Paya Jaras: Mencari urus tanah cara Islam

- Advertisement -

ANTARA isu yang terbaru hari ini ialah penindasan rakyat di Paya Jaras disebabkan kerompongan undang-undang buatan manusia yang tidak selari dengan syarak. Di dalam artikel ini insyaAllah kita akan berkongsi tentang asas dalam bab yang berkaitan dengan tanah mengikut konsep syara’.

- Advertisement -

Di dalam membahaskan bab tanah, Islam ada penyelesaiannya seperti pengharaman الحمى atau penguasaan terhadap tanah tanpa sebab syarie. Ada juga perbahasan tentang إحياء الموات memugar tanah dan juga الاقطاع pemberian hak tanah. Semua dasarnya dihuraikan dengan jelas.

Tempat tinggal satu keperluan

Perkara pertama yang perlu difahami ialah keperluan tempat tinggal. Ia sama dengan keperluan-keperluan yang lain, seperti udara untuk bernafas, dan air untuk minum. Keperluan-keperluan ini tidak boleh dimonopoli atau dibolot oleh orang-orang tertentu seperti menetapkan undang-undang supaya air hanya boleh dijual oleh syarikat tertentu sahaja.

Sekiranya terdapat syarikat lain yang menjual air, ia dianggap melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan. Ini sekadar contoh kezaliman dalam bentuk memonopoli keperluan manusia. Begitu juga tanah, yang telah digazetkan undang-undangnya oleh manusia hari ini secara tak selari. Bahkan ditambah perencah dengan campur tangan pengurusan yang kronism dan diktator.

Apabila berlakunya pembolotan dalam pemilikan tanah, kita akan saksikan tanah  seluas-luasnya dimiliki oleh seorang individu. Tanah-tanah kerajaan “dikurniakan” secara percuma kepada kroni-kroni tertentu, menyebabkan orang kaya terus kaya, yang miskin terus menerus diperah poketnya untuk mengkayakan si kaya tadi. Persoalan, siapakah yang sepatutnya berkuasa memberi hak tanah?

Zaman Jahiliyyah dan penyelesaian Rasulullah S.A.W

Di zaman Jahiliyyah, kuasa yang memberikan hak tanah ini dikuasai oleh Abu Jahal dan Abu Lahab, yang merupakan pembesar Makkah. Hak menentukan tanah ini milik si fulan dan tanah itu milik si fulan, ditentukan oleh kedua-dua orang Menteri ini. Kaedah ukuran yang pernah diamalkan antaranya melalui pekikan suara Abu Jahal. Sejauh mana suaranya didengari di situlah sempadan tanah yang diluluskan.

Jadi, rakyat marhean yang ingin memiliki tanah di zaman Jahiliyyah hanya dengan membeli kepada pemaju di zaman itu walaupun dengan harga yang tinggi kerana ia satu keperluan. Sedangkan pemaju tadi dapat percuma daripada pemberian dua Menteri tadi. Yang untung ialah mereka yang berkroni dengan dua Menteri ini, sering mendapat kekayaan hasil bumi Makkah.

Justeru, kaedah ini jelas menyebabkan keperluan tanah dimonopoli golongan tertentu. Ketika di Madinah, undang-undang tanah ini ditetapkan oleh Nabi Muhammad S.A.W sendiri dengan 3 kaedah yang dihuraikan tadi, iaitu larangan penguasaan terhadap tanah, pemugaran tanah dan pemberian hak milik tanah cara Islam.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

لا حِمَى إِلا لله وَلِرَسُولِهِ

“Tiada lagi penguasaan terhadap tanah melainkan Allah dan RasulNya sahaja.”

