Jangan campuri urusan KDN

- Advertisement -

PARTI  Islam Se-Malaysia mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mencampuri secara keterlaluan urusan permohonan kewarganegaraan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN). PAS melihat DAP secara agresif memberi tekanan untuk melonggarkan syarat kewarganegaraan termasuk cadangan meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan. 

- Advertisement -

Pindaan Perkara 14 Perlembagaan akan membolehkan taraf kewarganegaraan diberi secara automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki luar negara. Pindaan ini akan membuka ruang kepada dwi kerakyatan atau pertindihan taraf kewarganegaraan anak. Penganugerahan taraf kewarganegaraan di Malaysia sangat mementingkan syarat perkahwinan dan kekeluargaan.

Pada masa ini, KDN sewajarnya diberikan ruang untuk mengemaskini kelemahan yang terdapat dalam proses kewarganegaraan sehingga menyebabkan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian kad pengenalan. Rakyat juga sangat bimbang dengan situasi lambakan pemegang-pemegang kad pengenalan yang tidak tahu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu walhal pengetahuan asas dan sesi temuduga ujian Bahasa Melayu adalah pra syarat untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

PAS mahu KDN terus membongkar dan menangkap semua dalang yang terlibat dalam isu penjualan MyKad. Isu ini sangat bahaya dan perbuatan khianat berbanding pelbagai isu remeh temeh yang sengaja ditularkan untuk menutup kontroversi ini.
 
Sekian, terima kasih.    

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)

25 Muharram 1441 | 25 September 2019 – HARAKAHDAILY 25/9/2019

- Advertisement -