Tanah Kg Baru: Jelmaan Kapitalis, Kolonial moden

- Advertisement -

PENJUALAN aset negara

- Advertisement -

Isu Kampung Baru pula timbul walaupun Paya Jaras belum selesai. Tanah yang tinggi nilainya, entah kepada siapa mereka nak gadaikan. Tanah di sekitar KLCC bernilai RM3000 sekaki persegi. Di Kampung Baru ditawarkan dengan RM850 kaki persegi dan mungkin meningkat [1]. Kelihatan seperti ada projek mega yang sedang dirancang. Untuk keuntungan siapa?

Dalam masa yang sama timbul isu jualan Aset Khazanah. Yang terbaru juga, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang menimbang untuk turunkan harga lantai bagi warga asing membeli tanah daripada RM1 juta kepada RM600k [2]. Untuk keuntungan siapa?

Macam-macam lagi isu penggadaian yang semakin kelihatan sejak zaman PH ini. Ditambah dengan isu warga asing sejak zaman BN hinggalah diteruskan di zaman PH. Membimbangkan. Seperti ada usaha menguasai Malaysia sebagai tapak kuasa besar. Masih memikirkan hubung kaitnya dengan agenda antarabangsa.

Keutamaan tidak jual tanah

Secara peribadi, saya menulis sebagai rakyat marhaen, menyarankan kepada penduduk Kampung Baru untuk tidak menjual tanah mereka sekalipun ditawarkan dengan harga yang luar biasa. Suka untuk saya kongsi beberapa perkara penting yang ditekankan oleh Islam:

Nabi S.A.W bersabda;

مَنْ بَاعَ دَارًا وَلَمْ يَجْعَلْ ثَمَنَهَا فِي مِثْلِهَا لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهَا

“Sesiapa yang menjual tempat tinggalnya, sedangkan dia tidak menggantikannya dengan rumah atau tanah yang lain, maka jual belinya tidak diberkati.”

(Riwayat Ibn Majah)

Antara yang dihuraikan di dalam Syarah Misykat Masabih berdasarkan petikan Hadis tadi:

يَعْنِي: بَيْعُ الْأَرَاضِي وَالدُّورِ وَصَرْفُ ثَمَنِهَا إِلَى الْمَنْقُولَاتِ غَيْرُ مُسْتَحَبٍّ، لِأَنَّهَا كَثِيرَةُ الْمَنَافِعِ قَلِيلَةُ الْآفَةِ لَا يَسْرِقُهَا سَارِقٌ وَلَا يَلْحَقُهَا غَارَةٌ بِخِلَافِ الْمَنْقُولَاتِ، فَالْأَوْلَى أَنْ لَا تُبَاعَ وَإِنْ بَاعَهَا فَالْأَوْلَى صَرْفُ ثَمَنِهَا إِلَى أَرْضٍ أَوْ دَارٍ

“Iaitu menjual tanah dan rumah, lalu duit jualan itu digunakan untuk membeli sesuatu yang boleh berpindah, hukumnya tidak digalakkan. Kerana manfaatnya banyak dan sedikit rintangan. Ia (tanah) tidak dicuri, terselamat dari rompakan, berbeza dengan sesuatu yang boleh berpindah. Maka yang lebih utama tidak menjualnya. Jika terpaksa menjualnya, lebih patut duit jualan itu digunakan untuk beli rumah atau tanah yang lain.”

Dalam hadis di atas, membincangkan keutamaan untuk tidak menjual tanah. Namun, apabila kita saksikan beberapa projek penggadaian aset negara, kita bimbang terhadap kemungkinan besar Kolonialisasi Alaf Baru oleh “orang luar” terhadap negara ini. InsyaAllah di hujung penulisan ini akan huraikan tentang Kolonialisasi Alaf Baru.

Kempen HOC membuka ruang kolonialisasi

Baru-baru ini kerajaan PH telah mengumumkan hasrat menjual hartanah Malaysia kepada warga asing termasuk dari China dan Hong Kong yang kaya [3]. Bagi saya idea membuka pintu negara untuk memudahkan warga asing membeli hartanah Malaysia adalah idea yang sangat bahaya. Jelas ia membawa kepada Kolonialisasi Alaf Baru.

Tambahan pula cadangan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing melalui kenyataan sengal Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin [4]

“Cadangan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual kepada warga asing adalah usaha untuk memulihkan ekonomi negara”

Antara yang dinyatakan juga, melalui proses pencairan dengan penjualan rumah-rumah mewah yang tidak terjual itu membolehkan pihak Bank dapat menerima bayaran daripada pemaju. Jelas di sini ia lebih kepada mengkayakan pemaju, bukan kepentingan rakyat. Atau dengan bahasa lain, seolah-olah gadaikan hartanah negara kepada warga asing untuk mengkayakan beberapa pihak.

Hanya mengkayakan pemaju

Susulan idea sengal yang dilontarkan Menteri tadi, ada beberapa plot yang perlu difahami;

1.   Kerajaan memberi kelulusan tanah kepada pemaju (orang-orang tertentu) untuk membina tapak perumahan seterusnya membuka ruang monopoli. Kalau pemaju tu kroni kerajaan, memang boleh cepat kaya.

2.   Pemaju nak bina kawasan perumahan perlukan kos yang besar, lalu mereka membuat pinjaman Bank.

3.   Setelah rumah siap dibina, beserta proses-prosesnya, pemaju menjual kepada rakyat marhean dengan harga berlipat kali ganda. 

