Jadilah warganegara yang hormat institusi beraja

- Advertisement -

MUTAKHIR  ini terdapat segelintir pihak yang sengaja melemparkan persepsi negatif di samping semakin berani menghina institusi beraja. Terbaharu, polis menahan seorang pemimpin pemuda sebuah parti berhubung siasatan kes menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial Twitter.

- Advertisement -

Lebih mendukacitakan perbuatan itu dilakukan oleh golongan terpelajar dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri. Umpamanya, mempertikaikan kuasa Yang Di-Pertuan Agong seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu tanggungjawab memelihara hak istimewa orang Melayu. Mereka cuba mewujudkan persepsi bahawa peruntukan tersebut membeza-bezakan antara warganegara dan dianggap sebagai diskriminasi kepada kaum lain.

Sekilas pandang, hujah golongan ini seolah-olah ada kebenarannya jika perbincangan hanya berkisar kepada apa yang termaktub dalam Perlembagaan sahaja. Namun, rasional peruntukkan tersebut hanya dapat difahami apabila dihuraikan daripada perspektif sejarah. Persoalannya, jahil sangatkah mereka ini tentang peranan institusi beraja dalam sejarah pembentukan negara? Atau sengaja ingin menimbulkan polemik supaya rakyat membenci institusi ini?

Memang benar, kerajaan di era Pakatan Harapan hari ini mengamalkan kebebasan bersuara. Namun, kebebasan ini mesti ada batasannya kerana jika budaya ini tidak dibendung, ia boleh ‘mengocak’ keharmonian negara yang kita nikmati selama ini. Justeru, pihak berwajib hendaklah mengambil tindakan segera tanpa memilih ‘bulu’ sebelum menjadi ‘barah’. Bak kata pepatah, “api ketika kecil menjadi kawan, ketika besar menjadi lawan”.

Selain itu, persepsi negatif masyarakat yang mengatakan kedudukan Raja dan Yang Dipertuan Agong sedang ‘terancam’ dapat dihapuskan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan akan kembali meningkat.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS memandang serius isu penghinaan ini kerana ia menyentuh soal institusi beraja yang dijamin dalam Perlembagaan Negara iaitu Raja Berperlembagaan. Maka perkara ini perlu difahami oleh setiap lapisan masyarakat khususnya generasi muda agar sentiasa menghormati institusi beraja kerana ia merupakan salah satu teras dalam struktur pentadbiran negara. Selain itu, institusi beraja ini telah sedia wujud dalam sistem sosial orang-orang Melayu-Islam sejak berabad-abad lamanya.

Perlu diingat, sebelum kedatangan Barat ke Alam Melayu, masyarakat tempatan hanya mengenali sistem beraja dalam urusan pemerintahan negara. Daripada perkataan ‘Raja’ inilah munculnya ‘kerajaan’, suatu istilah yang merujuk kepada pemerintahan sesebuah negara yang berorganisasi dan diguna pakai hingga kini. Selepas kedatangan Islam, konsep Dewa Raja telah digantikan dengan zill Allah fi al-‘alam, zill Allah fi al-‘ardi, payung dan tombak Allah di dunia serta  lain-lain istilah bernada Islam yang menggambarkan fungsi Raja sebagai wakil kepada Allah dan Rasul-Nya yang bertanggungjawab ke atas penegakan syariat agama atas rakyat yang diperintahnya.

Sehubungan dengan itu, gelaran ‘Sultan’ diterima pakai secara meluas bagi menggambarkan fungsi mereka yang sebenarnya. Daripada perkataan ‘Sultan’ ini, lahirlah istilah ‘kesultanan’, juga merujuk kepada pemerintahan sesebuah negara di mana hierarki tertingginya ialah Sultan yang berkuasa mutlak.

Setelah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kedudukan Raja mula berubah. Raja-raja Melayu telah mengorbankan hak mereka dengan menurunkan kuasa pemerintahan kepada ‘Kabinet’ apabila menerima konsep Raja Berperlembagaan. Walau bagaimanapun, menurut Prof Madya Dr Sham Rahayu, Perlembagaan Persekutuan tidak menafikan peranan Raja sebagai tonggak kerajaan apabila meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara (per. 32), yang secara undang-undangnya menganggotai tiga badan kerajaan, iaitu Badan Perundangan (Legislatif), Badan Pemerintah (Eksekutif) dan Badan Kehakiman (Judisiari). Perkara 44 meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai satu daripada tiga unsur Parlimen.

Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen (per. 55) serta meletakkan cop mohor kepada Rang Undang-undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan dalam proses penggubalan undang-undang (per. 66). Baginda merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera (per. 41). Yang di-Pertuan Agong berkuasa mengampunkan dan menangguhkan sesuatu hukuman (per. 42).

Baginda bertangjungjawab menjaga dan memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu serta kepentingan bangsa lain (per. 153). Melalui kuasa budi bicara, menitahkan Majlis Raja-raja Melayu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan keistimewaan, kedudukan, kehormatan dan kemuliaan Raja-raja Melayu (per. 40(2)(c) ), Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah (per. 3).

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan (per. 40(2)(a) dan 43(2)(a). Baginda juga boleh menggunakan kuasa budi bicara untuk membubar Parlimen sekiranya terdapat permintaan Perdana Menteri (per. 40(2)(a)(b).

Baginda mempunyai kuasa melantik dan melucutkan jawatan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri setelah mendapat nasihat Perdana Menteri (per. 43(5). Yang di-Pertuan Agong boleh membuat pengisytiharan darurat (per. 150) dan juga membuat Undang-undang (ordianan) darurat sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak (per. 150(2B). Atas nasihat Perdana Menteri, baginda mempunyai kuasa melantik ahli Suruhanjaya-suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Perlembagaan, seperti Suruhanjaya Polis (per. 140), Pelajaran (per. 141A). Baginda juga melantik Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri (per. 145).

Kesimpulannya, walaupun institusi beraja telah berubah peranannya daripada sistem Feudal yang berkuasa mutlak kepada Raja Berperlembagaan, namun peranan institusi ini sangat penting kepada kestabilan negara. Hormatilah institusi beraja yang telah berkorban dengan menyerahkan kuasa ‘Eksekutif’ mereka kepada ‘Kabinet’ yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya. Manakala, rakyat pula tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain hendaklah menjadi warganegara yang bersyukur dan tahu diuntung.

Oleh: DR AZMAN YUSOF
Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan
PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 30/9/2019

- Advertisement -