Tanjung Piai: PAS akan buktikan kerjasama

- Advertisement -

MARANG: PAS akan menyokong siapa sahaja calon pembangkang di kalangan Umno atau MCA dari Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor bagi menentang Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sokongan PAS tidak menjadi masalah terpulang kepada Umno dan rakan dalam BN tentukan calonnya.

Menurutnya, PAS akan membuktikan kerjasama parti itu dalam taawun siasi dengan Umno untuk membantu calon BN menentang PH.

“Itu kita serah kepada Umno dan rakan Barisan Nasional untuk menentukan calon, terpulang kepada mereka kerana kawasan itu mereka yang bertanding. Insya-Allah, kita akan tolonglah.

“Calon PH pun kita tidak tahu siapa lagi. Kita tunggu SPR umum dahulu bila tarikh piihan raya itu. Kita akan buktikan kerjasama itu,” ujarnya kepada pemberita selepas kuliah dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Beliau berpendapat, tidak sukar bagi BN menghadapi PRK itu kerana kemenangan PH pada PRU14 lalu dengan majoriti tipis.

“Saya rasa tidak berat kerana PH menang dengan majoriti tipis. Insya-Allah, dengan berlakunya perkembangan politik terkini, peluang baik kepada kita, insya-Allah,” jelasnya.

Ketika ditanya cadangan calon pilihan raya berusia 18 tahun dibenarkan bertanding, kata Tuan Guru Abdul Hadi, itu terpulang kepada ketokohan seseorang.

“Itu terpulang kepada ketokohan calon. Ketokohan calon tidak terikat dengan umur, sebab ada orang umur muda tetapi ada kebijaksanaan. Kalau umur tua tidak ada bijaksanaan, tak ada apa-apa erti.

“Ketokohan itu dari segi ilmu, integriti dia dan dua sifat itu sangat penting. Kalau ada itu, insya-Allah. Terpulang kepada mereka, umur ke, siapa ke, parti mana di kalangan mereka terpulang,” tegasnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai itu bakal diadakan berikutan kematian Dato’ Dr Md Farid Md Rafik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pada 21 September lalu. – HARAKAHDAILY 27/9/2019

- Advertisement -