Jenayahkan seks luar nikah: Sokong Indonesia

- Advertisement -
LAJNAH Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia berpandangan bahawa langkah Kerajaan Indonesia memperkenalkan undang-undang yang menjadikan hubungan seks luar nikah sebagai jenayah adalah satu tindakan yang tepat.
 
Mengambilkira kesan negatif jangka masa panjang yang kebanyakannya ditanggung oleh golongan wanita serta anak-anak kecil tidak berdosa, tindakan menjenayahkan hubungan seks luar nikah seperti laporan CNBC Indonedia bertarikh 24 September 2019 dan Astro Awani bertarikh 20 September 2019, dilihat sebagai langkah ‘protective’ Kerajaan Indonesia ke atas rakyatnya.
 
Bukanlah sesuatu yang asing melihat anak-anak kecil tidak berdosa menjadi mangsa pengabaian kerana lahir di luar perkahwinan. Manakala golongan wanita pula diabaikan apabila terlanjur mengorbankan maruah diri. Kesan jangka masa panjang harus diberi perhatian berbanding keseronokan nafsu segelintir pihak yang diangkat atas nama kebebasan individu.
 
Justeru Lajnah Antarabangsa Muslimat PAS Malaysia menyokong usaha Kerajaan Indonesia dan berharap ia memberi pengaruh yang positif kepada Malaysia.
 
Lajnah Antarabangsa Muslimat PAS Malaysia percaya bahawa untuk mencapai negara yang sejahtera, pemimpin dan rakyat hendaklah menjunjung prinsip agama dan moral di tahap yang tertinggi.
 
HUSNA HASHIM
Pengerusi Lajnah Antarabangsa 
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 28/9/2019
- Advertisement -