(Shahih Bukhari)

Kebebasan memiliki tanah

Cara penyelesaian Nabi S.A.W, ialah penentuan tanah seseorang itu bukanlah berdasarkan kroni akan tetapi diberikan kebebasan kepada sesiapa sahaja:

مَنْ أعْمَرَ أرْضاً لَيْسَتْ لأحَدٍ فَهُوَ أحَقُّ

“Sesiapa yang menghidupkan sesuatu tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa, maka dialah yang berhak ke atasnya”

(Shahih Bukhari)

Iaitu pemilikan tanah diberikan kepada sesiapa yang mengusahakannya. Sesiapa yang men”cop” satu kawasan tanah, dia wajib mengeluarkan modal untuk mengusahakannya. Kalau besar kawasan yang dicop, makin besar modal yang dikeluarkan. Kalau tanah itu tidak diusahakan selama tempoh 3 tahun, maka kerajaan berhak ambil semula tanah tersebut.

Maka, para Sahabat R.A setelah hukum tanah diisytiharkan, mereka berlumba-lumba mencari tanah untuk diusahakan dengan syarat usaha itu modal dari poket sendiri. Walau bagaimanapun, ada Sahabat Nabi S.A.W yang langsung tiada kemampuan untuk mengusahakan tanah, seperti Saidina Bilal R.A.

Dalam kes seperti ini, Nabi S.A.W menggunakan kaedah الاقطاع iaitu memberikan hak tanah kepada Saidina Bilal di kawasan yang dikhususkan walaupun ketika itu beliau belum ada kemampuan mengusahakannya. Setelah sekian lama akhirnya Saidina Bilal dapat menghasilkan tanaman sehingga menjadi pembekal bahan mentah di Madinah.

Harga tanah akan turun apabila monopoli dihapuskan

Undang-undang ini masyhur dalam kitab-kitab feqah untuk diamalkan. Manakala undang-undang di Malaysia agak berbeza menyebabkan terbukanya peluang untuk  memonopoli tanah-tanah, lantas ia boleh menyebabkan penindasan. Apa yang dimaksudkan ialah “kuasa memberi hak milik tanah”.

Kalau di zaman Nabi S.A.W, sesiapa sahaja bebas memiliki tanah yang diusahakan. Manakala undang-undang hari ini, bebas memugar tanah, tapi hak milik mesti buat permohonan ke Pejabat Tanah untuk dapatkan kelulusan. Selagi kelulusan tak diberikan, maka tanah yang diusahakan itu bukan milik kita sekalipun kita telah mengusahakannya puluhan tahun.

Justeru, ketetapan seperti ini terdedah kepada campur tangan ahli politik yang seolah-olah berkuasa menentukan permohonan ini lulus dan permohonan ini tidak lulus. Tidak dapat dinafikan permohonan tanah puluhan tahun tapi masih belum dapat kelulusan. Antaranya yang disiarkan dalam akhbar utusanborneo.com.mybertarikh 15 Oktober 2018.

Cuba fikir logik, sekiranya pengharaman الحمى ini dikuatkuasakan, saya yakin harga tanah akan turun mendadak. Hari ini harga tanah menggila kerana ada pihak-pihak yang membolot tanah melalui jalan belakang, menjual kepada pemaju dengan harga tertentu, dan seterusnya pemaju akan melambungkan harga setinggi yang mungkin kepada rakyat.

Bagaimana harga tanah boleh melambung?

Cuba bayangkan era Kanun Tanah Melaka, sesiapa sahaja boleh memugar tanah. Mazhab Syafie meletakkan syarat Muslim, tidak dimiliki oleh sesiapa, dan tidak mengganggu keperluan orang ramai. Apabila peluang memiliki tanah ini dibuka seluas-luasnya, maka harga tanah sangat murah. Tanah satu keperluan, dan dalam masa yang sama, Tanah Melayu ketika masih luas untuk diterokai.

Sampai satu masa, apabila undang-undang baru digazetkan, mula menetapkan seluruh tanah di Malaysia ini milik kerajaan, maka sesiapa yang ingin memilikinya perlu memohon (mendapat izin). Sekiranya kelulusan itu di tangan orang yang tidak jujur, dia akan mudah meluluskan seluas-luasnya tanah yang dipohon kroninya.

