid. Kamu (umat Islam) akan mengikut jejak langkah golongan sebelum kamu setapak demi setapak, tidak berbeza pun.

“Sehinggalah berbaki dua kelompok daripada banyak kelompok. Salah satunya menyatakan “Apa kejadahnya solat lima waktu?. Orang sebelum ini dah sesatkan kita. Sebetulnya ialah firman Allah S.W.T “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam”. Jadi jangan kerjakan solat melainkan 3 kali sehari sahaja”.

“Kelompok yang kedua pula menyatakan “Keimanan orang yang beriman sama seperti malaikat. Tak mungkin ada dari kalangan kita ini orang yang kafir dan orang yang munafik”. Menjadi hak bagi Allah S.W.T untuk menghimpunkan kedua dua kelompok ini bersama Dajjal.”

(Riwayat al Hakim di dalam al Mustadrak)

Terikut dengan kekerasan hati golongan terdahulu

Di dalam Hadis di atas menceritakan tentang khusyuk. Khusyuk bukan hanya dalam solat sahaja, bahkan khusyuk dalam beribadat dan juga hidup bersyariat. Ia sering dikaitkan dengan kemanisan Iman. Erti khusyuk boleh difahami melalui penjelasan Allah S.W.T:

۞ أَلَمۡ یَأۡنِ لِلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَن تَخۡشَعَ قُلُوبُهُمۡ لِذِكۡرِ ٱللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ ٱلۡحَقِّ وَلَا یَكُونُوا۟ كَٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلُ فَطَالَ عَلَیۡهِمُ ٱلۡأَمَدُ فَقَسَتۡ قُلُوبُهُمۡۖ وَكَثِیرࣱ مِّنۡهُمۡ فَـٰسِقُونَ

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”

( al-Hadid 16)

Di dalam tafsir Ibn Abbas R.A, menyatakan bahawa setelah 13 tahun di Makah dengan penurunan ayat al-Quran Allah S.W.T bertanyakan masihkah lagi belum dapat mengkhusyukkan hati mereka mematuhi arahan Allah dan kebenaran al-Quran? Golongan terdahulu hati-hati mereka keras, sekalipun telah diturunkan kitab kepada mereka.

Di dalam Hadis Nabi S.A.W tadi menyatakan bahawa khusyuk ini sudah hilang. Umat Islam akhir zaman seolah-olah terikut jejak langkah golongan terdahulu, walaupun al-Quran telah lama diturunkan, hati mereka masih keras. Seolah-olah sukar menerima peringatan daripada al-Quran.

Penentangan dan kesamarataan Feminisme

Di dalam Hadis di atas menceritakan bahawa “perempuan mendirikan solat dalam keadaan haid”. Boleh difahami dengan penentangan terhadap Islam. Imam Ibn Battah al-Hambali di dalam kitab Al-Ibanah (الابانة عن شريعة الفرقة الناجية ومجانبة الفرق المذمومة), mengaitkan Hadis ini dengan perangai masyarakat yang terikut-ikut dengan golongan terdahulu, iaitu cuba membezakan diri daripada syariat Allah S.W.T.

Antara yang jelas pada hari ini, apabila penentangan berleluasa, kita dapat lihat bagaimana golongan Feminisme yang menyeru ke arah kesamarataan gender yang juga merupakan dasar Liberalism. Apabila orang lelaki boleh jadi imam, maka mereka beranggapan perempuan perlu bebaskan (Liberal) diri dari ketetapan itu dengan membolehkan wanita juga menjadi Imam.

Apabila orang lelaki boleh solat sepanjang masa, maka mereka juga perlu bebaskan diri untuk tidak terikat dengan ketetapan itu, iaitu dengan cara perempuan juga boleh solat sekalipun haid. Cuma membezakan diri daripada terikat dengan ketetapan syariat, sama seperti golongan terdahulu dan ajaran-ajaran sesat mereka. Seolah-olah alergi dengan apa yang dibawa oleh Islam, lalu mereka cuba mencari jalan beza.

