Belajar ikhlas dari Mr X

- Advertisement -

SAYA rasa, tulisan ini amat sesuai bagi diri saya dan juga kepada rakan-rakan dalam PAS jika untuk muhasabah diri seketika setelah berperang dengan musuh. Muhasabah ini bagaikan kita balik ke pangkalan setelah berhari-hari bertempur dengan musuh di medan. Dalam kata lain, gencatan senjata. Apabila ada ruang gencatan senjata, kita segera akan melihat kekurangan, kerosakan, kecederaan atau mungkin juga kematian bagi merancang strategi seterusnya untuk perang akan datang. Ia bukanlah berehat terus, tetapi berehat sebentar.

- Advertisement -

Antara perkara yang patut kita rawat dalam masa kita berjuang atas apa yang kita namakan perjuangan berasaskan agama ialah hati. Hati, kata Rasulullah ibarat raja. Ia bertakhta di dalam istana, sambil memerintah pasukannya di luar untuk melakukan apa yang sesuai mengikut kehendak dan perancangannya. Begitulah kefahaman mudah atas maksud hati itu seumpama raja. Pesan Rasulullah, apabila baik hati itu, maka baiklah rakyatnya. Tetapi sebaliknya boleh bergoncang dunia jika ketulan daging itu jahat.

Tujuan utama kita dan jin diciptakan ialah beribadat kepada Allah. Iaitu mengerjakan segala suruhan, meninggalkan segala larangan, mengikut aturan-aturannya. Tidak diterima ibadat itu jika ianya tidak mengikut turutan yang telah disediakan oleh Allah dan Rasul melalui al-Quran dan Sunnah. Manakala mahu tidak mahu, panduan daripada ulamaklah yang memperjelaskan bagaimana kehendak kedua-dua rujukan utama ini, supaya menepati apa yang dikehendaki. Dan setelah itu, wajib ia digabungkan dengan hati, iaitu ikhlas dalam melakukan ibadat itu, baharulah ia diakui Allah.

Ikhlas ialah sesuatu yang ada di dalam hati. Ia tidak kelihatan pada pandangan mata manusia. Hanya Allah yang boleh mengetahuinya sama ada ikhlas atau tidak. Dikisahkan di dalam sebuah hadis, manusia yang hebat-hebat dengan ibadat ketika di dunia, dihumban ke neraka kerana tidak ikhlas dalam melakukan amal. Ada yang mengaji, kerana mahu dipanggil sebagai qari, ada bersedekah, mahu diketahui sebagai penderma, ada yang berperang, mahu dikenali sebagai syuhada. Semua itu rupanya tidak diterima Allah kerana riak. Dan mereka hanya mendapat pujian manusia di dunia, kosong di akhirat.

Ikhlas ini juga diibaratkan sebagai seekor semut hitam, di malam gelap gelita. Tiada orang mengetahui akan pergerakan si semut itu kerana ia seperti tidak wujud langsung. Hanya Allah dengan ilmuNya tahu akan apa yang diperbuat oleh si semut tadi. Maka ikhlas ini sangat berat bagi manusia untuk melakukannya, apatah lagi mempertahankannya. Namun, ia bukan alasan bagi kita, untuk mengelak dari melaksanakan tanggungjawab kita seperti yang diperintahkan oleh Allah. Kewajipan tetap mesti dilaksanakan sama ada mencapai ikhlas atau tidak.

Amat bodoh jika seseorang membuat kenyataan bahawa, tidak perlu melakukan ibadat, jika tidak ikhlas. Contoh alasan terlaris di pasaran kejahilan ialah tidak perlu menutup aurat kerana hati sudah baik atau tiada keihklasan untuk melakukannya. Mungkin mereka perlu melihat bagaimana keadaan ahli sukan bola sepak yang berjaya sebagai misalan yang baik. Mereka itu bermula dari tidak pandai menendang bola. Berlatih, berlatih dan terus berlatih. Daripada kaki bangku, kepada pemain terhandal dan termahal atau mana-mana posisi sesuai mereka.

