Piagam Nasional: Kematangan PAS-Umno

- Advertisement -

MUKADDIMAH

- Advertisement -

Tidak mudah untuk membawa PAS dan Umno duduk semeja.

Terutamanya apabila agenda yang dibincangkan ialah masa depan dan hala tuju politik negara. Kedua-dua parti secara tradisionalnya adalah pesaing tegar terhadap parti yang satu lagi. Setiap parti mempunyai versi tersendiri dalam usaha dan cara membangunkan agama, bangsa dan negara. PAS dengan dasar Islamnya, dan Umno dengan dasar nasionalisnya.

Persaingan antara Umno dan PAS adalah sangat ketat. Walaupun kedua-dua parti sering dilihat sebagai mewakili kelompok demografi yang sama daripada segi komposisi kaum yang membentuk negara Malaysia, iaitu kelompok kaum Melayu dan Bumiputera beragama Islam. Kelompok ini adalah kelompok majoriti, iaitu dengan jumlah populasi melebih 60 peratus daripada keseluruhan penduduk.

Apabila PAS dan Umno bersetuju untuk menandatangani piagam Kesatuan Ummah pada 14 September 2019, ia adalah peristiwa penting dalam politik di negara kita. Ia dijangka mampu membentuk gelombang pembangkang yang lebih padu dalam berdepan dengan PH yang semakin didominasi secara ‘menjolok mata’ oleh DAP, hari demi hari.

Pasang surut hubungan PAS-Umno

Hubungan PAS dengan Umno sebelum ini mempunyai sejarah yang panjang. Mereka bersaing rapat dalam arena politik negara. Sekalipun natijah pilihan raya seringkali menyebelahi Umno di kebanyakan negeri dan di peringkat Persekutuan. Tetapi PAS seringkali menjadi halangan utama kepada kemenangan selesa Umno dan BN.

Umno sebagai kerajaan dan juga pihak yang lebih berkuasa seringkali menggunakan keistimewaan itu untuk melemahkan PAS. Pelbagai teknik, taktik dan tindakan dikenakan ke atas PAS. Sama ada sebagai sebuah parti politik atau sebagai kerajaan-kerajaan negeri. Pelbagai label dan kecaman buruk terhadap PAS sentiasa dicipta dan diperbaharukan. PAS sering dibobrokkan dalam media perdana yang dikuasai kerajaan.

PAS pula terpaksa menghadapi semua itu dengan sabar, geram dan terus mendesak layanan yang lebih adil mengikut semangat ‘federalisme’. Tindakan yang dikenakan kepada mereka turut ditangani dengan cermat melalui rundingan antara kerajaan. Dalam masa yang sama dasar dan penyelewengan kuasa Umno dan BN diselar di Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan ceramah-ceramah anjurannya. Semuanya atas prinsip ‘amar makruf dan nahi munkar’. Juga di atas dasar ‘check and balance’ mengikut neraca sistem demokrasi.

Begitulah bentuk hubungan PAS dan Umno secara umumnya. Ia penuh dengan cerita sedih, marah, geram dan hiba. Jika diungkit satu persatu, hampir mustahil untuk kita melihat PAS dan Umno boleh bersatu.

Sehinggalah pada tarikh bersejarah 9 Mei 2018, apabila rakyat menurunkan Umno dan BN daripada tampuk kuasa di peringkat Persekutuan dan di kebanyakan negeri. PAS pula hanya berjaya memenangi dua negeri. Suatu pakatan politik baru yang menggabungkan parti-parti yang tidak terlibat dalam proses rundingan kemerdekaan negara, telah berjaya mengambil tampuk pemerintahan di peringkat Persekutuan. Iaitu PH yang diwakili oleh DAP, PKR, Bersatu dan PAN.

Setelah setahun menyaksikan pemerintahan PH yang cuba meruntuhkan setiap rukun negara dan menghapuskan komponen agama Islam daripada setiap struktur pembinaan negara dengan rakus sekali, PAS dan Umno terpaksa melihat kepada satu kemungkinan penyelesaian yang pahit, tetapi sangat diperlukan dan tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Pimpinan PAS dan Umno perlu berjiwa besar. Berjiwa sangat besar. Sanggup menelan segala sejarah lampau dan memandang jauh ke depan, demi maslahah negara. Ia adalah satu kematangan yang amat diperlukan dalam menghadapi realiti politik semasa.

Piagam Penyatuan Ummah menyaksikan kedua-dua pihak yang sama-sama pernah terluka, akhirnya sama-sama menitiskan air mata. Masing-masing membalut sendiri luka lama yang dalam dan panjang itu, dan memilih untuk tidak lagi mengungkitkannya. Masing-masing berjanji setia untuk membuka lembaran baru. Demi sebuah perjuangan lebih getir yang sedang menanti.

PAS dan parti-parti lain

Untuk menghadapi Umno dan BN, PAS pernah bekerjasama dengan beberapa parti lain. Ini kerana Umno menjadi kuat dengan sokongan parti-parti komponen dalam BN. Kawasan-kawasan pilihan raya pula banyak melibatkan kerusi-kerusi bercampur. Kelebihan Umno ini mesti disaingi dengan membuat gabungan parti-parti lain yang dilihat mewakili kaum bukan Melayu Islam dan Bumiputera, tetapi bersetuju untuk tidak menghalang PAS melaksanakan agenda-agenda Islamnya jika berjaya membentuk kerajaan.

PAS pernah membentuk barisan pembangkang dengan CCC, Semangat 46 dan Barisan Alternatif. Kejayaan yang paling besar PAS ialah melalui gabungan Pakatan Rakyat, iaitu kesinambungan daripada Barisan Alternatif. Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat menjadi kuat kerana dua faktor utama. Pertama, kezaliman yang melampau terhadap DS Anwar Ibrahim dan kedua, kesatuan semua kaum dalam satu pakatan yang harmoni.

