PAN tidak matang rentasi politik semasa

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan PAN bahawa PAS sememangnya berhasrat untuk bersama Umno sejak dahulu lagi adalah tidak benar dan memperlihatkan ketidakmatangan mereka merentasi politik semasa.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya, berkata, PAS tidak berhasrat mengadakan hubungan taawun bersama Umno ketika mereka sebagai kerajaan tetapi sekarang parti itu sudah menjadi pembangkang dan sama kedudukannya dengan PAS.

“Jadi tidak ada sebab untuk sesama pembangkang bergaduh atau berkelahi apatah lagi di saat agama Islam dan hak orang Melayu diinjak dan dipertikaikan.

“Perkembangan semasa merubah keadaan, takkan mereka tidak faham,” ujar beliau ketika ditemui Harakahdaily petang tadi.

Katanya lagi, ungkapan kononnya ‘tidak serik nanti dipatuk sekali lagi’, ‘akan disingkirkan seperti yang pernah berlaku dahulu’, semuanya tidak berasas dan sengaja diungkap untuk memperkecilkan penyatuan ummah antara kedua-dua parti itu.

“Nak patuk siapa? Nak tendang siapa? PAS tidak hanya mempunyai sejarah bekerjasama dengan Umno sahaja. PAS pernah bersama Semangat 46, PKR dan DAP.

“Ini membuktikan PAS tidak putus asa demi kebaikan agama, bangsa, rakyat dan negara,” balas beliau.

Tegasnya juga, dahulu dan sekarang mempunyai perbezaan sepertimana DAP boleh bersama Tun Dr Mahathir sedangkan dahulu Perdana Menteri itu tidak boleh diterima oleh parti berkenaan.

Begitu juga, ujarnya dengan pemimpin PAN di mana suatu ketika dahulu amat memusuhi Tun Mahathir sehingga pelbagai gelaran diberikan.

“Oleh itu, apa masalahnya sekiranya PAS dan Umno boleh bersama sekarang?” soal beliau.– HARAKAHDAILY 19/9/2019

- Advertisement -