Orang yang bukan kroni dipayahkan permohonan sehingga terpaksa membeli tanah orang lain. Maka harga semakin naik kerana ia satu keperluan, dan “supply”nya semakin terhad. Sampai satu tahap, apabila rakyat tak mampu membeli tanah, Bank menawarkan pinjaman. Apabila pinjaman diberikan, maka harga tanah semakin melambung kerana rakyat ada kemampuan sekalipun dengan membuat pinjaman bank.

Rakyat tetap membeli walaupun mahal sekalipun, kerana ia adalah keperluan. Pada mulanya pinjaman selama 20 tahun. Tetapi semakin hari, harga tanah semakin naik kerana pemaju tahu, rakyat masih mampu buat pinjaman. Maka pinjaman pun mencecah 30 tahun kerana tingginya harga tanah. Sehingga sampai satu masa, harga sudah sampai paras tertinggi, manusia sudah tidak mampu membeli kerana Bank tidak dapat lagi memberi pinjaman yang lebih.

Ini disebabkan faktor umur peminjam yang terhad. Jadi, harga tanah kekal tinggi dan tidak turun-turun. Mereka yang ingin memiliki tanah kalau dahulu tak perlu buat pinjaman, hari ini sangat perlu kerana luar kemampuan. Walau bagaimanapun rakyat tetap perlu membelinya sekalipun harga paras tertinggi kerana ia satu keperluan.

Isu penduduk Paya Jaras

Di dalam kes Paya Jaras, saya mengikuti perkembangan khususnya melalui FB Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh, AF Ustaz Zaharuddin Muhammad. Para penduduk di situ ada yang telah mendiami kawasan tersebut puluhan tahun hatta sebelum wujudnya Malaysia lagi. Iaitu zaman bapa-bapa mereka.

Sepatutnya mereka yang berkondisi seperti ini awal-awal lagi diberikan geran oleh kerajaan, dan ia merupakan tanggungjawab kerajaan itu sendiri. Lebih kesal apabila ada yang dirobohkan rumahnya sekalipun ada geran. Cuma belum ada kemampuan untuk “fight” di mahkamah kerana kekangan kewangan.

Pihak kerajaan memberi alasan perobohan tersebut, bertujuan pembesaran sungai. Ya, mungkin dahulu laluan air asalnya kecil sehingga mereka membina rumah di situ. Lama kelamaan ia menjadi besar mungkin disebabkan banyak faktor antaranya pembangunan. Sehingga terpaksa mengalihkan kawasan perumahan tersebut.

Sekiranya bertujuan demikian, pihak kerajaan sekurang-kurangnya perlu menyediakan tempat yang baru atau sementara untuk diduduki terlebih dahulu. Bahkan permohonan Rumah Selangorku ditolak (surat bertarikh 20 September) iaitu selepas perobohan dibuat.[1]. Premis tersebut disuruh kosongkan. Soalannya, nak suruh mereka ke mana?

Selain itu, provokasi cap ayam juga dibuat mendakwa mereka itu warga asing. [2] Namun telah dibuktikan bahawa mereka itu warganegara Malaysia pemegang IC Biru [3]. Tambahan pula tindakan merobohkan kawasan perumahan ketika cuaca jerebu yang sedang memekat dan anak anak kecil dalam musim peperiksaan. Tiada rasional untuk menghalalkan tindakan tidak perikemanusiaan mereka.

– MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL

*Untuk penerangan yang lebih jelas boleh ikuti penerangan AF Ustaz Zaharuddin Muhammad dalam video ini:

https://www.facebook.com/312456128784829/videos/1180917465451173/

 

[1] https://www.facebook.com/312456128784829/posts/2696858760344542/

[2] https://www.facebook.com/312456128784829/posts/2697582230272195/

[3] https://www.facebook.com/312456128784829/posts/2696942837002801/

HARAKAHDAILY 25/9/2019

- Advertisement -