Masih awal tubuh kerajaan campuran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masih terlalu awal untuk PAS dan Umno menubuh kerajaan campuran di negeri-negeri yang dikuasai kedua-dua parti.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerjasama Umno dan PAS yang dimeterai melalui Piagam Muafakat Nasional seumpama persefahaman secara rasmi.

Katanya, kerjasama itu masih awal dan hanya bersifat longgar.

“Muafakat Nasional lebih kepada MoU, kita meletakkan satu tanda secara rasmi memandangkan sebelum ini kerjasama tidak rasmi seperti dalam beberapa pilihan raya kecil.

“Apabila ditandatangani Piagam Muafakat Nasional kita rasmikan kerjasama. Ia lebih kepada garis panduan hubungan PAS dan Umno,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kelantan selepas menghadiri majlis solat hajat pelajar Sekolah Menengah Agama Tarbiyah Mardhiah, Panchor di sini malam tadi.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli menjelaskan buat masa sekarang tiada keperluan untuk PAS turut menyertai pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) Perlis.

“Kecualilah ada keputusan di peringkat pimpinan tertinggi kedua-dua parti, maka kita kena akur,” katanya.

Rabu lepas, Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri sedia melantik wakil rakyat PAS untuk mengisi kekosongan Exco sekiranya mendapat lampu hijau pimpinan pusat. – HARAKAHDAILY 20/9/2019

- Advertisement -