Tepat, senang, mudah faham

- Advertisement -

ADA sebuah kisah berkenaan dua orang yang bersahabat. Seorang bernama Mat, agak kelihatan bergaya, macam pandai, selalu menunjukkan sikap mahu lebih dari orang lain. Bila bercakap, panjang-panjang teorinya. Bila mengkritik, banyak kesalahan orang yang dia boleh senaraikan. Selalu penampilannya seperti seorang profesional, kelihatan cerdik, yakin dan bergaya bagi mengagumkan khalayak.

- Advertisement -

Walaupun cakapnya si Mat ini ada banyak juga yang merapu, namun dia tidak pernah hilang keyakinan bagi menguasai keadaan. Bagi yang tidak kenal dia, akan terpegun dengan perwatakan Mat. Sentiasa kemas dan ramah. Itulah Mat, seorang yang ‘over confident‘ dengan menganggap dia seorang sahaja yang tahu banyak hal, tanpa dia menilai kecerdikan orang lain yang kadang-kadang jauh lebih pandai darinya.

Manakala rakannya yang sudah lama dikenali, Man pula, bersikap agak kontra dengan Mat. Mat tidak banyak bercakap, kecuali hal yang perlu. Dan bila dia bersuara, pastinya terus kepada maksud perbincangan. Tidak suka menonjolkan diri, tidak merendahkan orang lain. Berusaha menghapuskan masalah dengan baik tanpa memerlukan jalan yang panjang yang tidak perlu.

Beliau juga seorang yang bijak dan berkebolehan, tapi tidak suka memperbodohkan orang lain. Suka membantu orang. Penampilannya tidak dibuat secara melampau-lampau bagi menarik perhatian orang. Apa yang ada, itulah dia. Memudahkan orang dengan kepandaiannya juga salah satu sifat Man. Begitulah beza ketara antara kedua mereka dari dalam diri.

Mereka pada suatu hari berjalan, menunggang kuda, pergi ke suatu tempat yang agak jauh. Setelah lama menunggang, mereka sampai ke suatu tempat lapang. Dan kebetulannya waktu sudah hampir senja. Mereka mencari tapak yang sesuai untuk berkhemah. Setelah menurunkan semua barang, mereka pun mula mendirikan khemah.

Selesai semuanya, makan minum, membersihkan diri, mereka berdua pun berbual sekejap sebelum tidur. Mereka tidur dengan agak nyenyak pada malam itu, mungkin kerana keletihan berjalan. Esok pagi pula mereka mesti bangun awal untuk meneruskan perjalanan mereka. Malam itu sangat tenang, tiada tanda-tanda untuk hujan.

Di tengah keenakan tidur itu, tiba-tiba Mat dikejutkan oleh Man. Mat membuka matanya dengan penuh kemalasan. Dia bertanya kepada Man, apa mahunya. Man kemudiannya bertanya kembali kepada Mat, adakah dia nampak jutaan bintang-bintang di atas langit sana tu? Mat menjawab ya, kenapa? Man bertanya lagi, apa maksudnya?

Oleh kerana Mat suka menunjukkan kepandaiannya, maka dia pun bangun dari tidur dan duduk bersila, memulakan berceloteh mengeluarkan ilmu ‘bintang’nya. Dia memberitahu berbagai nama bentuk buruj, arah dan kegunaannya sambil jarinya menunjuk-nunjuk ke langit, seperti dia tahu segalanya tentang cakerawala. Disebut satu persatu hal perkara yang entah betul atau tidak, kerana Mat tidak mahu mendapat malu jika mengaku tidak tahu. Yang penting tunjuk pandai.

Setelah agak lama Mat berceloteh, dia memandang Man dengan harapan Man akan kagum dengan kehebatannya itu. Man tanpa ragu mengetuk kepala Mat. Mat yang kehairanan bertanya Man kenapa diketuk kepalanya, bukan hendak berterima kasih atas maklumat yang diberi, malah disakiti pula dia. Man tenang menjawab,

“Maknanya khemah kita kena curilah bodoh”

Pendek, padat dan tepat sekali jawapan yang Man berikan. Kerana terlalu nyenyak tidur, khemah mereka dicuri pun, mereka tak sedar, habis semua barang-barang dan kuda juga dilarikan orang. Maka meloponglah Mat, tidak dia terfikir kerana mahu menunjuk pandai, dia melalut memberilan jawapan yang entah apa-apa.

