Inkues: Peguam Negara canggah Perlembagaan

- Advertisement -

PARTI Islam SeMalaysia (PAS) mengikuti dengan dekat kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Pegawai Bomba yang terkorban dalam tragedi berdarah dalam rusuhan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 26 November 2018. 

- Advertisement -

Terkini, bapa beliau memperolehi kebenaran Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding komital (penghinaan mahkamah) terhadap Peguam Negara berhubung dengan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib pada 27 Ogos 2019 lepas.

Dalam alasan penghakiman oleh Hakim Koroner Rofiah Mohamad ke atas permohonan bapa Arwah Muhammad Adib, iaitu Mohd Kassim bin Abdul Hamid, untuk memulakan satu prosiding penghinaan mahkamah terhadap Peguam Negara berhubung perlakuan beliau dalam Inkues Kematian Arwah Muhammad Adib, antaranya menyatakan:

1.     “Adalah amat tidak wajar dan menyalahi prinsip perundangan inkues serta subjudis bagi Peguam Negara untuk mengambil kedudukan mengenai punca kematian arwah Adib yang menjadi persoalan yang cuba dirungkaikan di dalam inkues yang sedang berlangsung.”

2.     “Atas imbangan kebarangkalian saya memutuskan bahawa pemohon telah menunjukkan secara prima facie bahawa Peguam Negara telah melakukan penghinaan terhadap Mahkamah.”

PAS memandang serius perkembangan terkini ini dan tidak yakin terhadap kredibiliti Peguam Negara kerana mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang.

Tindakan Tommy Thomas dianggap tidak profesional dan amat bercanggah dengan Perlembagaan Negara Persekutuan seperti dinyatakan di atas. Tindakan ini sekali gus menyebabkan prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib tertangguh dan kelewatan keadilan kepada keluarga Allahyarham.

Oleh itu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendesak supaya Peguam Negara meletakkan jawatan secara terhormat atau kami akan menghadap dan merafak sembah Yang di-Pertuan Agong supaya memecat beliau, berpandukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan, “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

“Islam Memimpin Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
24 September 2019 | 24 Muharam 1419 – HARAKAHDAILY 24/9/2019

- Advertisement -