PH gah slogan ‘maqasid’, tapi ‘syariah’ tidak ikut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemerintahan Kerajaan PH hanya semata-mata membawa slogan Islamik tanpa meletakkan Islam dikedudukannya, bahkan membiar banyak perkara bercanggah agama berlaku sewenangnya.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, antara slogan selalu dijadikan alasan digunapakai pemimpin PH adalah Maqasid Syariah.

Perkara itu dikupas beliau dalam Wacana Sinar Harian bertajuk “PAS – Umno: Dahulu Bergaduh Sekarang Berkawan” di Pejabat Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, di sini kelmarin.

“Kenapa nak ikut kepada ‘tujuan-tujuan syariah’ (Maqasid Syariah)? Kenapa tak letak terus kepada syariah? Mengikut ambil ‘tujuan’ sahaja, tapi tidak ikut syariah.

“Contoh orang solat. Maqasid dia supaya ‘menghindarkan diri daripada kemungkaran’. Orang yang ambil maqasid sahaja, (berhujah) oleh kerana dia tak buat perkara mungkar, solat itupun boleh diabaikan.

Maqasid Syariah penting, tapi jangan sampai meletakkan ‘tujuan’ (maqasid) itu lebih penting daripada syariat itu sendiri,” terang beliau.

Dr Rosni menyifatkan istilah dan slogan diuar-uarkan itu bertujuan untuk mengaburi kefahaman masyarakat sahaja, tetapi penambahbaikan untuk Islam tetap tidak terlaksana di bawah Kerajaan PH.

Kerana itulah katanya, DAP sendiri turut mengadakan program atas namaMaqasid Syariah, namun banyak melakukan tindakan yang memberi mudarat dan ancaman serta bercanggah dengan Islam itu sendiri.

Menjawab mengenai perasaan was-was di dalam politik, profesional pergigian ini menjelaskan bahawa ia hal yang perlu dihadapi sebagaimana ajaran agama dalam ibadah dengan menyebut “Amantubillahi warasulih”.

“Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kita akan terus ke depan, insya-Allah bersama-sama rakyat keseluruhan. Ayuh bangkit bersama Islam! Wallahu’alam, meninggi jangan sampai lupa diri, merendah jangan sampai hilang maruah,” ujarnya menutup kata. – HARAKAHDAILY 21/9/2019

- Advertisement -