Selamatkan ekonomi S’wak dari tangan DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Saranan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap rakyat Sarawak agar menghalang usaha DAP untuk menguasai Bumi Kenyalang itu bukanlah sesuatu yang bersifat rasis atau perkauman.

- Advertisement -

Malah, menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi, ia adalah saranan supaya jurang ekonomi Bumiputera Sarawak terselamat dari tangan-tangan DAP yang terus menindas golongan miskin luar bandar.

Terang beliau, saranan tersebut relevan memandangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar yang dilaporkan Utusan Borneo di negeri itu berbeza hampir sekali ganda iaitu RM6,548 di bandar dan RM3,695 di luar bandar.

“Maka apabila Tuan Guru Presiden PAS menyebut mengenai ancaman DAP ke atas jurang ekonomi Bumiputera Sarawak, mengenai fakta jurang ekonomi bandar dan luar bandar Sarawak; adalah kerana beliau inginkan keadilan, sayangkan golongan miskin luar bandar dan bukan kerana beliau bersikap perkauman.

“Inilah sebabnya PAS menyokong GPS (Gabungan Parti Sarawak) di bawah Abang Jo (Dato’ Patinggi Abang Johari Tun Openg) yang memperuntukkan 70 peratus agihan ke kawasan luar bandar, inilah sebabnya PAS menentang DAP menguasai Sarawak,” ujarnya membidas kembali tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada Presiden PAS melalui hantaran status Facebook beliau hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu sebelum ini memberi saranan kepada rakyat Sarawak agar tidak berpeluk tubuh atau menyokong mana-mana parti yang bersekongkol dengan DAP di mana berniat untuk menguasai Sarawak.

Saranan tersebut disuarakan ketika beliau ketika menyampaikan syarahan bersempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangaan PAS yang diadakan di Bintulu, kelmarin.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Muein berpendapat kebimbangan Presiden PAS dengan dasar ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa DAP ini berasas, kerana setakat ini tujuh daripada sepuluh daerah termiskin di Malaysia adalah dari Sarawak iaitu Pakan, Lubok Antu, Song, Kanowit, Selangau, Simunjan dan Daro.

Katanya, antara menjadi saranan tersebut relevan adalah garis kemiskinan rasmi yang dilaporkan negeri itu jauh berbeza di luar bandar dan di bandar, selain akses kepada bekalan air bersih terputus di kawasan luar bandar berpanjangan.

“Sebanyak 98.4 peratus isi rumah di kawasan bandar Sarawak mempunyai akses kepada air paip di rumah yang setanding dengan Semenanjung Malaysia, namun hanya 61.6 peratus isi rumah di pedalaman Sarawak mempunyai akses air paip di rumah,” jelasnya.

Satu lagi indikator dijadikan contoh Abdul Muein ialah kadar pemilikan kereta rakyat Sarawak yang turut mencatatkan perbezaan ketara iaitu 84.9 peratus di bandar dan 47.4 peratus di luar bandar di mana lebih rendah berbanding kawasan luar bandar Kelantan dan Sabah.

Ujarnya lagi, saranan Presiden PAS itu juga boleh ditafsirkan sebagai amaran awal kepada rakyat Sarawak dengan mengambil contoh kepada sikap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang bertindak menekan kerajaan negeri.

Hal itu jelasnya, apabila Kerajaan Negeri diminta membayar hutang kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu apabila Sarawak memohon bantuan untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak sebanyak RM1 billion.

Bagaimanapun, April lalu Guan Eng telah menolak tawaran pinjaman tersebut walaupun mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak telah meluluskan peruntukan tersebut dalam Bajet 2018 yang bertujuan untuk membaiki sekolah daif di Sarawak.

“Faktanya, hal ehwal sekolah berada di bawah kuasa Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Sarawak tiada kuasa untuk masuk ke sekolah dan membaiki sekolah-sekolah daif sendiri.

“Meski pun Kerajaan Sarawak telah merayu kerana keperluan membaiki sekolah-sekolah ini sangat mendesak, Menteri Kewangan dari DAP tetap tidak benarkan dengan mensyaratkan Sarawak supaya membayar dahulu hutang RM1 bilion kepada Kerajaan Pusat yang belum sampai tempohnya.

“Malah selepas Sarawak mula membuat pembayaran, Pakatan masih tidak memulakan peruntukan membaiki sekolah-sekolah daif di Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak sendiri menggelar DAP sebagai ‘pembulak’ (penipu),” tulisnya.

Beliau juga berpendapat, polisi ‘Malaysian Malaysia‘ dibawa DAP sememangnya akan memburukkan lagi jurang ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera rakyat Sarawak dan haruslah parti yang berkuasa di Sarawak mendengar saranan Presiden PAS supaya agihan ekonomi dapat dilakukan dengan adil.

“Maka, tepatlah strategi PAS untuk bekerjasama membangunkan keadilan ekonomi Bumiputera dan luar bandar Sarawak bersama GPS dengan tidak membiarkannya jatuh ke tangan DAP kerana berdasarkan rekod, di bawah Ketua Menteri sekarang, peratusan peruntukan untuk pembangunan luar bandar telah dilonjakkan sekitar 70 peratus,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

- Advertisement -