PAS Johor perkemas langkah menuju PRU15

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor menerusi Jabatan Pilihan Raya PAS Johor telah mengadakan lawatan ke Pejabat Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, di Wisma Persekutuan, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Lawatan diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Johor, Dr Karim Deraman itu diraikan oleh Pengarah SPR Johor, Shafie Taib bersama beberapa pegawainya.

Perbincangan dua hala antara pihak PAS Johor bersama SPR yang berlangsung selama hampir dua jam telah membincangkan pelbagai isu pilihan raya termasuklah kerjasama antara PAS dan SPR.

Antaranya untuk mendaftarkan pengundi baru di negeri ini sahaja lebih dari 400,000 layak mengundi tetapi belum mendaftar, ditambah lagi lebih 300,000 pengundi muda berumur 18 tahun juga bakal layak mengundi.

Menurut Shafie, beliau bersedia menyediakan para petugas SPR untuk memberi kursus kesedaran pilihan raya ke sekolah-sekolah di seluruh negeri itu, termasuk sekolah swasta.

Berhubung dengan pendaftaran pengundi secara automatik pula, menurut beliau, ia memakan masa lebih setahun untuk dilaksanakan kerana melibatkan urusan Jabatan Pendaftaran Negara.

Pimpinan PAS Johor yang turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Timbalan Pesuruhjaya, Roslan Nikmat dan Bendahari, Sallehuddin Md Dahiran, serta Ketua Penerangan Rusman Kemin.

Juga Ketua Dewan Ulamak, Ustaz Azlisham Azahar dan Naib Ketua Dewan Muslimat, Sabariah Mohd Amin serta Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz.

Sementara itu, Rusman Kemin menyifatkan pertemuan tersebut sebagai kecaknaan PAS Johor terhadap perubahan dan pelaksanaan polisi baru SPR berkenaan perlaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Menurut Rusman, perbincangan dua hala di Wisma Persekutuan Johor Bahru semalam memberi peluang kepada PAS Johor membina hubungan baik dengan SPR di samping mengetahui pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik tersebut.

Sementara itu, menurut Ustaz Ahmad Nawfal, pihaknya turut memberi galakan agar sistem daftar pemilih secara manual diteruskan semasa sesi perbincangan, kelmarin.

Maklum beliau, sistem pendaftaran automatik ini akan melibatkan seramai 700,000 pendaftar undi di Johor sahaja tidak termasuk negeri-negeri lain.

Serius dengan cadangan meneruskan daftar pemilih secara manual, beliau berhasrat agar pihak SPR dapat membuat penelitian lanjut berhubung isu ini dan PAS Johor sedia bekerjasama dengan SPR. – HARAKAHDAILY 19/9/2019

- Advertisement -