PAS-Umno: Dulu gaduh, sekarang kawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS boleh bersama sesiapa sahaja termasuk yang menjadi lawan atau musuhnya kerana diikat oleh prinsip utama yakni juga tonggak dalam Perlembagaan PAS, iaitulah Islam.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, kerana itulah PAS yang dahulunya bergaduh dengan Umno boleh menjadi kawan kerana berganjak kepada perkara positif.

“Gaduh itu perkara yang negatif, kawan itu perkara yang positif. Kita kena berganjak daripada suatu benda yang buruk, yang negatif kepada yang positif.

“Tetapi kenapa ada juga orang yang tak suka, tak gembira?” ujarnya pada Wacana Sinar Harian bertajuk “PAS – Umno: Dulu Bergaduh Sekarang Berkawan” di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, semalam.

Jelasnya, pimpinan PAS terdahulu lebih awal menunjukkan teladan tersebut sebagaimana Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah duduk sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau merujuk beberapa peristiwa penting kebersamaan dan penyertaan pimpinan PAS bersama ‘lawan’nya ketika itu dalam isu Palestin terutamanya, serta beberapa isu yang lain.

Apatah lagi kata Dr Rosni, majoriti terbesar umat di negara ini adalah Bumiputera Melayu beragama Islam yang sudah tentu dan amat diyakini hanya Islam dapat menyatukan penduduk Malaysia.

Penyatuan ini juga jelasnya, adalah di atas dasar ta’awun yakni bertujuan kebajikan dan takwa, bukannya dalam perkara yang melibatkan dosa dan pencerobohan.

Malah katanya, PAS boleh berkawan dengan Umno tidak pelik setelah kedua-duanya bersetuju memimpin bersama Islam sebagaimana ibrah telah ditunjukkan Rasulullah S.A.W.

“Sebab sejarah dalam dunia, apabila kita memimpin bersama Islam, tidak pernah ada penganiayaan kepada orang bukan Islam ataupun golongan minoriti, tetapi menyatupadu masyarakat majmuk yang ada,” hujahnya.- HARAKAHDAILY 20/9/2019

- Advertisement -