Mahkamah Koroner sahkan arwah dipukul perusuh

- Advertisement -
SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini memutuskan bahawa kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim merupakan perbuatan jenayah dan kegagalan polis untuk bertindak pantas pada masa kejadian rusuhan di Kuil Maha Mariamman tahun lalu.
 
Koroner Rofiah Mohamad ketika menyampaikan keputusan berkata mahkamah membuat kesimpulan bahawa lebih dari seorang individu yang tidak dikenali telah mengheret mangsa keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) jabatan bomba, menarik dan memukul arwah.
 
Beliau turut menyatakan bahawa kecederaan ‘lung chest trauma’ yang dialami arwah Adib adalah bukan perbuatan diri sendiri.
 
Selain itu, katanya mendapati kematian arwah Adib disebabkan kegagalan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan FRU dalam membuat kawalan dengan pantas semasa rusuhan.
 
“Polis gagal mengawal perusuh yang menyerang FRT dan EMRS sebaik sahaja sampai ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.
 
“Melalui keterangan jelas menunjukkan bahawa beberapa kebakaran telah berlaku sebelum arwah terlibat. Anggota bomba juga telah diancam perusuh yang tidak mahu kebakaran dipadam,” katanya.
 
Berikutan itu, Rofiah berkata, mahkamah kini menyerahkan keputusan itu kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan selanjutnya sekiranya diperlukan.
 
Keputusan tersebut dibuat selepas prosiding perbicaraan di Mahkamah Koroner yang memakan masa selama 41 hari. – HARAKAHDAILY 27/9/2019
- Advertisement -