Gesa peraturan jualan arak murah dikuatkuasakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia tidak sewajarnya menangguhkan peraturan penjualan arak murah hanya kerana desakan beberapa pengilang dan pengeluar serta penjual arak murah.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sedangkan mereka itu bukan mewakili masyarakat ataupun orang awam yang menjadi mangsa kepada penjualan arak murah.

Tegas beliau, Kementerian tidak seharusnya melayani desakan para pengilang, kerana mereka hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk daripada penjualan arak murah.

“Kita menyokong penuh apa yang dinyatakan oleh Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia atas keadaan ataupun kesan negatif yang semakin merebak akibat penjualan arak ini khususnya kepada golongan B40.

“Yang paling menjadi mangsa juga ialah warga India yang berada di estet-estet yang menyebabkan mereka ini sebahagiannya ketagihan samsu. Samsu yang dijual secara murah di kedai-kedai di dalam estet.

“Apa sebenarnya alasan Kementerian Kesihatan menerima saranan daripada pengilang ini sehingga menangguhkan pelaksanaan penguatkuasaan ini?

“Adakah Kementerian tidak melihat apa yang ada di depan mata mereka ketika mana begitu ramai rakyat di bawah ini yang menjadi mangsa kepada minuman arak yang murah ini, yang sangat bahaya kepada kesihatan.

“Malah menyebabkan ada yang sudah terkorban, berlaku kes tahun lepas, ramai yang telah mati akibat minum arak ini,” ujarnya menyatakan sokongan kepada NGO Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia yang menghantar memorandum kepada Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan sama ada Kementerian Kesihatan mewakili rakyat untuk menjaga kesihatan rakyat ataupun sebenarnya mewakili pengilang-pengilang yang mereka itu secara sangat rakus mengaut keuntungan daripada pengeluaran produk mereka.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat mendesak supaya Kementerian mengambil segera saranan oleh Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia terhadap isu itu.

Katanya, seluruh rakyat sangat mengharapkan tidak ada lagi penjualan arak ini yang sama sekali telah memberi satu kerugian yang besar kepada negara dan kepada rakyat sendiri.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan sendiri akan menanggung kos kerugian akibat penjualan ini, kerana terpaksa meningkatkan kos perkhidmatan di hospital akibat ramainya rakyat terlibat dengan minuman arak.

“Kerana ada yang terpaksa membuat rawatan dan masuk ke wad hospital dan ada yang telah mati. Dan PAS akan membawa isu ini ke sidang Parlimen nanti pada bulan Oktober ini.

“InsyaAllah untuk menyokong usaha supaya kerajaan serius dengan tegas menyekat penjualan arak murah ini. Bahkan bagi PAS sendiri, kita menyarankan supaya masyarakat perlu sedar bahawa bahaya arak ini sama ada arak yang dijual secara sah ataupun tidak sah.

“Saranan dalam agama Islam sendiri bahawa arak itu adalah suatu punca kejahatan yang menyebabkan masyarakat menghadapi pelbagai keadaan yang sulit akibat arak ini, termasuklah konflik rumah tangga, masalah kesihatan, berlaku ketagihan, masalah sosial di kalangan remaja dan sebagainya,” peringatnya. – HARAKAHDAILY 19/9/2019

- Advertisement -