Royalti: Ada halangan di Kementerian Kewangan

nik amar

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyifatkan negeri itu belum menerima royalti sebagaimana dijanjikan kerana halangan di Kementerian Kewangan.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng punca antara faktor penyebab royalti minyak masih belum dibayar sehingga kini.

Katanya, kerajaan negeri berpegang kepada keputusan yang dibuat Mesyuarat Majlis Kewangan Negara supaya royalti minyak dibayar kepada Kelantan.

“Saya juga difahamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberikan arahan kepada kementerian tersebut supaya membayarnya.

“Ini keputusan Majlis Kewangan Negara. Menteri Besar dan saya telah bertemu dengan Perdana Menteri sebelum ini dan kami diberi maklum arahan bayaran telah diberikan kepada kementerian itu,” ujarnya selepas majlis Solat Hajat dan Motivasi Perdana Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardhiah Panchor di Putik malam tadi.

Pada November 2018 Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu pusat tidak membayar royalti kepada Kelantan kerana disaman kerajaan negeri.

Bagaimanapun pada 24 Oktober tahun lepas kerajaan negeri mengumum menarik balik saman terhadap Petronas berikutan enggan membayar royalti petroleum  terhadap Kelantan. – HARAKAHDAILY 20/9/2019