Akhirnya mereka mencapai anugerah tertinggi sukan seperti menjuarai Piala Dunia, atau apa-apa kejuaraan lain lagi. Penghargaan tertinggi inilah yang kita samakan sebagai ikhlas. Untuk mencapai tahap itu, mereka terus menerus melakukan latihan dan menyertai banyak pertandingan peringkat tertinggi yang mematangkan kemahiran mereka dalam bola sepak. Tiada pernah ada manusia yang lahirnya terus pandai bermain bola tanpa latihan. Alasan dangkal sebegini, hanya memperlihatkan kederhakaan mereka, bukan kebijaksanaan mereka. Ikhlas perlukan banyak latihan untuk menang perlawanan dengan syaitan, nafsu dan sebagainya.

Saya ada seorang rakan yang berkerja dengan PAS Terengganu. Saya gelarkan dia sebagai Mr X. Dia bukan pimpinan. Seingat saya, beliau berkerja dengan PAS semenjak dari lepas sekolah. Beliau berkelulusan biasa sahaja. Mendapat ilmu dalam melakukan kerja dalam PAS secara tidak formal, melalui latihan-latihan bersama rakan-rakan. Dahulu, apabila ada majlis-majlis PAS, Mr X adalah antara orang yang sampai awal menyiapkan keperluan tempat program dan sebagainya. Dan dia juga antara yang terakhir meninggalkan tapak. Dia sentiasa akan ada apabila dipanggil, jika tidak uzur.

Dia sentiasa diberi amanah yang banyak. Dia menjalankannya tanpa mengarut dan berkeluh kesah. Mengeluh kerana penat, itu biasa. Tetapi dia menolak kerja kerana marah atau seerti dengannya, saya berani katakan tidak berlaku. Semua lapisan jemaah sangat senang berurusan dengannya kerana caranya itu. Cakap yang tidak menyakitkan hati, mudah membantu dan tidak menonjolkan diri. Bagi yang biasa dengan pengurusan PAS, mereka akan tahu berapa gaji sukarelawan-sukarelawan PAS ini. Jika memikirkan duit, PAS bukan tempatnya. Hanya kerana Allah.

Sekarang, Mr X masih bersama PAS, setelah PAS menguasai Kerajaan Terengganu. Dia masih di situ, tidak meninggalkan Bukit Uhud, masih berjaga menuruti perintah pimpinan dengan beberapa orang lagi. Ramai yang sudah berpindah kerana arahan pimpinan. Ini biasa. Namun bagi Mr X, dia tetap sama seperti dahulu. Mengerjakan tugasan bagi jemaah dengan tekun. Dia masih ke sana ke sini bagi menyiapkan amanah parti. Banyak kali juga dia membantu Kerajaan Negeri melicinkan perjalanan program, walau dia tidak dibayar gaji. Bagi saya, nyata dia langsung tidak berubah.

Dia juga, walaupun sudah lama rapat dengan Presiden PAS, dia tidak melampau dalam segala urusan. Tidak menonjol bergambar dalam medsos menunjukkan dia sentiasa bersama dengan Presiden. Dia tidak pernah cuba mengambilalih tugasan pembantu Presiden semata-mata kerana dia duduk dekat dengan Presiden. Dia kekal berkerja di belakang tabir. Dia juga tidak dilihat menghantar apa-apa yang membanggakan diri sendiri, memburukkan jemaah, mahupun menyerang sesama jemaah dalam medsos. Dia tiada musuh. Dia kekalkan hubungan baik dengan semua lapisan dalam jemaah.

Dia juga tidak menunjuk-nunjuk kepandaiannya atau merendah-rendahkan kebolehan orang lain. Baginya itu adalah kepandaian masing-masing. Bila ditanya, dia ajarkan kerana semua orang ingin memberikan khidmat kepada jemaah dengan maksima tapi mungkin ada kelemahan. Mr X juga mempunyai keluarga yang memberikan khidmat kepada jemaah dan Presiden terutamanya. Dia tidak pernah menjadikan diri dan keluarganya sebagai contoh terbaik dalam jemaah. Saya cukup bertuah kerana mempunyai sahabat seperti Mr X. Kami saling bantu membantu. Amat menyenangkan berkerja dengannya. Cakapnya kurang, kerjanya bagus.

