Adib: Sampai bila umat Islam harus tertipu?

- Advertisement -

KES pembunuhan Adib

- Advertisement -

Kes kematian Adib dijustifikasikan sebagai kes pembunuhan setelah inkues selama 41 hari.Pembunuhan tersebut berlaku ketika mana rusuhan di Kuil Mariamman pada 26 November 2018. Pembunuhan dilakukan secara beramai-ramai, secara sengaja. Setelah hampir setahun kejadian, baru dapat keputusan ia “adalah kes pembunuhan”.

Almarhum datang ke tempat kejadian untuk berkhidmat sebagai seorang bomba memadamkan kebakaran, namun dibalas dengan pembelasahan terhadapnya tanpa sebab. Antara sebab jelas kenapa tempoh pendakwaan tertangguh terlalu lama, ia berpunca daripada Peguam Negara, Tommy Thomas yang “menyibuk” dalam siasatan punca kematian Adib.

Pada Mei 2019, pegawai daripada Jabatan Peguam Negara, Hamdan Hamzah telah membuat afidavit dalam mahkamah bahawa kematian Adib bukan disebabkan dipukul oleh mana-mana individu. Tindakan ini menunjukkan bahawa AG seolah-olah menyibuk serta membelakangi mahkamah. Seolah-olah AF pula berkuasa dalam hal ini. [1]

Hilangnya integiriti

Di dalam artikel ini saya lebih cenderung untuk menghuraikan bagaimana pelantikan individu-individu yang tidak selayaknya, menyebabkan berlakunya kucar-kacir dalam sesebuah institusi kenegaraan. Nabi S.A.W pernah berpesan;

إذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة. قال: كيف إضاعتها يا رسول الله؟ قال: إذا أسند الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة

“Apabila tercabulnya amanah, maka tunggulah kiamat. Abu Hurairah R.A bertanya: Bagaimana amanah itu boleh tercabul wahai Rasulullah S.A.W? Baginda menjawab: Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.”

(Shahih Bukhari)

Hadis ini diletakkan oleh Imam Bukhari di dalam Kitab al-Ilm (ilmu). Imam Ibn Hajar al Asqolani mengulas hal ini;

ومناسبة هذا المتن لكتاب العلم أن إسناد الأمر إلى غير أهله إنما يكون عند غلبة الجهل ورفع العلم، وذلك من جملة الأشراط

Munasabah hadis ini diletakkan di dalam Kitab Al-Ilm bahawa menyerahkan urusan kepada bukan ahlinya hanya berlaku apabila tersebarnya kejahilan dan hilangnya keilmuan. Ini dari aspek keseluruhan tanda Kiamat.

Di dalam Islam “pelantikan orang yang tak layak” merupakan krisis yang sangat dahsyat, khususnya dalam kemasyarakatan kenegaraan dan sebagainya. Pelantikan yang tiada kelayakan ini bermaksud “amanah” dalam tugasannya. Malaysia hari ini berhadapan dengan krisis amanah sejak zaman berzaman, sehingga wujud pula manipulasi orang yang khianat itu dilabel sebagai beramanah.

Pemerintah yang zalim dan kebodohan kurun 20

Amanah ini telah banyak diperkatakan di dalam al Quran dan Hadis sebagai satu keutamaan untuk diberi perhatian. Sebelum ini saya ada menulis tentang tanah [2] dan jelmaan kapitalism [3] juga berkaitan dengan soal amanah atau lebih dikenali sebagai integriti. Sistem demokrasi hari ini menyaksikan bagaimana kebodohan rakyat yang mudah ditipu, telah menyebabkan naiknya pemerintah yang jahat. Apabila pemerintah yang jahat memerintah, sudah pasti mereka menggazetkan undang-undang yang zalim.

Hal ini sudah banyak terlakar dalam sejarah pemerintahan sejak zaman-berzaman, sama ada dalam Empayar Babylon, Byzantium, Umawiyyah, Abbasiah, Uthmaniah, dan sebagainya. Kita boleh lihat bagaimana kejahatan berleluasa apabila negara dikuasai oleh orang yang jahat, serta didukung oleh Menteri-menteri penjilat. Menteri yang hanya rebutkan kepentingan pemerintah, sanggup membela kebatilan.

Dalam dunia hari ini, mengamalkan sistem demokrasi menggantikan sistem monarki satu ketika dahulu. Namun kezaliman itu masih berterusan kerana pemerintah itu diangkat oleh orang-orang yang bodoh dan mudah ditipu. Seiringan dengan Hadis Nabi S.A.W yang saya utarakan di atas bahawa tercabulnya amanah itu apabila kejahilan (kebodohan) itu meliputi. Inilah yang dikatakan dengan kejahilan yang menjadi penyakit ummat Islam hari ini.