Malangnya apabila Pakatan Rakyat mula berkuasa di beberapa negeri, DAP mula menunjukkan sikapnya yang membenci Islam, dan secara terang-terangan menentang hasrat PAS untuk mengukuhkan perundangan syariah. Walaupun di Negeri Kelantan dan Terengganu. DAP juga cuba campur tangan dalam Muktamar pemilihan pimpinan PAS dengan memberi sokongan terbuka kepada beberapa pimpinan utama PAS untuk bertanding menentang beberapa pimpinan PAS yang lain. DAP sudah melampau dan melupakan batas dan sakat dalam hubungan kerjasama. DAP cuba berlagak sebagai “The Big Boss.”

Pakatan Rakyat cuba dikuburkan oleh DAP. Tetapi hanya DAP yang terkubur, kerana PAS dan PKR masih berterusan mempertahankan Selangor atas nama Pakatan Rakyat. Apabila PRU ke-14 hendak bermula, DAP dan PKR membuat pakatan baru pula. Kali ini tanpa PAS, kerana PAS tidak lagi mahu berpakat dengan DAP yang semakin sombong dan lupa daratan. DAP, PKR dan PAN berjaya menarik Tun Mahathir untuk menyertai PH dan mengukuhkan pakatan tersebut melalui Bersatu.

PAS pula membuat Gagasan Sejahtera dengan dianggotai oleh IKATAN dan BERJASA.

PH dan Warisan berjaya memenangi Kerajaan Persekutuan dan banyak negeri. Pakatan Sejahtera memenangi Negeri Kelantan dan Terengganu. BN tewas di Persekutuan dan banyak negeri.

Akhirnya pada 14 September, PAS membuat kerjasama politik dengan parti yang sering menjadi musuh politiknya, Umno. Hubungan kerjasama ini atas asas ta’awun, iaitu hubungan yang lebih longgar daripada tahaluf. Ini adalah kerana buat kali pertama dalam sejarah negara, parti teras kaum Melayu Islam dan Bumiputera, iaitu Umno dan PAS tidak lagi menjadi sebahagian daripada parti komponen yang menguasai Kerajaan Pusat.

Lim Kit Siang, bapa kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga merupakan Supremo DAP, dengan angkuhnya memberi amaran kepada kaum Melayu Islam dan Bumiputera di dalam PH, termasuk kepada Tun Mahathir, DS Anwar Ibrahim dan Mohd Sabu, “PH jangan menjadi lebih Melayu daripada Umno, dan jangan menjadi lebih Islam daripada PAS”.

Piagam Penyatuan Ummah

Hubungan PAS dan Umno pada kali ini diikat satu piagam. Inilah kandungan piagam bersejarah pada 14 September 2019.

“DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

DENGAN IZIN ALLAH SWT, sesungguhnya UMNO DAN PAS dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.
Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional Demi Malaysia yang Sejahtera.”

Ia ditandatangani oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi, Presiden Umno.

Terus meragui Umno atau mengambil peluang daripada sikap ingin berubah mereka

Walaupun ada beberapa pihak yang meragui kesetiaan Umno kepada Piagam ini. Namun PAS sanggup mengambil risiko itu, kerana Umno adalah seperti adik-beradiknya yang kini telah kembali sedar atas kealpaannya sepanjang berada di kemuncak kuasa. Umno telah mengakui keterlanjurannya dalam beberapa perkara dan menyatakan kesediaan mereka untuk berubah. Risiko itu termasuk dalam kategori risiko yang mampu diuruskan dengan baik.

DS Anwar juga pernah mendapat peluang kedua, kerana dia telah berubah. Beliau bersama Tun Mahathir di dalam BN, kemudian mengetuai pakatan pembangkang berhadapan Tun Mahathir. Bahkan DS Anwar sendiri memberi peluang kedua kepada Tun Mahathir untuk terus menjadi PM buat kali yang kedua. Setelah beliau dapati Tun Mahathir telah berubah.

Namun PAS juga tidak melupakan komponen Gagasan Sejahtera. Umno juga tidak melupakan komponen BN. Namun semua pihak pada kali ini memahami dasar ekstremis DAP akan meranapkan perpaduan negara. Perpaduan negara hanya akan kukuh jika semua pihak menghormati asas-asas kemerdekaan yang diletakkan oleh pengasas-pengasas kemerdekaan negara.

Sebuah penyatuan berasaskan panduan wahyu

Akan ada pihak yang sentiasa akan membangkitkan cerita-cerita lama antara PAS dan Umno. Mereka berharap cerita-cerita lama itu akan mengguris luka lama dan membukanya kembali. Tetapi PAS dan Umno sudah sanggup melupakan kisah silam. Mereka kembali bersaudara dengan persaudaraan Islam. Bukan hanya persaudaraan berasaskan kepentingan duniawi semata-mata.

Asas persaudaraan mereka pada kali ini ialah firman Allah S.W.T dalam Surah al-Fussilat, ayat 34 – 36 yang bermaksud;

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Penutup

Ada yang berkata PAS menjadi ‘tongkat kepada Umno’ untuk terus bernafas dalam politik negara. Walhal kedua-dua pihak ada keperluan untuk bekerjasama dengan pihak yang satu lagi. Dan negara kita sangat memerlukankannya pada era Malaysia baru ini.

Kita jawab kepada golongan yang menimbulkan kekeliruan seperti itu, “Cukup-cukuplah kalian menjadi tongkat kepada DAP”.

Noktah. – HARAKAHDAILY 16/9/2019

- Advertisement -