Hari Assabiqun Kelantan untuk semua penyokong PAS

SubkyLatif
- Advertisement -

HARI Assabiqun di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan pada 5 Oktober nanti bukan khusus dihadiri oleh anggota Assabiqun yang berusia 55 tahun ke atas saja, tapi boleh dihadiri oleh sekalian penyokong tua dan muda.

- Advertisement -

300 peserta setiap negeri yang diminta itu sendiri tidak semestinya ahli Assabiqun. Demi memenuhi kuota 300 itu, boleh disertai sama oleh pemuda, muslimat, ulama dan ahli dari kawasan-kawasan.

Bahkan rakan dari Umno yang baru menyertai Muafakat Nasional boleh hadir kerana tujuannya adalah demi meraikan para jasawan PAS iaitu mereka yang sekian lama berjuang dalam PAS tetapi kini tidak dapat aktif lagi, justeru faktor usia dan uzur.

Datang beramai-ramai meraikan mereka dapat menyegarkan semangat mereka dan mendorongnya terus istiqamah dalam jamaah.

Adalah hasrat setiap yang menyertai PAS mahu kekal dan mati dalam PAS.

Kita sama gembira melihat begitu ramai yang lama dalam PAS, masing-masing berusia 55 tahun ke atas masih kekal dalam PAS walaupun antaranya tidak dapat lagi menyumbang tenaga dalam parti, tapi dapat merangsang anak-anak muda menyertai PAS dan dapat jadi macam mereka waktu uzur dan sakit pun terus menyokong PAS.

Beramai-ramai meraikan mereka pada Hari Assabiqun itu, nescaya menyegarkan roh dan semangat mereka rasa bertuah jadi ahli PAS dan kekal bersamanya.

Bagi sekalian yang muda dan segar, yang hadir di Hari Assabiqun itu moga-moga jangkit dapat jadi istiqamah dalam PAS supaya bila masing-masing tua dan uzur nanti mereka pula dikenang dan dihargai oleh PAS masa akan datang.

Bangsa yang berbudi ialah mereka yang tahu mengenang dan menghargai jasa perjuangan orang-orang dulu. Sama seperti anak yang soleh, mereka sentiasa melayan ibu bapa sesempurna boleh.

Hormatilah Assabiqun itu seperti kita melayan ibu bapa sendiri, supaya bila kita tua nanti orang masa depan pula melayan kita.

Mana-mana yang tidak termasuk dalam 300 peserta itu, juga boleh datang, tidak payah mendaftar RM20.

Jika anda mendaftar Hari Assabiqun, panitia ada menyediakan cenderahati.

Pihak persiapan mahu ia jadi kenduri rakyat dengan menjamu gulai kawah kepada semua.

Sebagai Pengerusi Sidang Assabiqun Pusat, saya minta perhubungan PAS Kelantan dan kawasan-kawasan menyumbang kerbau dan lembu bagi menjamu penyokong yang datang dari seluruh negara termasuk rakan daripada Umno sebagai cara menyambut tanda tangan Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

Hari Assabiqun itu juga adalah tanda sekalian bersyukur atas kejayaan PAS dan Umno berani mencapai penyatuan yang masing-masing tunggu selama 68 tahun lalu.

Dua tahun lagi genaplah PAS 70 tahun. Kita rayakan 70 tahun itu dengan PAS dan Umno sudah berdua.

Sesiapa yang tidak datang pada hari Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September lalu, boleh gantikan ia pada Hari Assabiqun.

Hari Assabiqun adalah cara para jasawan merayakan kelahiran Piagam Muafakat Nasional.

Doakan gulai kawah cukup untuk semua. – HARAKAHDAILY 26/9/2019

- Advertisement -