Sebab itulah Nabi S.A.W bersabda di dalam Hadis di atas:

وَلَتَسْلُكُنَّ طَرِيقَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ حَذْوَ الْقُذَّةِ بِالْقُذَّةِ ، وَحَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ ، لَا تُخْطِئُونَ طَرِيقَهُمْ

“Iaitu umat Islam terikut-ikut setapak demi setapak dengan apa yang dilakukan oleh generasi terdahulu, membebaskan diri mereka daripada ketetapan Islam dengan mencari beza supaya tidak kelihatan sama dengan Islam.”

Liberalism mengelirukan ayat al-Quran

Di dalam Hadis di atas juga menceritakan satu situasi golongan yang mempertikaikan solat 5 waktu. Selaras dengan apa yang disebutkan di permulaan Hadis bahawa solat juga menjadi pertikaian. Antara hujah pertikaian mereka ialah “Golongan terdahulu telah menyesatkan kita, sepatutnya solat 3 waktu, bukannya 5 waktu”. Mereka bersandarkan kepada firman Allah S.W.T:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَیِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِۚ

“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam”

(Hud: 114)

Mereka mengeluarkan fatwa bahawa dalil ini menunjukkan bahawa solat itu sepatutnya 3 waktu sahaja, bukannya 5 waktu. Lantas mereka menuduh orang-orang sebelum mereka semuanya telah melaksanakan syariat yang tak betul selama ini, dan tidak mengikut al-Quran kerana mendirikan solat 5 waktu.

Seiringan dengan Hadis Nabi S.A.W:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا.

“Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekali gus mencabutnya dari hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mematikan para ulamak hingga bila sudah tiada lagi ulamak, maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Apabila mereka ditanya, mereka berfatwa tanpa ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan”.

(Shahih Bukhari)

Dan juga Hadis Nabi:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّة

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu penipu dianggap benar sedangkan orang yang benar dianggap penipu, pengkhianat dipercayai sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada ketika itu Ruwaibidhah berkata-kata. “Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?”. Baginda S.A.W menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.

(Ibn Majah)

Golongan yang hilang waspada

Di akhir Hadis Nabi S.A.W tersebut, menceritakan tentang Ummat Islam yang hilang kewaspadaannya. Mereka mengatakan bahawa orang beriman itu, semuanya iman tahap malaikat. Iaitu keimanan yang stabil, tidak naik dan tidak turun. Menganggap seolah-olah semua orang Islam itu “suci” belaka, terpelihara daripada silap dan dosa.

Fahaman Murji’ah antaranya menganggap bahawa keimanan orang beriman sama sahaja dengan keimanan para Malaikat, tidak naik dan tidak turun. Husnuzzon yang melampaui batas kemanusiaan seperti ini menyebabkan hilangnya waspada terhadap infiltrate (penyusupan musuh Islam) atau kegelongan (orang Islam yang tercemar idealoginya). Golongan ini beranggapan supaya perlu husnuzzon dengan kawan-kawan, mereka semua ini suci belaka. Manakala orang yang berwaspada dengan infiltration dan kegelongan, dianggap sebagai su’uzzon.

Imam Ibn Battah al-Hambali di dalam kitab Al-Ibanah (الابانة عن شريعة الفرقة الناجية ومجانبة الفرق المذمومة) ketika menceritakan fahaman Murji’ah menyatakan bahawa mereka meringan-ringankan perbuatan maksiat. Dengan laras faham bahasa hari ini seolah-olah “Jangan risau buat maksiat, bukan kafir pun..”. Bahkan pembawaan Liberal pada hari ini selaras dengan Murji’ah dari sudut meringan-ringankan perbuatan maksiat.

Sebab itu mereka seolah-olah “tiada masalah” dengan maksiat yang berleluasa. Seperti mereka berkata “Jangan risau, mereka itu jahat sekalipun, tetap masuk syurga”. Justeru ia mula merebak kepada Pluralism iaitu “toleransi terlampau” terhadap orang kafir, sehingga mereka berteori orang kafir mungkin lebih ikhlas berbanding dengan orang Islam. Mereka pun menaikkan slogan orang kafir yang jujur lebih bagus daripada orang Islam yang korup.

* Sila ikut video di bawah untuk penerangan yang lebih mudah difahami oleh Ustaz Abdul Mu’izz Muhammad

https://youtu.be/Gh-iDnVTwWA 

 

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1158690440991094&id=251201991739948HARAKAHDAILY 30/9/2019

- Advertisement -