Selamat Menyambut Hari Malaysia 2019

- Advertisement -

HARI ini kita menyambut ulang tahun pembentukan Malaysia dengan penuh rasa syukur atas rahmat kurniaan Allah S.W.T kepada kita rakyat Malaysia dari Tanah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

Peristiwa bersejarah 16 September ini adalah tarikh penting untuk dihayati bagi mengukuhkan perpaduan Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya dan agama.

Untuk mewujudkan suasana kehidupan yang menenangkan, semua kaum perlu tanamkan rasa cinta akan negara dengan sedia bekerjasama memajukan antara kaum agar wujud suasana saling mempercayai dan saling memahami antara kepelbagaian budaya dan agama.

Pihak kerajaan pula perlu prihatin dengan keperluan rakyat Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman juga di Sabah dan Sarawak dari sudut pembangunan dan kemakmuran supaya tidak terus ketinggalan dengan kawasan bandar.

Di samping itu, pihak kerajaan perlu mengambil berat kebajikan dan keperluan semua kaum secara seimbang selaras dengan prinsip kebajikan Islam membela nasib rakyat tanpa mengira warna kulit.

Sementara itu, sebarang bibit perkauman yang boleh mengeruhkan usaha menyatupadukan masyarakat majmuk hendaklah dijauhi dan diambil tindakan dengan tegas dan berani kerana perpaduan adalah aspek penting yang perlu dipertahan dalam sesebuah negara.

Pembentukan negara Islam Madinah di bawah kepimpinan baginda Rasulullah S.A.W hendaklah dijadikan model pembangunan masyarakat majmuk yang bersatu padu membangunkan negara dalam keadaan harmoni lagi saling menghormati.

Justeru itu, Lajnah ‘Alimat Dan Pembangunan Keluarga (LAPK) DUPP mengambil kesempatan untuk menyeru rakyat Malaysia kembali bersatu dengan meyakini keadilan Islam untuk semua serta sanggup mempertahan negara dari anasir yang menggugat keselamatan.

Selamat Hari Malaysia.”

Ikhlas daripada,

USTAZAH ANA MASTURA ISMAIL
Pengerusi Lajnah ‘Alimat Dan Pembangunan Keluarga (LAPK),
Dewan Ulamak PAS Pusat
16/9/2019 – HARAKAHDAILY 16/9/2019

- Advertisement -