Malas berfikir: Manusia akan dikuasai robot

- Advertisement -

2019 merupakan era ke arah menjadikan manusia semakin hilang daya kekuatan akal untuk berfikir. Masing-masing semakin bergantung kepada mesin sama ada sedar atau tidak. Adakah mungkin satu hari nanti manusia sememangnya dikuasai oleh mesin atau robot?

- Advertisement -

Hakikatnya tak perlu tunggu lama. Hari ini sudah menyaksikan manusia sememangnya bergantung kepada mesin dan kemungkinan besar satu hari nanti akan dikuasai oleh mesin. Dengan kata mudah, dunia dikontrol oleh robot ciptaan manusia sendiri.

Berdasarkan perkembangan semasa hari ini, rasanya masa yang dikatakan ini tidak lama. Filem Terminator menggambarkan pertembungan yang dahsyat antara manusia dan mesin bermula pada 2017.

Akal semakin lemah daya fikir

Apabila manusia semakin lama bergantung kepada mesin, maka “akal semakin kurang daya fikir”. Contohnya,

(1)     Dulu manusia menghafal nombor telefon. Hari ini terpaksa bergantung kepada handphone untuk menyimpan phone number.

(2)     Dulu manusia hafal jalan untuk ke mana-mana. Hari ini bergantung kepada aplikasi Waze atau Google Map.

(3)     Dulu manusia menulis dan menerbit menggunakan pen. Kemudian mesin type, kemudian komputer dan yang terkini guna handphone.

(4)     Dulu manusia mencari teksi secara manual, hari ini bergantung kepada “mesin” Grab untuk memanggil kereta sewa.

Dan banyak lagi.

Bergantung kepada mesin

Kebergantungan terhadap mesin ini lama kelamaan membawa kepada penguasaan mesin terhadap manusia. Hari ini kita hampir tidak dapat membayangkan kewajaran seseorang tidak memiliki handphone.

Kita juga tidak dapat membayangkan bagaimana kalau komputer tiada dalam sebuah pejabat. Bahkan tol juga sedang berubah ke arah automatik setelah basuh kereta juga menggunakan mesin automatik.

Tukang urut akan hilang pekerjaan sedikit demi sedikit dengan wujudnya kerusi urut yang semakin laris. Munculnya bas dan keretapi tanpa pemandu, kereta milenium tanpa stereng, dan mungkin juga pendidikan ke arah “tanpa guru”.

Perkara ini telah “diandaikan” oleh seorang professor Israel yang bernama Yuval Noah Harari di dalam bukunya “Homo Deus : A Brief History Of Tomorrow” yang mula diterbitkan pada 2015.

Beliau menyatakan bahawa di masa depan setiap keputusan atau ketetapan akan dibuat oleh mesin, manakala manusia hanya perlu mengikuti ketetapan mesin tersebut tanpa dikaitkan dengan pertimbangan pribadi

Tragedi kemalangan udara 1 Julai 2002

Salah satu peristiwa daripada ratusan peristiwa yang berkaitan pertembungan mesin dan manusia ialah kemalangan yang berlaku pada 1 Julai 2002 antara Bashkirian Airlines Flight 2937 dan DHL Cargo 757. Kedua-duanya menghampiri antara satu sama lain, dengan ketinggian 36000 kaki.

Traffic Collision Avoidance System (TCAS) adalah sebuah sistem yang dipasang bagi setiap kapal terbang untuk mengelak kemalangan. Apabila menghampiri antara satu sama lain, TCAS secara automatiknya akan mengeluarkan arahan supaya satu kapal terbang turun ke bawah (descend), dan satu lagi naik ke atas (climb) untuk mengelak bertembung.

Kapal DHL Cargo menerima arahan TCAS untuk turun, manakala Kapal Bashkirian diberi arahan naik. Tetapi Air Traffic Controller (ATC) yang dikawal oleh manusia, mengeluarkan arahan kepada Kapal Bashkirian untuk turun, berbeza dengan arahan TCAS yang dikawal oleh robot.

Akhir sekali kedua-duanya turun mengakibatkan perlanggaran yang dahsyat pada jam 11.35 malam. Kesemua 71 orang di dalam kedua-dua kapal terbunuh. Hasil daripada peristiwa ini, undang undang penerbangan memutuskan jika berlaku pertembungan laluan mesti mengikut arahan TCAS (mesin) bukan lagi ATC (manusia)

Artificial Intelligence

Artificial Intelligence (Ai) adalah istilah yang diberikan untuk mesin yang mampu melaksanakan tugas mengikut kemampuan daya fikir mereka melalui manipulasi kod-kod atau terma-terma dalam komputer agar mesin tersebut mampu bertindak dengan sendiri mengikut perubahan suasana.

Bahasa mudahnya ia adalah robot (mesin) yang cuba menandingi akal manusia. Sebagai contoh yang diimaginasikan oleh Barat melalui Filem Age Of Ultron 2015 yang menggambarkan teknologi Ai yang dicipta untuk melindungi bumi daripada ancaman. Setelah Ai tersebut mengumpulkan data sejarah dan sebagainya, ia menyimpulkan bahawa ancaman utama bumi ialah manusia itu sendiri. Lalu Ai yang bernama Ultron itu bertindak untuk memerangi manusia.

Sepertimana yang saya nyatakan tadi tentang kereta tanpa stereng (pemandu). Ia merupakan salah satu percubaan penerapan elemen Ai dalam pengangkutan jalan raya. Hanya perlu pilih lokasi yang ingin dituju, kemudian pilih keselesaan kelajuan, tekan button dan seterusnya kenderaan bergerak dengan sensor-sensor yang berfungsi.

Bimbang dalam jangkamasa yang panjang, bukan hanya kereta tanpa pemandu, tetapi lokasi kita ditetapkan oleh robot. Masa dan jadual seharian kita diatur oleh robot. Robot akan “setting” kebahagiaan keluarga kita melalui agenda-agenda kebahagiaan yang telah diprogramkan.

Akal yang dikuasai

Point yang pertama saya nyatakan tentang gejala kelemahan daya fikir oleh akal manusia. Generasi ke hadapan semakin malas berfikir. “Asalkan aku cukup makan itu sudah ok”. Apabila lemahnya daya berfikir, ia akan meng“create” kebodohan.

Antara sebab kebodohan Bangsa Qibti ialah mereka selesa dengan pemerintahan Firaun. Perkara ini disebut oleh Allah S.W.T;

فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُوا۟ قَوۡمࣰا فَـٰسِقِینَ

Imam Qurtubi di dalam tafsirnya menukilkan bahawa projek pembodohan yang dilakukan oleh Firaun itu disebabkan lemahnya daya fikir mereka. Ayat-ayat sebelumnya, Firaun mengungkit nikmat yang diberikan olehnya kepada rakyat Mesir (Qibti). Justeru dengan kesenangan dan kenikmatan itu, menjadikan mereka semakin malas berfikir, dan menerima sahaja ketetapan Firaun untuk mengikuti telunjuknya.

Adakah sejarah pembodohan Firaun ini akan diulangi oleh Ai? Apabila manusia merasa kesenangan “hidup bermesin”, lama kelamaan manusia semakin malas berfikir, dan hanya ikut telunjuk mesin. Akhir sekali, mungkinkah manusia akan menganggap mesin itu segala galanya?

Lihatlah google. Seolah-olah hari ini kita telah menganggapnya mengetahui segala-galanya. Seolah-olah minda manusia ke arah dikawal oleh mesin. Apakah Dajjal di akhir zaman mengawal minda manusia dengan mesin-mesin ini?

– MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 20/9/2019

- Advertisement -