Andai kejahilan itu hanya diukur dengan “tidak pandai”, perlu ingat bahawa zaman jahiliyyah melahirkan ramai sasterawan dan ahli perniagaan yang hebat-hebat. Maka, justifikasi “kebodohan” itu perlu dilihat dari sudut penolakan terhadap sistem Islam. Inilah sepertimana yang diutarakan oleh Sayyid Qutb dalam penulisannya Jahiliyyah Kurun 20. Apabila masyarakat sendiri tidak berminat untuk hidup di atas landasan syariat, maka mereka bersedia untuk mengangkat pemerintah yang sealiran dengannya.

Tidak pelik sekiranya kerajaan yang ada pada hari ini tidak membela darah ummat Islam, tidak membela hak-hak ummat Islam, dan sanggup menggadaikan prinsip-prinsip Islam dengan sesuka hati. Bentuk-bentuk penolakan terhadap Islam itu semakin jelas, dan mengundang kepada berleluasanya kezaliman. Justeru, Ummat Islam hanya perlu bekalkan diri dengan kecerdikan untuk tidak ditipu oleh mereka.

Tertipu kerana terikut ikut dengan emosi

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah sikap ummat Islam yang sering tertipu khususnya dengan mainan politik. Ketika zaman BN, masing-masing berkobar-kobar mengutuk 1MDB sealiran dengan geng Pakatan Harapan, sedangkan pendakwaan belum dibuat ketika itu, bukti pun belum ditunjukkan hingga ke hari ini. Disebabkan kegopohan, mereka terima isu ini dan menjadikannya modal untuk naikkan PH.

PAS membawa pendekatan yang konsisten iaitu “tidak bersalah selagimana tidak dibuktikan bersalah”. Tetapi Ummat Islam diteruskan dengan psywar  [4] yang membina emosi dan mood untuk menjatuhkan BN, tanpa mengikut landasan syariat. Apatah lagi PH menghidangkan manifesto-manifesto yang “lazat”, mereka mempercayainya. Sedangkan apa justifikasi untuk yakin beriman dengan janji mereka?

Sudahnya, selepas “dikencing”, barulah mereka sedar betapa mereka tertipu. Apabila naiknya para pimpinan PH di tampuk pemerintahan, mereka melantik orang-orang yang tidak selayaknya dengan jawatan tersebut. Pelbagai alasan dicipta antara “Kita beri peluang dulu, tak beri peluang tak boleh menghukum”. Masih lagi letak kepercayaan kepada orang yang dikenali dengan penipuan?

Seolah-olah Ummat Islam tak pernah baca sejarah, dan tak pernah kenal siapa orang-orang PH. Kebodohan seperti ini menyebabkan Ummat Islam ditipu berkali-kali oleh musuh-musuh Islam. Perkara ini pernah diperingatkan oleh Nabi S.A.W tentang sikap orang beriman yang sepatutnya;

لا يُلْدَغُ المؤمنُ من جُحْرٍ مرتين

“Orang beriman tidak dipatuk dua kali daripada satu lubang.”

(Bukhari Muslim)

Ummat Islam selalu lambat tersedar

Nabi S.A.W pernah bersabda;

لتنقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تشبث الناس بالتي تليها، وأولهن نقضا الحكم، وآخرهن الصلاة

Akan tercabut prinsip Islam satu persatu, setiap kali ia tercabut, ummat Islam akan pertahan prinsip yang berbaki. Mula-mula dicabut ialah undang-undang dan akhir sekali ialah solat.”

(Riwayat Ahmad)

Hadis ini seolah-olah menunjukkan bahawa ummat Islam “terlambat” sedar. Iaitu setiap kali prinsip Islam dicabul oleh musuh Islam secara halus sejak sekian lama, barulah Ummat Islam tersedar dan mempertahankan yang berbaki. Bak kata pepatah “nasi sudah jadi bubur”. Apabila sudah naik pemerintah yang jahat dan mengacau Islam, baru rasa menyesal.

Antara yang pernah disaksikan oleh sejarah Islam ialah apabila Bangsa Arab tertipu dengan seruan Nasionalism Arab yang mengundang kepada Arab Revolt 1916. Ia bermula dengan hasutan yang ditiupkan oleh TE Lawrance, seorang Intelligen Barat bahawa Orang Arab sedang dijajah oleh Bangsa Turki. Mereka bangkit untuk menyatakan hasrat mereka keluar dari Khilafah Turki Uthmaniah.

Lalu dengan semangat yang berapi-api itu mereka bangkit dan keluar daripada Khilafah Uthmaniah. Ini membuka ruang kepada British dan Perancis untuk mengagih-agihkan penguasaan mereka terhadap Negara-negara Arab melalui perjanjian Sykes Picot. Perjanjian ini membawa kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniah dan Islam tidak lagi berkuasa. Apabila diisytiharkan Khilafah Islam sudah tiada pada 1924, Bangsa Arab baru tersedar mereka tertipu. Muhasabah!

[1] http://www.astroawani.com/berita-malaysia/masuk-campur-kes-adib-pembangkang-desak-ag-letak-jawatan-208873?amp=1

[2] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1189747277885410/

[3] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1190551867804951/

[4] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1186814924845312/HARAKAHDAILY 28/9/2019

- Advertisement -