HPU914: Moga mendapat keredhaan Allah

IMG 20190914 WA0041
- Advertisement -

HIMPUNAN Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di antara PAS dan Umno telah melakar dimensi baharu di antara dua parti Melayu terbesar yang saling bertelagah puluhan tahun selama ini. Ekoran daripada itu pelbagai kata-kata sinis yang dilabelkan oleh pihak seteru seperti rasis, ekstremis, “setelah terhantuk baru mengadah”, dan lain-lain lagi. Anggaplah ia umpama ‘jadam’ walaupun pahit tetapi penawar paling mujarab dalam merawat luka pertelingkahan yang sudah sekian lama.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan. Kalau tidak, nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.”

Menoleh kepada sejarah, umat Melayu pernah bersatu dan ia menjadi senjata paling ampuh ketika berhadapan dengan ancaman musuh. Sebagai contoh, selepas peperangan dunia ke-2, penjajah British memperkenalkan rancangan Malayan Union di mana implikasinya ialah kuasa Raja-raja Melayu akan dihadkan dan kewarganegaraan dilonggarkan.

Resah dengan cadangan tersebut, orang Melayu telah bersatu membantah sehingga pihak British sangat terperanjat dengan perubahan sikap masyarakat Melayu. Akhirnya, bukan sahaja rancangan Malayan Union gagal malah negara dapat dimerdekakan kerana penyatuan orang-orang Melayu yang begitu kuat pada masa itu. Hari ini kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, dapat hidup dalam suasana yang aman dan damai dalam sebuah negara yang bernama Malaysia.

Namun, selepas 61 tahun merdeka, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia khasnya orang Melayu dilihat semakin terhakis. Peribahasa yang berbunyi, “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”, seolah-olah telah dilupakan. Kemuncaknya, Melayu hilang dominan politik apabila Umno dan Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) disambut dengan sorak gempita pada awalnya. Janji PH menerusi manifestonya menjanjikan sinar baru yang sangat didambakan oleh seluruh rakyat Malaysia sebelum ini. Namun setelah setahun lebih PH memerintah tiada tanda-tanda janji akan dikotakan. Malahan, tergamak pimpinan mereka mengatakan ‘manifesto’ bukan kitab suci apabila diingatkan janji-janji ‘manis’ yang pernah mereka taburkan dahulu. PH kini didendangkan sebagai ‘Pakatan Hancing’ oleh penyokong parti lawan .

Dalam hal ini, Kerajaan PH bijak mencari alasan yang mampu meredakan kemarahan rakyat iaitu dengan menyalahkan kerajaan terdahulu sebagai punca ketidakmampuan melaksanakan janji-janji tersebut. Alasan ini dilihat ada rasionalnya dan kerajaan PH patut diberi peluang membetulkan ekonomi negara yang sedang ‘parah’ sebagaimana yang dimomokkan selama ini. Jadi, orang Melayu tiada alasan yang mendesak untuk merasa resah gelisah dengan senario politik tanah air pasca pilihan raya ke-14. Apatah lagi, Bersatu dan PAN juga parti Melayu yang dipercayai boleh mengambil alih peranan PAS dan Umno dalam mempertahankan Islam dan kepentingan orang-orang Melayu daripada dalam kerajaan pakatan.

Namun, dalam tempoh tidak sampai setahun PH memerintah, bukan sahaja janji tinggal janji tetapi harapan bertukar menjadi mimpi ngeri. Rakyat jelata khususnya orang-orang Melayu mula mempertikaikan beberapa keputusan kerajaan PH yang dilihat menghakis hak dan kepentingan mereka.

Menurut Tun Abdul Hamid Mohamad, mantan Ketua Hakim Negara, antara isu yang meruntun hati nurani orang Melayu di era kerajaan PH setakat hari ini ialah agama Islam dan Rasulullah S.A.W dihina; ATM diperlekehkan; tuntutan-tuntutan orang bukan Melayu semakin melampau; Raja-raja, bendera negara dan lagu kebangsaan dihina; pelaksanaan undang-undang berat sebelah; keadaan ekonomi semakin parah; ketenteraman negara semakin teruk; hubungan antara kaum semakin tegang; pegawai-pegawai awam dan institusi-institusi Islam semakin dalam kegelisahan; kelakuan dan kata-kata yang biadab bertambah; bantahan demi bantahan dibuat mengenai apa sahaja yang berkaitan atau yang mereka kaitkan dengan orang Melayu dan agama Islam; dan satu demi satu bantuan yang memanfaatkan orang Melayu ditarik balik dan lain-lain lagi.

Terkini ialah bantahan daripada Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) terhadap keputusan untuk melaksanakan penggunaan tulisan Jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah. Persepsi umum mengatakan bahawa persatuan ini adalah proksi kepada DAP.

Keghairahan PH atau lebih tepatnya DAP merungkai ‘kontrak sosial’ yang dimeteri kemas selama ini dilihat oleh orang-orang Melayu seperti cacing naik ke mata. Manakala, Menteri-menteri Melayu di dalam PH kelihatan begitu ‘lembik’ sehingga tidak mampu menyanggah dan menurut sahaja yang dikatakan dan dilakukan oleh DAP. Pelik tapi benar.

Melihat kepada ancaman inilah, akhirnya PAS dan Umno sanggup mengenepikan perbezaan politik dengan mengambil kaedah fekah iaitu apabila berada di dalam keadaan yang genting terpaksa memilih salah satu di antara dua mudharat, iaitu mudharat yang kecil dengan mudharat yang besar. Maka ketika itu diharuskan memilih mudharat yang kecil berbanding mudharat yang lebih besar. Atau pun jika meninggalkan mudharat tersebut maka bahayanya lebih besar maka pemilihan untuk mengambil mudharat tersebut adalah diharuskan. Di atas dasar inilah ta’awun di antara PAS dan Umno dibentuk.

Orang Melayu patut bersyukur kerana setelah lebih enam dekad berpecah dek kerana perbezaan fahaman politik akhirnya bersatu di bawah matlamat yang sama iaitu demi agama, bangsa dan negara. Hasrat murni ini patut disokong oleh segenap lapisan masyarakat kerana agendanya yang sangat jelas iaitu sebagaimana yang ditegaskan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, “persefahaman yang terjalin bukan semata-mata untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya kedua-dua parti tekad untuk menjayakan himpunan ummah sehingga akhir zaman hingga mendapat keredaan Allah S.W.T.” 

Oleh: DR AZMAN YUSOF – Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS Melaka – HARAKAHDAILY 24/9/2019

- Advertisement -