Pelan Gentian Optik dalam mencapai WINS2051

- Advertisement -

KERAJAAN Malaysia telah mengumumkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 19 September yang lalu. Ia merupakan pelan pelaksanaan lima tahun dari 2019 sehingga 2023. Sejumlah kira-kira RM21.6 bilion akan diperuntukkan bagi menjayakan pelan yang berpaksikan tujuh sasaran utama. Tujuh sasaran itu ialah pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar satu peratus Pendapatan Negara Kasar (GNI) pada 2020; ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri pada 2023; 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih tersedia dengan capaian minimum 500Mbps pada 2021. Ia turut merangkumi 20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps pada 2022; rangkaian gentian optik meliputi 70 peratus sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos pada 2022; kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk pada 2023 dan penambahbaikan liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo setelah selesai pembinaan.

- Advertisement -

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak turut menegaskan bahawa matlamat NFCP juga adalah menggalakkan daya saing rakyat melalui penyediaan “kemahiran hidup”, prasarana dan capaian yang berkesan dalam era digital serta meningkatkan penglibatan rakyat dan perniagaan dalam merancakkan perkembangan ekonomi digital menjelang era Revolusi Industri 4.0. Pelan ini dilihat sangat selari dengan hasrat dan cita-cita PAS bagi membina sebuah Negara Sejahtera melalui gagasan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS)

WINS merupakan sebuah gagasan yang digariskan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi membina Negara Malaysia menjelang 2051. Salah satu dasar yang menjadi kerangka WINS ialah membina sebuah Negara yang menjamin ketenteraman, kemakmuran dan kesenangan, kepada rakyat. Ini terhasil daripada gabungan prinsip Perlembagaan Negara, pembangunan manusia dan ekonomi yang menekankan aspek keadilan kepada semua lapisan rakyat. Bagi mencapai wawasan ini, PAS telah membahagikan gerak kerjanya kepada tiga Fasa iaitu Fasa 1 (Transformasi Negara Sejahtera, 2018-2030), Fasa 2 (Negara Sejahtera Negara Model, 2030-2040) dan Fasa 3 (Malaysia Memimpin, 2040-2051). Pengisian bagi mencapai Fasa 1 dipandu dengan 10 teras utama. Dua teras utama dilihat sangat selari dengan NFCP iaitu capaian infrastruktur cekap, meluas dan mampu milik dan pengurangan kos sara hidup.

PAS Selangor memandang usaha ini dengan sangat positif dan berharap dapat memberi manfaat kepada beberapa kawasan seperti kawasan perindustrian di Telok Panglima Garang dan kawasan berimpak di sekitar bandar Shah Alam, Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Sepang dan Banting. Jumlah sasaran akan meliputi hampir 1,600,000 premis. Keadaan ini pasti akan membantu perkembangan industri di kawasan yang berkenaan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

PAS Selangor akan menyahut cabaran ini dengan menyediakan beberapa siri latihan kepada golongan B40 dan M40 bagi menyahut cabaran ekonomi digital. Selain itu, PAS Selangor berharap Pelan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan telus seterusnya menjamin jumlah sasaran dapat dicapai dengan berjaya.

YB DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 20/9/2019

- Advertisement -