Perkhemahan AMAL Lumut terap kemahiran

- Advertisement -

LUMUT:  Jabatan Amal Malaysia Kawasan Lumut telah berjaya mengadakan Perkhemahan Amal 2019 bertempat di D’ Batik Motel Teluk Batik, di sini 21 September dan berakhir kelmarin.

- Advertisement -

Pelbagai aktiviti telah disusun oleh Pengarah Perkhemahan, Muhamad Safari Mat Abas di sepanjang program yang telah disertai lebih 20 peserta berumur antara 13 hingga 20 tahun.

Tujuan perkhemahan ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada para peserta kemahiran-kemahiran yang dapat meningkatkan keyakinan diri mereka untuk menghadapi pelbagai cabaran.

Antara aktiviti yang berjaya dilaksanakan ialah ikatan dan simpulan, survival  atau ikhtiar hidup, penyembelihan ayam, kawad kaki dan Fire Fighting.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Amal Negeri Perak, Karim Abd Rasid yang meletakkan harapan tinggi agar Jabatan Amal Lumut sentiasa mempunyai peningkatan dari semasa ke semasa.

Beliau berharap agar Jabatan Amal Lumut akan menjadi satu ikon yang mudah didampingi oleh semua golongan muda pelbagai latar belakang di kawasan ini.

“Anggota AMAL perlu berjiwa besar dan bercita-cita tinggi untuk menjadikan Jabatan Amal lebih cemerlang dalam menyampaikan mesej Islam kepada golongan muda dengan cara yang mereka senangi,” serunya.

Turut hadir di dalam perkhemahan ini, Ahli Jawatankuasa PAS Lumut, Osman Uyob dan Ahmad Kamarulnizam Majid serta Komandan AMAL Lumut, Muazam Hafiz Osman dan Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid. – HARAKAHDAILY 24/9/2019

- Advertisement -