4.   Apabila rakyat tak mampu, Bank menyediakan pinjaman sehingga tempoh puluhan tahun. Dicampur dengan riba atau “saneka benda” duit pengurusan.

5.   Disebabkan pemilikan ini seolah-olah dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu, menyebabkan harga rumah semakin hari semakin naik kerana rakyat tetap membelinya sebagai satu keperluan.

6.   Apabila harga sudah naik ke paras yang tertinggi, Bank sudah tidak mampu memberi pinjaman lagi kerana tempoh pembayaran melebihi had umur peminjam.

7.   Jadi, harga tanah akan terhenti di situ, kecuali ada warga asing yang kaya yang mampu untuk membeli rumah-rumah ini.

8.   Apabila rumah ini semakin laris dibeli oleh warga asing, maka pemaju berpeluang menaikkan lagi harga rumah selepas ini. Ini kerana ia satu keperluan, dalam masa yang sama dimonopoli oleh orang-orang tertentu.

Konsep pengurusan ini jelas sepertimana yang dipersembahkan oleh Kapitalis, iaitu si kaya akan terus kaya dan orang miskin akan terus miskin. Pemaju-pemaju sang kroni yang mendapat projek perumahan akan terus kaya manakala rakyat akan terus menerus terbeban dengan hutang sepanjang hidup.

Awal-awal lagi Islam telah melarang konsep seperti ini;

مَّاۤ أَفَاۤءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِ كَیۡ لَا یَكُونَ دُولَةَۢ بَیۡنَ ٱلۡأَغۡنِیَاۤءِ مِنكُمۡۚ

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. …..”

(al-Hasyr: 7)

Nei-Colonialization dan Kolonialisasi Alaf Baru

Yang saya maksudkan dengan Kolonialisasi Alaf Baru tidaklah terikat dengan istilah Neo-Colonialization yang digunapakai oleh A.J Stockwell (Malaysia : The Making Of A New-Colony?), atau yang diperkenalkan oleh Kwame Nkrumah ataupun Jean Paul Stratre, ataupun Marxism. Akan tetapi istilah saya ini lebih merujuk kepada strategi yang lebih seni di era baru ini.

Yang saya maksudkan dengan Kolonialisasi Alaf Baru ialah bentuk penjajahan secara rasmi (legal) mengikut lunas undang-undang negara tersebut, dengan memiliki hartanah-hartanah tertentu yang dibeli secara rasmi dengan harga yang tinggi. Ahli-ahli politik yang diberi kuasa oleh rakyat, mengkhianati hak rakyat apabila menggadaikan tanah negara kepada warga asing. Seperti pepatah, “harapkan pegar, pegar makan padi”.

Isu ini pernah terjadi pada 1989-1972 apabila beberapa rundingan dibuat oleh Theodor Herzl untuk memberi ruang kepada Yahudi Zionis membeli tanah Palestin walaupun sekangkang kera dengan berapa harga sekalipun. Namun disebabkan ketegasan Sultan Abdul Hamid II, sebagai khalifah Islam ketika itu, beliau langsung tidak memberi peluang mereka mengadakan jual beli itu.

Antara yang ditegaskan oleh beliau “Tanah Palestin itu bukan tanah aku, ia adalah hak milik Ummat Islam”. Cuba bayangkan sekiranya Sultan Abdul Hamid termakan dengan pujuk rayu si Yahudi Zionis? Sudah pasti Palestin itu terjajah lebih awal dengan lebih mudah. Hanya perlu sediakan kekayaan, negara tersebut terjajah secara simplenya.

Bayangkan Era Emperialism satu ketika dahulu, mereka bersusah payah mempertahankan tanah air mereka daripada dijajah sama ada dalam bentuk perang persenjataan, atau suapan wang kekayaan kepada Menteri-menteri yang murah maruahnya. Sebab itulah antara faktor kejatuhan Uthmaniyyah, apabila Menteri-menterinya disuap dengan duit musuh. Hasilnya, negara-negara Islam terjajah.

Manakala Kolonialisasi Alaf Baru pula adalah satu peluang penjajahan melalui duit. Kuasa-kuasa dunia yang punyai kekayaan boleh memiliki tanah negara-negara yang ingin dijajahnya, melalui undang-undang yang dibuat oleh Menteri-menteri yang berkepentingan. Pemerintah sendiri yang membuka ruang kepada orang luar untuk memiliki tanah di dalam negara.

Sedikit demi sedikit ia membawa kepada Kolonialisasi Alaf Baru. Kolonialisasi zaman dulu bersusah payah berperang dan bermodalkan persenjataan. Neo-Kolonialisasi pula perlu bermodalkan pengaruh, kuasa politik sesebuah negara. Manakala Kolonialisasi Alaf Baru pula bermodalkan duit untuk beli hartanah dan bermodalkan kebodohan Menteri.

[1] https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/609674/kerajaan-mungkin-tawar-harga-lebih-tinggi-untuk-tanah-kampung-baru/amp

[2] https://www.msn.com/en-my/news/national/jangan-turun-harga-rumah-untuk-orang-asing-kata-persatuan-pembeli/ar-AAHDh9s

[3] https://www.utusan.com.my/rencana/forum/jangan-jual-tanah-air-1.975346

[4] https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/607514/kempen-jual-rumah-kepada-warga-asing-bantu-pulihkan-ekonomi-zuraida/amp

– HARAKAHDAILY 25/9/2019

- Advertisement -