Jerebu: Rakyat disaran kurangkan aktiviti luar

- Advertisement -

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi Sarawak di catat pada pagi ini iaitu 359 di bahagian Sri Aman atau Betong. Trend menaik secara mendadak semenjak tengah malam tadi berikutan pembakaran terbuka berdekatan bahagian ini semalam. Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) menyarankan agar ahli masyarakat sentiasa prihatin dengan tahap kesihatan udara sebelum melakukan aktiviti luar.

- Advertisement -

Sejarah menunjukkan bahawa jerebu terburuk di Malaysia berlaku pada 19 September 1997 dengan IPU melebihi 650 menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat di Sarawak. Pergerakan angin yang membawa debu akibat pembakaran terbuka di bahagian negara jiran Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menjadi punca ketika itu. Selain itu, cuaca kering panas turut mengakibatkan kebakaran drastik di hutan-hutan di Malaysia khususnya di tanah gambut sekaligus memburukkan lagi keadaan.

Pada 25 Oktober 2015 juga fenomena pembakaran hutan di Indonesia dan dua ribut di Selatan Filipina turut mengakibatkan jerebu teruk di Sarawak kerana asap jerebu beralih ke negara kita.

Kini di tahun 2019, masalah jerebu sekali lagi melanda negara sejak 16 Ogos yang lalu akibat tiupan angin monsun Barat Daya yang menolak udara pembakaran terbuka ke Malaysia dan negara sekitar.

Cuaca ini akan merisikokan kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak, pesakit asma serta jantung. DMPNS berharap agar semua pihak mengurangkan aktiviti di luar rumah serta perbanyakkan membasuh muka kerana udara yang tercemar boleh memedihkan mata.

Selain itu, penggunaan topeng muka yang betul iaitu topeng Respirator N95 yang mampu menapis habuk sekecil 0.3 mikrometer sangatlah digalakkan bagi memastikan udara yang kita hirup sentiasa bersih.

Jerebu ini merupakan teguran Allah bagi kita manusia kerana alpa dengan kehidupan duniawi. Allah berfirman di dalam surah Fussilat ayat ke 11;

ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ ائْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela””

(Fussilat 41:11)

DMPNS menyeru agar semua rakyat Malaysia khususnya Sarawak mengadakan solat hajat memohon keampunan dari Allah dan berdoa agar hujan turun seperti saranan diberikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

HAMIDAH MOKHTAR 
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 17/9/2019

- Advertisement -