Ameerah Pekan kupas keupayaan kempen BMF

- Advertisement -

PEKAN: Ameerah Kawasan Pekan telah menganjurkan program dialog membicarakan tajuk “Produk Muslim Keutamaan Kita” di Restoran Nasi Arab Abu Aish, Indera Sempurna, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurut Pensyarah DRB-HICOM Universiti Automotif Malaysia, Rosni Abdul Rani Ibrahim selaku Pengerusi Majlis, dialog ini adalah untuk memberi kefahaman kepada kaum wanita mengenai kempen tersebut.

Jelasnya, kempen Buy Muslims First  (BMF) bukanlah seruan rasis, tetapi usaha menyokong ekonomi umat Islam, selain program juga untuk meningkatkan ukhuwah dalam kalangan muslimah.

Ahli panel terdiri daripada Ketua Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad dan Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Suhaila Sujali, manakala Guru SRITI As-Syafie Kuantan, Nur Fariha Mohd Idris bertindak selaku moderator.

Ustazah Rohana mengupas mengenai konsep halalan toyyiban di mana segala sumber dan penghasilan sesuatu produk mestilah mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Beliau turut membentangkan strategi Rasulullah S.A.W. dan para Sahabat R.A dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi umat Islam di mana berbeza dari prinsip ekonomi jahiliyah yang menindas.

Suhaila pula mengemukakan mengenai impak mengutamakan produk Muslim dalam kitaran yang menyumbang kepada ekonomi ummah di mana akan meramaikan para ‘pengeluar zakat’.

Malah jelasnya, dengan penglibatan ramai usahawan Muslim di pasaran menjadikan urusan berkaitan lebih kompetitif dan menangani isu-isu monopoli perniagaan oleh pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 27/9/2019

- Advertisement -