Pesuruhjaya PAS Perlis stabil, teruskan berdoa

- Advertisement -

KANGAR: Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli yang rebah ketika berucap pada ceramah Muafakat PAS-Umno di Dewan 2020 di sini, malam tadi dilaporkan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri, Russele Eizan berkata, Mohd. Shukri sudah memberi reaksi dan telah menjalani pengimbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh rakyat agar sama-sama berdoa agar Mohd Shukri sembuh dan menjalankan tugas seperti biasa.

“Beliau sebelum ini tidak mengalami apa-apa penyakit termasuk jantung.

“Kemungkinan dia kepenatan selepas menghadiri pelbagai aktiviti sepanjang hari ini,” katanya ketika ditemui di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Mohd Shukri sebagai penceramah pertama ketika itu sedang memberi kata-kata aluan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi PAS dan Umno sebelum secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Ceramah tersebut turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Hashim Jasin, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Presiden Umno, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Shahidan Kassim.

Berikutan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang itu telah diberi bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawanya ke HTF.

Dalam pada itu, kepemimpinan  PAS dan Umno negeri serta ratusan penyokong termasuk wakil rakyat PKR dilihat hadir ke HTF bagi mengetahui perkembangan semasa Mohd. Shukri. – HARAKAHDAILY 30/9/2019

c2

c1

- Advertisement -