Walaupun ikhlas ialah sesuatu yang di dalam hati dan tidak nampak, tetapi ia ada mempunyai tanda-tanda khususnya. Apabila orang itu dikenali baik oleh orang-orang terdekat, disukai oleh orang baik-baik kerana kebaikannya, dia tetap sama walau dikelilingi dengan kemewahan, tidak meminta-minta, dan tidak menunjuk-nunjuk akan dirinya. Maka itulah tanda-tanda apa yang dilakukan itu insyaAllah datang dari kejernihan hatinya. Saya bukan memuji dia sembarangan kerana jika saya tuliskan namanya di sini, saya yakin, pasti tiada bantahan oleh jemaah yang kenal dia.

Saya juga tidak mahu meletakkan seseorang itu melebihi apa yang sepatutnya kerana hati sifatnya berbolak-balik. Tetapi tulisan ini adalah bagi memberikan sedikit panduan kepada semua orang yang inginkan kebaikan tersebar. Mr X adalah satu contoh yang hidup, nyata terjadi di hadapan mata kita. Saya mendoakan Mr X agar mati dalam keihklasan ini dan saya antara orang yang mendapat petunjuk untuk menjadi sebaik mungkin atas tauladannya.

Kisah-kisah sebegini, mungkin sudah biasa kita dengar dan tahu terjadi kepada pimpinan. Tetapi jika iktibar sebegini yang datang dari orang yang tidak dikenali, sebenarnya lebih menyentuh perasaan kita. Kita terasa yang kita hebat, sedangkan ada yang lebih hebat lagi. Jika kita suka uar-uarkan kerja kita, takut nanti ia dikira riak oleh Allah dan terjadi seperti dalam hadis di atas. Tidak salah untuk menghebahkan perbuatan baik kita kepada orang lain bagi menjadi ikutan mereka. Lebih besar pahalanya insyaAllah. Tetapi apabila hari-hari, atau berselang hari, sentiasa ada kisah kehebatan kita yang kita sendiri siarkan, dibimbangi ianya sudah lari dari tujuan asal.

Jadi kepada saya dan semua jemaah yang sangat suka menyebarkan hal dalaman atau serba serbi tidak kena, rasa tidak puas hati, menunjuk riak, hebat diri, hadamlah kisah Mr X ini. Dia tidak membuat apa-apa yang merugikan jemaah. Apabila ada sesuatu mengenai pimpinan, dia serahkan kepada kebijaksanaan mereka menyelesaikannya. Bukan dia menjadi hakim di FB. Ketika orang ramai menjadi seperti ahli jawatankuasa Hisbah, pantang ada kesalahan, terus dibicarakan dan ditularkan dalam medsos, dia tidak semberono mengkritik dan membawa hal dalaman keluar, kerana pastinya akan ada yang bertanya, kenapa, siapa, bagaimana, di mana, bila, lalu boleh membuka pintu fitnah.

Semoga Mr X menjadi semakin tawaduk dan ikhlas. Ramai lagi jemaah yang seperti dia yang ada, cuma saya khususkan kisah ini tentang dia sahaja. Ikhlaskan diri kita dalam kerja jemaah. Ia adalah senjata paling ampuh untuk menghadapi musuh. Ianya juga menjadi jaminan syurga kepada pengamalnya kerana itulah sasaran terakhir kita dalam berjuang, biar syahid ataupun kemenangan. Inilah yang akan membezakan jemaah kita dengan orang lain, beramal dengan betul dan kemuncaknya dengan seikhlas mungkin.

MOHD NASIR ABDULLAH
20 September 2019 – HARAKAHDAILY 20/9/2019

- Advertisement -