PAS-Umno Selangor adakan Ijtimak Setiausaha

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesepakatan dan persefahaman menjadi kunci gerak kerja tersusun bagi mengambil alih semula Kerajaan Selangor dari PH yang diterjemahkan melalui program Ijtimak Setiausaha Umno dan PAS Selangor.

- Advertisement -

Program ini merupakan program pertama peringkat negeri selepas Himpunan Penyatuan Ummah oleh Sekretariat Muafakat Nasional Selangor yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor, Shah Alam kelmarin dahulu.

Program ini bertujuan menghimpunkan penggerak utama parti iaitu Setiausaha di peringkat Parlimen meliputi PAS dan Umno seterusnya merapatkan lagi ukhuwah dan persefahaman bersama kedua-dua parti.

Turut hadir dalam ijtimak tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan serta Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dan Setiausaha Umno Selangor, Datuk Nasaruddin M. Zin.

Sementara itu, dalam ucapan Dr Yunus dan Datuk Mat Nadzari, kedua-duanya telah menggariskan beberapa panduan dan tumpuan program bagi melancarkan gerak kerja di peringkat bawahan sehingga ke peringkat cawangan.

Dalam ucapan yang disampaikan Dato’ Dr Ahmad Yunus, beliau menekankan peranan PAS dan Umno untuk terus menghidupkan suasana harmoni di masjid dan surau seterusnya menjadi medan Penyatuan Ummah secara keseluruhannya.

“Selepas penyatuan ini, sudah tidak lagi kedengaran label ini surau PAS atau ini surau Umno atau ini masjid PAS, ini masjid Umno,” ujarnya lagi bagi menunjukkan suasana harmoni yang mula wujud di peringkat bawahan kesan dari Penyatuan Ummah yang berjaya dilaksanakan.

Dalam pada itu, Datuk Mat Nadzari turut menekankan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat tentang agenda Muafakat Nasional bahawa ianya bukan agenda rasis untuk kepentingan Islam dan Melayu sahaja.

Namun jelasnya, pemerkasaan Islam dan penyatuan Melayu sebagai teras bangsa di Malaysia akan membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat di Malaysia yang berbilang kaum dan agama. – HARAKAHDAILY 24/9/2019

- Advertisement -