Sama keadaan sekarang dengan PAN. Hanya PAN sahaja yang berkokok dengan kuat melaungkan kebimbangan mereka dengan penyatuan Ummah atau dikenali dengan Muafakat Nasional. Parti-parti lain pun ada kritikannya, tetapi tidaklah sebimbang PAN yang kelihatan takut sungguh jika DAP kalah. Mereka berhujah tanpa kebenaran. Semua teori yang salah mereka ulangi, bila diketahui salah, dibuka pula teori lain.

Mereka memutar belitkan cerita bagi menunjukkan betapa jahatnya cerita penyatuan ummah ini. Yang paling laku dalam isi teori mereka ialah penyatuan ini bakal membawa kepada isu perkauman dan sentimen keagamaan yang dahsyat. Mereka bercakap dan terus bercakap untuk menunjukkan kepandaian mereka kepada umum.

Sedangkan muafakat ini sangat jelas, iaitu mahu menyatukan ummah dengan Melayu Islam sebagai teras bagi negara, tanpa mengetepikan bangsa dan agama lain. Sudah dibuktikan, di mana-mana tempat, jika Islam memerintah, penganut lain, selamat. Bumiputera mempunyai hak yang utama di tanah bertuah ini, manakala yang hak pihak lain juga akan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Begitulah maksud muafakat ini, sangat mudah untuk difahami, tidak berbelit-belit.

Tetapi kerana mereka merasakan mereka pandai dan kononnya profesional, mereka teruskan perkataan batil mereka. Sedangkan jelas, tiada penentangan dari kalangan Melayu Islam sendiri untuk muafakat ini, kecuali dari PH sahaja. Rakyat menyokong kerana sudah jelak dengan permainan politik PH, yang mana lebih teruk. Apabila DAP menuntut hak mereka, tiada isu rasis, PAN diam seperti kura-kura masuk ke dalam cengkerangnya. Apabila Melayu Islam minta, langsung dituduh rasis oleh penyokong PH.

Presiden PAS ke Sarawak bagi menerangkan hal keadaan penyatuan ini. DAP adalah duri dalam daging kepada perpaduan antara kaum di Malaysia. Jelas Presiden PAS meminta supaya DAP ditolak. PAS tidak mempunyai sebarang kerusi di Sarawak. PAS lemah, DAP kuat di sana. Tetapi tanpa takut, kebenaran, harus dijelaskan kepada rakyat Sarawak dengan mudah dan jelas. Ini adalah perjumpaan kedua PAS dengan kerajaan Sarawak. Sebelum ini dengan almarhum Adenan Satem, dan kunjungan beliau, diterima baik.

Apa lagi rakyat Sarawak mahu setelah kerajaan Negeri membayar sejumlah wang lebih RM1 bilion, seperti yang diminta oleh kerajaan Pusat, kerajaan Pusat masih membiarkan prasarana sekolah-sekolah kelolaan Pusat yang usang dan uzur tidak diperbaiki. Inikah jasa DAP kepada rakyat setelah mereka menang? Berdendam jugakah PH? Mana hak rakyat dalam demokrasi? Begitu hina Sarawak diperlakukan, bagaikan meminta sedekah dengan kerajaan Pusat, tetapi tidak dilayan. Dan parti DAP inilah yang dipertahankan oleh PAN dengan sepenuh hati?

Suka saya memberi ingat, bangsa yang selalu membanggakan keturunan, kepandaian mereka, lantas menolak kebenaran ialah bangsa Yahudi. Mereka tetap berkata bohong dan menyombong diri, menolak Rasulullah hanya kerana Baginda berdarah Arab, demi ego mereka, walaupun mengenali Nabi seperti anak sendiri. Tafsiran sombong ialah menolak kebenaran. Jika sudah jelas kebenaran di hadapan mata, tetapi ditolak, maka berhati-hatilah kerana akibat sombong, tidak mencium bau syurga. Saya tidak mengatakan PAN sebagai Yahudi, jangan salah sangka. Tetapi jika kamu terasa sebegitu, kerana ada persamaan, apa boleh saya buat.

MOHD NASIR ABDULLAH
18 September 2019 – HARAKAHDAILY 18/9/2019

- Advertisement -